October 8, 2025

UTM terima 4,216 mahasiswa baharu sesi 2025/2026, kekal institusi pilihan sains, kejuruteraan dan teknologi

JOHOR BAHRU, 28 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memulakan sesi akademik 2025/2026 dengan menerima seramai 4,216 pelajar baharu di peringkat Sarjana Muda Sepenuh Masa, terdiri daripada 3,850 pelajar tempatan dan 366 pelajar antarabangsa. Daripada jumlah itu, 3,831 mendaftar di kampus Johor Bahru manakala 385 pelajar di kampus Kuala Lumpur.

Suasana pendaftaran mahasiswa baharu di Kolej Rahman Putra, UTM Johor Bahru yang berlangsung dengan lancar dan teratur pada hari pertama kemasukan sesi 2025/2026

Mengikut pecahan fakulti, Fakulti Alam Bina dan Ukur merekodkan jumlah pelajar baharu tertinggi iaitu 628 orang, diikuti Fakulti Kejuruteraan Elektrik (482), Fakulti Sains (448), Fakulti Komputeran (411), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (390) serta Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (390).

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, universiti terus kekal sebagai destinasi pilihan utama pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi kerana menawarkan prospek kerjaya yang luas dan relevan dengan keperluan negara.

“Program pengajian dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi terus menjadi pilihan kerana ia menawarkan prospek kerjaya yang luas dan relevan dengan keperluan negara. UTM mencatatkan kadar 100% dalam Kadar Bekerja Graduan (GE) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) pada tahun 2024, membuktikan keyakinan pelajar terhadap keupayaan universiti melahirkan graduan berdaya saing dan inovatif seiring perkembangan teknologi global,” jelasnya.

Beliau menambah, UTM bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dengan terus memperkukuh kualiti pengajaran dan penyelidikan tetapi turut meningkatkan nilai etika, kepimpinan dan daya tahan bagi melahirkan graduan yang mampu menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat.

Naib Canselor UTM, Prof. Shafry Mohd Yusof, ketika menyampaikan ucapan di Sidang Media terletak di Kolej Rahman Putra

Seiring dengan itu, universiti juga menegaskan komitmen terhadap kebajikan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif sokongan. Antaranya termasuk Café Menu Rahmah yang menyediakan hidangan berkhasiat pada harga mampu milik, serta bantuan khas kepada lebih 1,200 pelajar B40 bagi meringankan kos sara hidup.

Pada masa sama, UTM terus memperkukuh agenda inklusiviti apabila menerima seramai 14 pelajar kurang upaya (OKU) bagi sesi ini, terdiri daripada sembilan pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan. Mereka akan dibantu melalui fasiliti mesra OKU, sokongan komuniti serta infrastruktur yang inklusif di kolej kediaman, seiring dengan pelaksanaan Perkampungan Inklusif yang menjadi simbol komitmen tinggi universiti terhadap kesejahteraan mahasiswa.

Seorang daripada mereka, Muhammad Izairul Abdullah, 20, dari Sabah, yang merupakan pelajar OKU Penglihatan, mengikuti program Ukur Bahan di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Minatnya yang mendalam terhadap pengiraan menjadi dorongan utama untuk memilih bidang tersebut selepas mendapatkan maklumat daripada senior di fakulti berkenaan.

“Saya memang meminati pengiraan, sebab itu saya memilih bidang ini dan bersyukur kerana diterima masuk ke UTM walaupun jauh dari Sabah. Ini pengalaman pertama saya keluar dari zon selesa,” katanya sambil menzahirkan penghargaan atas sokongan fasiliti mesra OKU yang disediakan universiti bagi membantunya menyesuaikan diri.

Pelajar baharu OKU, Izairul, menerima kit sokongan khas daripada Naib Canselor UTM sebagai tanda kepedulian dan komitmen universiti dalam memperkukuh agenda kampus mesra OKU

Sementara itu, Shazwan Mohd Shahrinsham, 19, dari Johor, pelajar OKU Pendengaran yang mengikuti program Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, turut berkongsi aspirasi positifnya. Reputasi akademik tinggi UTM menjadi faktor utama pilihannya untuk menyambung pengajian di sini.

“Saya yakin UTM mampu mendidik serta membentuk pelajar bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga emosi dan penglibatan aktiviti. Kursus ini juga akan membantu saya memahami bidang pembangunan negara dengan lebih mendalam,” katanya. Sokongan komuniti serta infrastruktur mesra OKU yang disediakan universiti turut memberi keyakinan kepadanya untuk menempuh kehidupan kampus dengan lebih baik.

Pelajar baharu OKU, Shazwan, menerima kit sokongan khas daripada Naib Canselor UTM dalam suasana mesra yang mencerminkan sokongan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa

Selain itu, sokongan kebajikan UTM turut dizahirkan melalui kisah Siti Nurjahirah Mohd Hassan, pelajar baharu program Kejuruteraan Awam dari Batu Kurau, Perak. Beliau sebelum ini menerima kunjungan Naib Canselor di kediamannya yang turut menyampaikan sumbangan khas sebagai dorongan awal untuk memulakan pengajian di UTM.

“Alhamdulillah, bantuan UTM lebih daripada mencukupi untuk membeli barangan keperluan dan tambang ke sini. Proses pendaftaran juga berjalan sangat lancar. UTM memang pilihan pertama dan universiti impian saya sejak sekolah menengah. Sokongan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar dan mencapai kejayaan,” katanya.

Pelajar baharu, Nurjuhaira, ketika ditemu bual berkongsi pengalaman pendaftaran di UTM, menyatakan rasa syukur atas kemudahan serta sokongan yang diterima untuk memulakan pengajian dengan lebih yakin

Bagi pelajar antarabangsa pula, UTM menerima 366 pelajar dari 32 negara, dengan jumlah tertinggi dari China (98 orang), diikuti Indonesia (59), Sudan (54) dan Bangladesh (46).

Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang mula beroperasi pada 2024 turut menerima sambutan menggalakkan dengan kemasukan 154 pelajar baharu, melibatkan 143 pelajar Program Kecerdasan Buatan dan 11 pelajar Program Reka Bentuk Industri.

Selari dengan pendaftaran ini, semua pelajar baharu mengikuti Minggu Mesra Mahasiswa (3M) 2025 dari 28 hingga 30 September, yang bukan sahaja memperkenalkan suasana kampus, malah memupuk kesedaran sivik melalui program Undi 18, Kempen Anti-Scam, Kempen Antibuli, dan inisiatif hijau kampus.

“UTM percaya permulaan kehidupan kampus yang positif akan membentuk jati diri mahasiswa yang unggul. Universiti berhasrat melahirkan komuniti pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga prihatin, berdaya saing dan inklusif,” jelas Prof. Shafry.

Turut hadir menyantuni pelajar baharu di Kolej Rahman Putra, Johor Bahru ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; serta Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman.

Jumlah keseluruhan enrolmen UTM kini ialah 28,720 orang pelajar, melibatkan 21,070 prasiswazah dan 7,650 pascasiswazah.

Dengan penerimaan mahasiswa baharu sesi 2025/2026, UTM terus meneguhkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi, di samping memperkukuh agenda kebajikan serta inklusiviti pelajar untuk melahirkan graduan berdaya saing yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan negara.

Explore More