JOHOR BAHRU, 31 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila muncul sebagai universiti pertama menyertai Pertandingan Seni Terapi Malaysia 2025 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos di Persada Larkin, Johor Bahru. Penyertaan sulung ini menjadi bukti komitmen UTM dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terapi di peringkat kebangsaan.
Kontinjen UTM disertai 10 peserta daripada pelbagai latar akademik dengan bimbingan dua penasihat dan jurulatih, iaitu Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip serta Ts. Dr. Najeb Jamaluddin. Kehadiran mereka memperlihatkan bahawa mahasiswa UTM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kejuruteraan, malah mampu menyerlah dalam bidang seni terapi yang menuntut kemahiran insaniah, kreativiti dan ketelitian.
Pertandingan ini menghimpunkan wakil dari seluruh negeri di Malaysia dengan penyertaan antarabangsa. Setiap kategori dipertandingkan selama satu jam dan dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada pakar tempatan serta luar negara. Platform ini menjadi wadah terbaik untuk mengetengahkan kebolehan, inovasi dan potensi dalam bidang terapi berasaskan seni yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.

Dalam penyertaan sulung ini, kontinjen UTM berjaya mencipta kejayaan gemilang apabila membawa pulang dua pingat berharga. Pencapaian ini sekali gus membuktikan kemampuan universiti bersaing di pentas nasional dalam bidang seni terapi.
Pingat emas diraih dalam Kategori Spa and Wellness (4 Hand Massage) oleh Muhammad Daniel Imran bin Matharuzaman (Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik) bersama Haziq Izzamuddin bin Shahabuddin (Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik). Manakala pingat gangsa dalam Kategori Face and Head Massage dimenangi oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi.
Detik kemenangan ini lebih bermakna apabila Dr. Hadafi sendiri turut meraih kejayaan bersama dua pelajarnya, sekali gus menyerlahkan sinergi antara pensyarah dan mahasiswa dalam melakar sejarah di pentas nasional.

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UTM di peringkat kebangsaan, malah membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk meneroka bidang terapi profesional yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa. Seni terapi diiktiraf sebagai pendekatan holistik yang mampu meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat. Pencapaian ini juga selari dengan aspirasi UTM dalam melahirkan modal insan seimbang, berdaya saing dan berkemahiran tinggi, seiring agenda negara memperkasa TVET serta pendidikan berasaskan kesejahteraan manusia.
Dengan kejayaan membanggakan ini, UTM terus melangkah yakin sebagai pelopor dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang bukan sahaja berdaya saing, malah mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan akademik, industri dan masyarakat.