November 16, 2025

UTM tekankan budaya optimasi sebagai teras keutuhan institusi menerusi Majlis Bersama Naib Canselor (September)

JOHOR BAHRU, 18 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh budaya kecemerlangan institusi melalui penganjuran Majlis Bersama Naib Canselor edisi September 2025 yang menghimpunkan seramai 1,904 warga Universiti daripada pelbagai lapisan kepimpinan, fakulti dan pusat tanggungjawab secara hibrid. Bertemakan “Optimasi untuk Keutuhan Institusi”, majlis tersebut menekankan lima elemen utama yang perlu dibudayakan iaitu kesedaran dan etika, teladan kepimpinan, sistem dan proses kerja, penggalakan idea dan pengiktirafan, serta pengukuran dan refleksi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyatakan bahawa budaya optimasi perlu dijadikan teras organisasi bagi memastikan UTM kekal relevan dan cemerlang sebagai universiti bertaraf dunia. Beliau turut memaklumkan bahawa optimasi harus difahami dalam kerangka menyeluruh yang merangkumi penjimatan kos, peningkatan kualiti, kecekapan masa serta pemanfaatan sumber secara maksimum.

“Dalam kepimpinan, yang paling utama ialah clarity, responsibility dan impact. Semua individu dalam organisasi adalah penting kerana setiap daripadanya berkhidmat di posisi tertentu untuk menyempurnakan misi. Memetik buku One Mission: How Leaders Build a  Team of Teams, setiap pasukan mempunyai misi tersendiri, namun apabila digabungkan ia menjadi satu misi besar yang perlu dicapai, begitu juga di UTM. Sepertimana misi kita sekarang iaitu  enVision UTM 2025, inilah amanah yang perlu kita laksanakan bersama sehingga mencapai apa yang dihajatkan.”

Konsep ini diterjemahkan ke dalam strategi kepimpinan UTM yang menggariskan kepentingan setiap anggota organisasi, daripada pensyarah dan penyelidik sehinggalah staf sokongan. Semua dilihat sebagai komponen penting yang saling melengkapi dalam memastikan universiti bergerak seiring dengan sasaran yang telah ditetapkan.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menegaskan kepentingan membudayakan optimasi sebagai teras organisasi dalam memastikan UTM kekal cemerlang dan relevan di persada pendidikan tinggi global

Beliau turut menekankan keperluan warga universiti berani melakukan perubahan melalui strategi 70-20-10, iaitu 70 peratus penambahbaikan di peringkat individu atau jabatan, 20 peratus inovasi proses kerja dan 10 peratus penemuan baharu yang bersifat breakthrough. Langkah ini akan memastikan setiap warga universiti dapat menyemak semula proses sedia ada, mencipta idea baharu serta mengoptimumkan sumber yang ada untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, penjimatan kos, serta keberkesanan masa dan tenaga.

Seiring transformasi digital, UTM turut memperkenalkan beberapa inisiatif optimasi digital. Antaranya ialah pemerkasaan Research and Development Information System (RADIS) melalui integrasi dengan pangkalan data Web of Science dan Scopus melalui teknologi API yang membolehkan kemas kini penerbitan dibuat secara automatik dan masa nyata. Selain itu, platform digital bersepadu ECSV2.0 turut diperkenalkan bagi pengurusan aduan, sekali gus mempercepat masa respons, menjimatkan kos operasi dan mewujudkan persekitaran kerja tanpa kertas. Sementara itu, UTMCare pula memusatkan data pelajar B40 dengan notifikasi automatik bagi mempercepat proses bantuan kebajikan dan mengurangkan kadar keciciran.

Bagi memperkasakan pengoptimasian seluruh proses kerja, satu Jawatankuasa Transformasi Digital telah ditubuhkan sejak bulan Julai 2025 bagi mengurangkan beban kerja manual pensyarah dan pentadbir, malah membolehkan warga UTM memberi tumpuan kepada aktiviti teras universiti iaitu penyelidikan, penerbitan dan inovasi.

Mengakhiri ucapan, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa tahun 2025 adalah detik penting kerana ia merupakan fasa terakhir enVision  UTM 2025. UTM kini berada pada kedudukan ke-153 dunia dalam penarafan global, dan usaha mengoptimumkan semua aspek organisasi akan menjadi pemangkin kepada lonjakan seterusnya.

Majlis Bersama Naib Canselor (September) menghimpunkan warga universiti merangkumi kepimpinan, fakulti dan pusat tanggungjawab di Dewan Senat UTM bagi memperkukuh budaya kecemerlangan institusi

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura zakat daripada Koperasi UTM Berhad (KUTMB) bernilai RM17,730.87 yang disampaikan oleh Pengerusi KUTMB, Azri Hohad, kepada Naib Canselor. Sumbangan ini akan diagihkan kepada warga universiti yang tergolong dalam kalangan asnaf melalui pengurusan rasmi UTM. Penyerahan zakat ini mencerminkan kepedulian koperasi dalam menyantuni kebajikan warga UTM serta menyokong agenda universiti untuk memastikan kesejahteraan komuniti kampus.

Turut diumumkan, tempoh percubaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang akan dimulakan pada 1 Oktober 2025 hingga 31 Disember 2025 dalam usaha memberikan ruang fleksibiliti kepada warga kerjanya melaksanakan tugas di mana-mana sahaja dengan had maksimum 5 hari setiap bulan. Ianya selaras dengan komitmen Universiti untuk mewujudkan suasana kerja yang kondusif serta fleksibel agar output yang optimum dan berkualiti tinggi dapat diperolehi oleh warga kerjanya.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menerima cek cura zakat bernilai RM17,730.87 daripada Pengerusi Koperasi UTM Berhad (KUTMB), Azri Hohad untuk diagihkan kepada warga universiti dalam kalangan asnaf

Majlis yang berlangsung itu menandakan komitmen UTM untuk terus berinovasi, memperkukuh integriti organisasi, dan membudayakan optimasi demi keutuhan institusi serta kesejahteraan masyarakat. Dengan lima elemen utama sebagai panduan, UTM bertekad melangkah lebih jauh dalam membina ketahanan institusi, mengukuhkan budaya inovasi serta memastikan keberlangsungan kecemerlangan universiti pada masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day