KUALA LUMPUR, 25 Sept. – National Energy Award (NEA) yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah menjadi platform berprestij sejak diperkenalkan pada tahun 2018. Penganjuran ini bertujuan menarik minat industri serta organisasi ke arah kecekapan tenaga dan pembangunan tenaga boleh baharu.
Bagi edisi tahun 2025, sebanyak 173 penyertaan diterima, dengan 38 organisasi dan industri diiktiraf sebagai pemenang dalam empat kategori utama iaitu Pengurusan Tenaga (Energy Management), Bangunan Cekap Tenaga (Energy Efficient Building), Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy) dan Anugerah Khas (Special Awards).
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mencatat kejayaan apabila kumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, terdiri daripada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Ts. Dr. Zulkarnain Ahmad Noorden, Dr. Madihah Md Rasid serta Dr. Siti Maherah Hussin (kini berkhidmat di Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur) dinobatkan sebagai Naib Johan bagi kategori Off-Grid Solar PV Projek. Kejayaan ini menjadikan kemenangan kali ketiga buat kumpulan penyelidik tersebut selepas meraih Naib Johan pada tahun 2020 dan tempat pertama pada tahun 2024 melalui tiga projek solar PV berbeza di perkampungan Orang Asli di Perak dan Johor. National Energy Award 2025 ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, yang menyampaikan pengiktirafan kepada semua pemenang.



Penyertaan UTM pada NEA 2025 berasaskan projek di Kampung Orang Asli Tewowoh, Mersing, sebuah kampung pedalaman yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kluang. Kampung ini didiami oleh 94 penduduk daripada 17 keluarga. Disebabkan lokasinya yang terpencil, sambungan kepada grid utiliti tidak praktikal kerana kos pemasangan yang terlalu tinggi.
Sebelum adanya projek ini, setiap isi rumah hanya bergantung kepada penjana petrol kecil untuk bekalan elektrik terhad, meskipun menanggung kos bahan api antara RM300 hingga RM450 sebulan. Jumlah perbelanjaan petrol keseluruhan kampung mencecah RM5,100 hingga RM7,650 sebulan, namun hanya mampu menyediakan bekalan elektrik tiga hingga empat jam sehari selain menimbulkan pencemaran bunyi dan isu kemampanan.
Melihat keperluan mendesak ini, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) melalui program Sadaqa House, tampil membiayai projek pemasangan sistem PV luar grid di semua 17 rumah di Kampung Tewowoh dengan kapasiti keseluruhan 5.44 kWp. Projek berimpak tinggi ini turut melibatkan penyertaan pelajar dan pensyarah dari institusi TVET seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, ILP Mersing, Politeknik Port Dickson, Politeknik Muadzam Shah serta Kolej Komuniti Segamat 2 yang bersama-sama menjayakan usaha ini sebagai projek kolaboratif akademia-industri-komuniti.


Kejayaan UTM bukan sahaja memperkukuh reputasi universiti dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi tenaga boleh baharu, malah menjadi bukti komitmen berterusan dalam menyantuni komuniti luar bandar dengan penyelesaian lestari yang memberi kesan langsung kepada kualiti hidup masyarakat.