November 17, 2025

Program Semarak Cinta Rasul pupuk generasi jiwai akhlak Nabi Muhammad S.A.W.

JOHOR BAHRU, 26 Sept. – Program Semarak Cinta Rasul penganjuran Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tahun 2025 bersamaan 1447 Hijrah telah berlangsung bermula daripada 23 dan berakhir pada 26 September 2025. Program yang berlangsung selama empat hari ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang bertujuan untuk menzahirkan rasa cinta terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. seterusnya mengamalkan akhlak baginda dalam kehidupan.

Pengisian program ini melibatkan pelbagai peringkat umur bermula dari anak-anak tadika, sekolah menengah sehinggalah melibatkan warga kampus dalam kalangan pelajar dan staf serta komuniti luar. Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Mufti Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Pertubuhan Selawat Kamilah Johor, Galeri Aura Islam, Syarikat Faiza dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta fakulti dan pusat-pusat tanggungjawab (PTJ) UTM.

Pada hari pertama program, berlangsungnya Hari Bakat Tadika Ihsan UTM yang mempertandingkan tiga acara iaitu azan, bercerita dan hafazan. Pertandingan ini mendapat penyertaan yang luar biasa dalam kalangan murid-murid Tadika Ihsan UTM. Pada sebelah petang pula, berlangsungnya ceramah integriti secara atas talian yang disampaikan oleh Shafikah Sujali, Pegawai Integriti Bertauliah, Unit Integriti UTM. Ceramah ini berjaya membuka minda para peserta mengenai kepentingan nilai integriti dalam kehidupan seharian khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja.

Peserta yang menyertai pertandingan sempena Hari Bakat Tadika Ihsan UTM

Program diserikan lagi dengan Dapur Prihatin yang berlangsung di Dapur Masjid Sultan Ismail UTM pada hari kedua. Sukarelawan UTM Prihatin turut turun padang dalam menjayakan aktiviti rewang, memasak dan pengedaran juadah kepada staf dan pelajar. Pameran Artifak Rasulullah SAW & Sejarah Islam 2.0 turut berlangsung yang mempamerkan koleksi peninggalan bersejarah Rasulullah S.A.W.

Suasana kemeriahan Pameran Artifak Rasulullah & Sejarah Islam 2.0 di Dewan al-Ghazali Masjid Sultan Ismail

Kemuncak program adalah pertandingan perarakan yang julung kali diadakan di UTM, melibatkan penyertaan sebanyak 13 kontinjen yang terdiri daripada 355 orang staf dari pelbagai fakulti dan PTJ. Program ini dirasmikan oleh Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM di Tasik Ilmu UTM sebelum beliau membuat pelepasan kontinjen perarakan. Seusai pertandingan perarakan, acara diteruskan dengan qasidah dan selawat serta tausiah bersama Timbalan Mufti Johor, dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Prof. Dr. Rosli bin Md. Illias ketika berucap pada program tersebut
Sebahagian peserta kontinjen yang menyertai pertandingan perarakan

Pada hari terakhir, berlangsungnya Program Quran Hour bertajuk Tilawah & Tadabbur Surah al-Waqiah yang menampilkan panel-panel jemputan iaitu Ustaz Esby Islami, Pegawai Jabatan Mufti Johor dan Ustaz Muhammad Zakiuddin Hanafi, Qari Negeri Johor. Program ini turut dihadiri kira-kira 200 orang pelajar beserta guru pengiring daripada sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru. Turut hadir sama ialah wakil PPD Johor Bahru, Ustaz Samista Othman, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah. Turut diadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan kerjasama PKU UTM.

Program Quran Hour di Masjid Sultan Ismail UTM

Program ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah S.A.W. serta membentuk peribadi unggul berteraskan nilai akhlak mulia dalam kalangan warga universiti. Penganjuran program ini bukan sekadar wadah pengisian rohani, malah menjadi manifestasi komitmen UTM dalam memperkukuh syiar Islam, memartabatkan budaya ilmu, serta memperteguh dakwah dan ukhuwah.

Explore More

UTM Open Day