September 23, 2025

UTM perkukuh sokongan mahasiswa baharu melalui Program SULUNG dan Santuni Pelajar Baharu

JOHOR BAHRU, 23 Sept. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan mahasiswa baharu melalui gabungan inisiatif kerajaan dan universiti, sekali gus memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, khususnya bagi pelajar daripada keluarga B40.

Selaras dengan inisiatif Kerajaan MADANI melalui Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG), seramai kira-kira 240 pelajar daripada keluarga B40 telah dikenal pasti sebagai penerima manfaat. Program ini memberi penawaran pengecualian yuran universiti kepada individu pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum mempunyai ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama untuk menyambung pengajian di Universiti Awam (UA).

Mereka bakal menerima pengecualian penuh yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian, meliputi yuran berulang dan tidak berulang (one-off). Bagi UTM sahaja, jumlah pembiayaan yuran semester pertama dianggarkan sebanyak RM536,754, manakala kos keseluruhan pengajian mencecah RM2.45 juta.

Program ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan mobiliti sosial, mengangkat taraf hidup keluarga B40 serta membuka ruang kejayaan kepada generasi pertama keluarga menjejakkan kaki ke menara gading. UTM menyokong sepenuhnya inisiatif ini kerana ia bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar, malah memberi peluang sama rata untuk cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertindak sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama universiti awam termasuk UTM.

Di samping itu, UTM turut melaksanakan inisiatif Santuni Pelajar Baharu, yang dikendalikan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, JTNCHEPA). Program ini telah berlangsung sehingga siri ke-4 dengan sasaran menyantuni 15 pelajar secara keseluruhan, manakala empat daripadanya telah menerima kunjungan. Pendekatan ini bertujuan memberi sokongan moral, mengeratkan silaturahim antara universiti dengan keluarga, serta membantu pelajar menyesuaikan diri sebelum melangkah ke suasana kampus.

Antara penerima manfaat termasuk Noordaniela Khalisya Muhammad Firdaus Yap, pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia) yang disantuni di kediamannya di Taman Putri Kulai pada 12 September lalu. Lawatan turut disertai wakil fakulti dan pegawai pentadbiran universiti sebagai tanda sokongan awal. Siri kedua pula menyaksikan kunjungan ke rumah Siti Alia Wahidah Azmi, anak kepada pesara yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Matematik di Fakulti Sains. Lawatan ini diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama pegawai kanan JTNCHEPA. Pada hari yang sama, siri ketiga menyantuni Kalchana Devi A/P Perumal, anak ibu tunggal yang bakal menuntut di Fakulti Pengurusan. Sementara itu, siri keempat menyaksikan rombongan UTM bersama Pusat Islam UTM menziarahi keluarga Nurshadfina Mohd Hamede (pelajar tahun tiga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) serta adiknya Mohamad Harith Isyraf (bakal pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal) di Hospital Sultanah Aminah selepas bapa mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Noordaniela Khalisya Muhammad Firdaus Yap, pelajar baharu Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia), disantuni di kediamannya di Taman Putri Kulai sebagai sokongan awal sebelum memulakan pengajian di UTM
Prof. Ts. Dr. Ali Selamat bersama rombongan JTNCHEPA menziarahi kediaman Siti Alia Wahidah Azmi, anak pesara yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Matematik di Fakulti Sains
Kalchana Devi A/P Perumal, anak ibu tunggal, menerima kunjungan UTM di kediamannya di Johor Bahru sebelum memulakan pengajian di Fakulti Pengurusan, UTM
Rombongan UTM bersama Pusat Islam menyantuni keluarga Nurshadfina Mohd Hamede dan Mohamad Harith Isyraf di Hospital Sultanah Aminah, mendoakan kesembuhan bapa mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya
Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, menyampaikan sumbangan kepada pelajar baharu sebagai tanda sokongan dalam memulakan pengajian di UTM
Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar UTM

Tradisi menyantuni ini menjadi budaya berterusan UTM setiap kali pengambilan pelajar baharu kerana ia mampu menyuntik keyakinan dan motivasi kepada mahasiswa serta keluarga mereka sebelum menempuh kehidupan universiti. UTM bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan dan akademik, malah turut hadir dengan sokongan emosi, spiritual dan kebajikan, menzahirkan identiti sebagai universiti penyayang yang mendidik bukan sahaja graduan berilmu, tetapi juga berjiwa besar.

Dengan kombinasi Program SULUNG di peringkat nasional dan Santuni Pelajar Baharu di peringkat universiti, UTM menegaskan peranannya sebagai institusi mesra komuniti serta prihatin terhadap cabaran mahasiswa baharu, sekali gus mendukung aspirasi melahirkan graduan berwibawa, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Explore More