KUALA LUMPUR, 30 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan komitmennya terhadap kesejahteraan warga kampus dan masyarakat apabila berjaya menganjurkan Hari OSH UTM 2025 di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, Kampus Kuala Lumpur. Program tahunan anjuran Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM ini terus menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di universiti.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, yang Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM (Cawangan Kuala Lumpur). Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa budaya keselamatan dan kesihatan merupakan teras utama dalam pelaksanaan visi serta misi universiti. Prof. Shamsul turut menyeru seluruh warga UTM agar menjadikan amalan KKP sebagai sebahagian daripada budaya kerja harian, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, integriti dan kelestarian.
Menurut beliau, Hari OSH UTM bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan wadah pembelajaran berterusan yang dapat meningkatkan kesedaran, memperluas pengetahuan serta memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekeliling.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Ts. Habsah Md Ishak. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan produktiviti dan kesejahteraan jangka panjang sesebuah organisasi.
Beliau turut memuji usaha berterusan UTM dalam menganjurkan Hari OSH setiap tahun dengan pengisian program yang merangkumi aspek teknikal, pendidikan, komuniti dan integriti. Menurutnya, JKKP Malaysia akan terus memberikan sokongan terhadap inisiatif universiti dalam memperkukuh amalan KKP di peringkat akademik dan pentadbiran.

Salah satu detik bermakna dalam majlis ini ialah bacaan Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang diketuai oleh Pengarah OSHE UTM, Dr. Mohd Fa’iz Ahmad. Bacaan ikrar tersebut melambangkan komitmen seluruh warga universiti terhadap amalan kerja yang selamat, bebas daripada kecuaian serta berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sebagai pengisian utama, dua ceramah berimpak tinggi turut diadakan. Ceramah pertama disampaikan oleh Mohd Azizi Alis @ Alias dari Jabatan Fisioterapi Hospital Kuala Lumpur, yang menekankan kepentingan kesihatan fizikal pekerja, ergonomik serta gaya hidup sihat bagi mencegah kecederaan muskuloskeletal di tempat kerja. Beliau turut mengingatkan bahawa langkah pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan, dan pekerja perlu didedahkan kepada cara menjaga postur serta mengurus tekanan kerja dengan betul.

Ceramah kedua pula disampaikan oleh Tn. Hj. Shamsudin Abdul Aziz dari Bahagian Higien Industri dan Ergonomik, JKKP Malaysia. Beliau membincangkan cabaran industri dalam menangani risiko pekerjaan moden termasuk pendedahan kepada bahan kimia berbahaya, bunyi bising dan keperluan pemantauan berterusan melalui kajian higien industri.

Kedua-dua sesi ceramah tersebut mendapat sambutan hangat daripada peserta yang memenuhi dewan, dengan sesi soal jawab interaktif yang memperlihatkan keterlibatan aktif warga kampus dan tetamu jemputan.
Hari OSH UTM 2025 diadakan dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memperkenalkan teknologi serta peraturan terkini berkaitan KKP, membina kerjasama dengan agensi luar dan komuniti, serta memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang mengutamakan kesejahteraan sejagat.
Salah satu tarikan utama program ialah penyertaan 24 pempamer daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan dan sektor swasta. Antara yang turut serta ialah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), serta beberapa syarikat industri yang mempamerkan produk dan teknologi berkaitan keselamatan.
Pameran interaktif ini memberi peluang kepada pelajar dan warga kampus untuk mendalami peranan agensi-agensi tersebut, selain mencuba demonstrasi peralatan keselamatan dan menyertai aktiviti kesedaran yang dijalankan.

Acara kemuncak yang paling dinanti ialah Demonstrasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan oleh agensi barisan hadapan. Antara yang menarik perhatian ialah simulasi kecemasan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, latihan pertolongan cemas oleh Bulan Sabit Merah Malaysia, serta demonstrasi penyelamatan bencana oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Selain itu, OSH Explorace turut dianjurkan sebagai aktiviti interaktif yang menguji pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan aspek keselamatan. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar minda dan fizikal, malah menyuntik elemen keseronokan dalam proses pembelajaran keselamatan.
Program turut mendapat sambutan daripada kolej vokasional berdekatan yang menghantar pelajar mereka menyertai aktiviti dan pameran. Kehadiran mereka menambah seri acara dan memberi peluang kepada pelajar prasiswazah melihat aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari di institusi masing-masing. Kerjasama ini membuktikan bahawa Hari OSH UTM berfungsi sebagai jambatan ilmu antara universiti, agensi, industri dan sekolah vokasional.
Kejayaan penganjuran Hari OSH UTM 2025 memberi impak besar kepada warga universiti. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran kolektif tentang pentingnya mengutamakan keselamatan dan kesihatan dalam setiap aktiviti kerja serta pembelajaran, tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara UTM dan pelbagai pihak berkepentingan.
Secara keseluruhan, Hari OSH UTM 2025 berjaya melahirkan warga kampus yang lebih berdaya saing, berpengetahuan, prihatin serta bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan sejagat.