November 18, 2025

IBD UTM, YRZSNJ dan PPj perkasa kemahiran spa dan refleksologi komuniti Putra Damai

PUTRAJAYA, 10 Sept. – Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), telah menganjurkan Program Pembangunan Kemahiran Spa dan Refleksologi yang memberi tumpuan kepada komuniti Pangsapuri Putra Damai, Putrajaya.

Program ini berlangsung dari Ogos hingga Disember 2025 dengan penyertaan seramai 12 orang peserta lelaki dan wanita daripada komuniti setempat. Latihan dilaksanakan secara teori dan praktikal di UTM Skudai serta Putrajaya di bawah bimbingan fasilitator berpengalaman. Peserta bukan sahaja menerima kit latihan lengkap malah menamatkan kursus dengan penganugerahan sijil penyertaan. Inisiatif ini sepenuhnya ditaja oleh YRZSNJ sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti.

Peserta Kursus Pembangunan Kemahiran Spa dan Refleksologi Siri 2

Pengarah IBD, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham, berkata program ini merupakan salah satu usaha UTM memindahkan ilmu pengetahuan terus kepada masyarakat.

“Selain membuka peluang ekonomi kepada golongan sasar, program ini turut membantu peserta meningkatkan kemahiran hidup, membina keyakinan diri serta menjadikan urutan dan refleksologi sebagai sumber pendapatan tambahan. Program seumpama ini juga merapatkan hubungan antara komuniti dengan universiti melalui jaringan sokongan yang lebih kukuh,” katanya.

Pengarah IBD, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham, memberi tunjuk ajar teknik urutan refleksologi kepada peserta

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Hortikultur, Jabatan Landskap dan Taman PPj, LAr. Haris Kasim, menyifatkan kerjasama strategik ini sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduk Putrajaya, khususnya komuniti Pangsapuri Putra Damai, Presint 11.

“Diharapkan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk sekitar,” ujarnya.

Maklum balas daripada peserta menunjukkan majoriti mereka berhasrat untuk memanfaatkan kemahiran yang diperoleh sebagai sumber pendapatan baharu, sama ada secara sambilan mahupun sepenuh masa. Malah, terdapat juga peserta yang menyatakan minat menyertai program keusahawanan susulan, membuktikan impak kursus ini melangkaui sekadar latihan teknikal.

Penyampaian sijil kepada peserta Kursus Pembangunan Kemahiran Spa dan Refleksologi Siri 2

Selain memberi manfaat kepada peserta, kursus ini juga membuka ruang kepada staf dan fasilitator UTM untuk memperkukuh pengalaman mereka dalam pengendalian modul latihan komuniti serta memperluas rangkaian kerjasama dengan pihak berkepentingan. UTM, melalui IBD, merancang memperluaskan pelaksanaan program ini ke lokasi lain di seluruh negara agar lebih ramai komuniti dapat menikmati manfaat daripada latihan kemahiran berimpak tinggi.

Kit kursus Pembangunan Kemahiran Spa dan Refleksologi Siri 2

Dengan penganjuran program ini, UTM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memainkan peranan sebagai universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, malah turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat. Inisiatif seumpama ini diharap menjadi contoh kepada kerjasama berterusan antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan yayasan kebajikan dalam memperkasa masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan berdaya saing.

Suasana pembelajaran interaktif sepanjang sesi latihan

Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani binti Hasham @ Hisam

Explore More

UTM Open Day