SARAWAK, 12 Okt. – Delegasi Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi memperkukuh hubungan institusi serta meneroka pendekatan inovatif dalam pengurusan kolej pelajar.
Lawatan ini diketuai oleh Pengetua KRP, Dr. Zul-hilmi Che Daud, bersama Md. Yani Kasiren (Felo KRP) dan Amiruddin Mohamad (Pembantu Felo). Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Sir Mohd Hafizan Hashim serta wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (PM FSKPM), UNIMAS.
Suasana penuh mesra dan keterbukaan jelas terasa sebaik rombongan tiba. Dalam ucapan alu-aluannya, Sir Mohd Hafizan menyatakan hasrat untuk memperkukuh kolaborasi antara kedua-dua institusi sambil berkongsi pandangan mengenai kepentingan pembangunan kepimpinan pelajar melalui aktiviti berimpak tinggi. Sesi santai “kenali-mengenali” turut diadakan bagi memperkenalkan pelajar KRP kepada rakan mahasiswa UNIMAS, sekali gus mewujudkan ikatan awal yang erat antara kedua-dua pihak.

Menurut Sir Mohd Hafizan, lawatan ini bukan sekadar sesi pertukaran idea tetapi ruang untuk saling belajar dan membina nilai bersama.
“Kami percaya kunjungan ini bukan sekadar melihat, tetapi belajar dan berkongsi demi kebaikan bersama,” katanya.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pihak KRP mengenai strategi penjanaan dana secara kreatif tanpa terlalu bergantung pada peruntukan sedia ada. Inisiatif seperti ini dapat membantu mewujudkan pengurusan kewangan berstrategi serta menanam semangat keusahawanan dalam kalangan warga kolej. Pada masa sama, ia turut membuka peluang kepada pertukaran budaya dan perkongsian ilmu antara dua universiti.

Dalam sesi perkongsian, Dr. Zul-hilmi menyatakan bahawa lawatan ini memberi peluang untuk memahami bagaimana teori boleh diterjemahkan menjadi amalan pengurusan yang lebih produktif.
“Lawatan ini membuka ruang untuk melihat bagaimana teori boleh dijelmakan menjadi realiti yang produktif dalam pengurusan kolej,” ujarnya.
Sementara itu, Md. Yani Kasiren pula melahirkan rasa kagum terhadap pendekatan lestari yang diamalkan oleh UNIMAS dalam menjana sumber kewangan kolej.
“Kami terkesan dengan pendekatan kreatif UNIMAS dalam menjana dana secara lestari. Ia memberi inspirasi baharu untuk diaplikasikan dalam pengurusan KRP,” katanya.
Program ini turut memberi pendedahan kepada pelbagai model penjanaan dana seperti gerai pop-up, tajaan mikro serta kolaborasi bersama komuniti setempat yang mampu mewujudkan aliran kewangan berterusan. Delegasi KRP turut berpeluang memerhati secara langsung pengurusan kolej UNIMAS yang menekankan aspek motivasi, penyelarasan dan penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti. Pertukaran budaya turut diselitkan apabila pelajar dari kedua-dua universiti berkongsi adat, bahasa dan gaya hidup masing-masing, sekali gus memperkayakan pengalaman rentas budaya.

Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara UTM dan UNIMAS, tetapi turut memperlihatkan komitmen KRP dalam memperkasakan identiti kolej sebagai institusi yang proaktif, kreatif dan mampan dalam membina kepimpinan pelajar universiti masa depan.

