Ekonomi gig telah berkembang pesat dan merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara. Ekonomi gig merujuk kepada bentuk pekerjaan yang berasaskan kontrak sementara atau dilakukan secara bebas (freelance), dengan sokongan platform dan aplikasi teknologi sebagai penghubung antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan. Warga belia merupakan kumpulan terbesar yang terlibat dalam sektor ekonomi gig, menjadikan mereka penyumbang utama kepada pertumbuhan dan perkembangan bidang ini. Walau bagaimanapun, ketiadaan undang-undang khusus bagi melindungi hak pekerjaan dan kebajikan pekerja gig telah menyebabkan ekosistem ekonomi gig tidak stabil. Pekerja gig berdepan masalah seperti kadar pendapatan yang tidak menentu, tiada jaminan keselamatan sosial, ketidakstabilan kerja, tiada hak untuk membentuk kesatuan sekerja, serta risiko eksploitasi daripada penyedia platform dan pelanggan.
Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 adalah tepat pada masanya bagi memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja gig di Malaysia. Kerajaan Madani memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi gig sebagai sebahagian daripada agenda inklusif negara. Melalui pembentangan RUU Pekerja Gig 2025, kerajaan memastikan pekerja gig mendapat perlindungan undang-undang, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta akses kepada perlindungan sosial.
RUU ini memberikan hak kepada pekerja gig untuk mendapatkan maklumat berkenaan pekerjaan yang dilaksanakan, kadar dan butiran pendapatan, kaedah pembayaran pendapatan, tip dan juga faedah. Pekerja gig berhak untuk mendapat slip pendapatan setelah perkhidmatan dilaksanakan. Pekerja gig perlu dimaklumkan jika terdapat apa-apa perubahan terma dan syarat dalam perjanjian perkhidmatan dan diberikan peluang untuk berunding sebelum sebarang perubahan dalam perjanjian perkhidmatan dibuat.
Selain itu, melalui RUU ini juga perkhidmatan pekerja gig tidak boleh ditamatkan tanpa alasan atau sebab yang munasabah. Mekanisme penyelesaian pertikaian secara dalaman yang jelas perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian yang melibatkan pekerja gig. Tribunal Pekerja Gig akan ditubuhkan dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa pertikaian atau perkara yang dirujuk kepadanya.
Isu penggantungan dan penamatan akses pekerja gig menggunakan platform digital secara tidak adil dapat diatasi melalui peruntukan RUU yang mewajibkan penyedia platform untuk memberikan notis secara bertulis kepada pekerja gig sebelum mereka menggantung atau menamatkan akses pekerja gig dari menggunakan platform digital. Peruntukan ini memberikan jaminan pekerjaan kepada pekerja gig di platform digital.
Dari aspek keselamatan sosial pula, RUU mewajibkan penyedia platform untuk mendaftarkan pekerja gig di bawah skim keselamatan sosial dan melaksanakan potongan caruman mandatori kepada pekerja gig. Kesannya, pekerja gig akan mendapat perlindungan sosial yang mandatori dan lebih kukuh, yang sebelum ini mungkin tidak mencukupi atau tiada langsung. RUU ini juga akan menjamin keselamatan dan kesihatan yang lebih baik kepada pekerja gig melalui peruntukan yang memerlukan syarikat platform untuk memastikan langkah keselamatan dan kesihatan yang mencukupi untuk pekerja gig semasa mereka bekerja.
Pendekatan yang diambil RUU ini berbeza jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura atau Kanada yang menggubal undang-undang yang melindungi pekerja gig secara berfokus iaitu hanya pekerja gig dalam sektor e-hailing, p-hailing dan kurier sahaja. Berbeza dengan Malaysia, RUU ini merangkumi semua sektor pekerja gig, termasuk pekerja gig di platform digital.
Jika diteliti, perlindungan pekerja gig hanya terhad pada perlindungan di bawah RUU sahaja dan tidak merangkumi hak pekerjaan seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kesannya, pekerja gig masih tidak berpeluang untuk mendapat hak-hak pekerjaan yang minimum seperti hak pembayaran kerja lebih masa, hak untuk mendapat cuti umum, cuti sakit dan lain-lain.
Selain itu, peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1959 juga tidak terpakai kepada pekerja gig menyebabkan mereka tidak layak untuk membentuk kesatuan sekerja dan menyertai mana-mana kesatuan sekerja. Namun begitu, RUU membenarkan pekerja gig untuk menubuhkan persatuan pekerja gig di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan tidak menghalang pekerja gig untuk menyertai mana-mana persatuan pekerja gig di bawah persatuan yang berdaftar.
Kewujudan Majlis Perundingan melalui RUU ini diharap akan memantau secara berterusan isu berbangkit dan mencadangkan penambahbaikan dan pindaan kepada RUU pada masa akan datang. Seperti contoh, untuk menetapkan kadar tambang atau kadar upah minimum pekerja gig di Malaysia. Ini kerana pendapatan pekerja gig masih lagi tidak dilindungi di bawah Perintah Gaji Minimum.
Penggubalan RUU ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjamin masa depan pekerja gig di negara ini dan seterusnya mengekalkan daya saing ekonomi negara. Inisiatif ini selaras dengan Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan pertumbuhan saksama.
Dr. Siti Suraya Abd Razak merupakan peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya yang kini merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia. Bidang pengkhususan penulis adalah undang-undang perhubungan industri berfokus pada kesatuan sekerja, pekerja platform digital dan pekerja gig.