November 16, 2025

JOHOR BAHRU, 25 Okt – Usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim dan kelestarian diteruskan melalui pelancaran Buku Celik Iklim, yang berlangsung pada 25 Oktober 2025 bersempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon 2025 dan Sesi Penghargaan Pelajar Lestari Negeri Johor.

Majlis pelancaran tersebut menjadi simbol komitmen berterusan pelbagai pihak dalam mendukung agenda bandar rendah karbon serta memperkukuh pendidikan kelestarian di peringkat negeri Johor.

Pelancaran buku disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md. Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, yang turut diiringi oleh Tuan Hj. Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

YB Dato’ Haji Mohd Jafni Md. Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melancarkan Buku Celik Iklim sambil diiringi Tuan Hj. Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP)

Buku Celik Iklim merupakan hasil Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 4.0 bernilai RM26,000, yang diketuai oleh Dr. Norhidayah Md. Yunus, Pensyarah Kanan Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Buku ini turut disunting dan direka grafik oleh Mohamed Rohaizad Mohamed Anuar, pelajar Ijazah Doktor Falsafah di fakulti sama.

Selain itu, penghasilan buku ini turut disumbang oleh barisan penulis bersama yang terdiri daripada Prof. Dr. Fatin Aliah Phang, Ruzanna Mohamed, Safwan Shaari, Dr. Nina Diana Nawi, Hassan Kadir, Nur Syahidah Sulaiman, Mohd Aizad Osman, Dr. Mohd Munir Baharom, Muhammad Ariff Mohamad Nizam, Dr. Azizah Ismail, Dr. Ainur Zaireen Zainudin, Dr. Nurul Hawani Idris, Dr. Nur Berahim dan Dr. Hamdi Abdul Hamid.

Kerjasama dalam penerbitan buku ini turut melibatkan pelbagai agensi dan institusi termasuk FABU UTM, Jabatan Perancangan Pembangunan (MBIP), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kumpulan Kajian Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LAnDS) UTM, Mixed and Virtual Environment Research Lab (MIVIELAB) UTM, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan SWM Sdn. Bhd.

Barisan dif kehormat hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Buku Celik Iklim di Iskandar Puteri

Buku Celik Iklim berfungsi sebagai panduan komuniti yang berpaksikan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030, iaitu satu kerangka komprehensif dibangunkan oleh MBIP bagi menangani cabaran perubahan iklim di kawasan pentadbirannya.

Pelan tersebut menetapkan sasaran pengurangan intensiti karbon sebanyak 63 peratus menjelang tahun 2030 serta memberi tumpuan kepada tiga teras adaptasi utama iaitu meningkatkan daya tahan terhadap bencana banjir, mengurangkan kes denggi, dan memperluas landskap hijau bagi mengawal kesan gelombang haba di kawasan bandar.

Menariknya, Buku Celik Iklim merupakan versi mudah Pelan Tindakan Iklim tersebut yang disesuaikan untuk masyarakat umum dengan pendekatan interaktif melalui teknologi realiti terimbuh (AR). Pendekatan ini membolehkan pembaca memahami kesan perubahan iklim dengan lebih visual, imersif dan dekat dengan konteks sebenar Iskandar Puteri.

Buku ini diterbitkan dalam dua versi bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bagi memastikan capaian yang lebih luas kepada pembaca daripada pelbagai latar belakang sosial dan pendidikan. Usaha pengkomersialan turut dijalankan agar buku ini dapat dimiliki dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas, khususnya golongan muda dan komuniti setempat.

Dr. Norhidayah menjelaskan bahawa penerbitan ini bukan sekadar bahan bacaan, tetapi satu platform pendidikan komuniti yang menghubungkan ilmu akademik dengan kesedaran awam. Menurut beliau, pengetahuan mengenai tindakan rendah karbon harus disampaikan dalam bentuk yang mudah diakses agar mampu mendorong perubahan sikap dan amalan harian masyarakat.

Dr. Norhidayah Md. Yunus menerangkan kandungan Buku Celik Iklim kepada barisan dif kehormat semasa majlis pelancaran

Dengan terbitnya Buku Celik Iklim, diharapkan lebih ramai individu terdorong untuk mengamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon. Inisiatif ini dijangka memberi impak positif terhadap usaha menjayakan visi Iskandar Puteri sebagai bandar rendah karbon yang progresif dan mampan menjelang tahun 2030.

Explore More

UTM Open Day