February 17, 2026

Forum Intelektual DiRaja 2025 angkat kearifan Islam dalam era inovasi digital

JOHOR BAHRU, 2 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan sebagai pusat wacana ilmu melalui penganjuran Forum Intelektual DiRaja 2025 yang membawa tema “Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam dalam Era Inovasi Digital”. Program berprestij ini berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim, Bandar Medini Iskandar, hari ini.

Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah; Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM; serta Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam sembah ucapannya menjunjung kasih atas keberangkatan, menegaskan bahawa tema forum ini mencerminkan komitmen UTM dalam membina wacana yang menggabungkan nilai keagamaan dengan kemajuan teknologi. Beliau menekankan bahawa dalam mengejar transformasi digital, maqasid syariah, akhlak, dan karamah insaniah mesti menjadi landasan utama.

“Kita semua memikul amanah untuk mengurus dunia dengan adil, membina kesejahteraan, dan mencipta kebaikan buat semua. Hari ini, tanggungjawab khalifah juga merangkumi tadbir urus teknologi, termasuk kecerdasan buatan dan inovasi digital. Justeru, AI mesti dimanfaatkan sebagai wahana membina tamadun unggul,” ujar beliau.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika sedang menyampaikan sembah ucapan

Forum ini memberi fokus khusus kepada peranan generasi belia sebagai pewaris masa depan negara agar mereka bukan sahaja celik digital, tetapi juga celik nilai. Teknologi dilihat bukan sekadar alat hiburan, sebaliknya sebagai medium untuk melahirkan penyelesaian lestari, memperkukuh jati diri, dan membangunkan tamadun berintegriti, seiring aspirasi Malaysia MADANI serta hala tuju pembangunan negeri Johor.

Forum berkenaan dimoderatorkan oleh Dr. Muhammad Talhah bin Ajmain @ Jima’ain, Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM. Tiga ahli panel dijemput khas ialah Sahibus Samahah (SS) Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor (Panelis 1); Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Panelis 2) serta Saudara Muhammad Haziq Abd. Rahim, Pengasas AJAR (Agensi Job & Alumni Remaja) dan Ikon Belia Influencer (Panelis 3).

Panel jemputan bersama moderator membincangkan tema Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah dalam sesi forum yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim, Bandar Medini Iskandar

SS Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya, Mufti Negeri Johor menyatakan bahawa perkembangan teknologi digital seperti AI, Big Data dan Metaverse adalah realiti yang tidak dapat dielakkan, sebagaimana evolusi telefon awam hingga ke telefon pintar pada hari ini. Islam, katanya, tidak menolak perkembangan teknologi, bahkan mengiktiraf manfaatnya dalam pendidikan, penyelidikan, kewangan dan pelbagai bidang lain. Namun, penggunaan teknologi mesti berpaksikan maqasid syariah agar tidak menjerumuskan manusia ke arah perjudian, maklumat palsu, pencerobohan data dan kelalaian daripada tanggungjawab beragama serta keluarga.

Beliau turut menekankan peranan institusi fatwa sebagai benteng panduan umat. Menurutnya, fatwa di Malaysia dibincangkan secara kolektif di peringkat negeri dan kebangsaan, disertai ulama, pakar pelbagai bidang serta Sultan, selaku ketua agama Islam sebelum diputuskan dan diwartakan.

Menjawab soalan berhubung maqasid syariah sebagai kerangka dasar teknologi negara, beliau menyatakan bahawa lima maqasid utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mesti menjadi asas kepada pembangunan digital. Katanya, teknologi moden mampu menyumbang kepada pencegahan bencana, pengukuhan sistem pendidikan, keselamatan jalan raya, serta pencegahan penipuan siber sekiranya dikawal oleh prinsip syariah.

Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan pula mengingatkan bahawa teknologi hari ini sering mendekatkan jarak fizikal, tetapi dalam masa yang sama menjauhkan hati. Anak-anak yang terlalu dimanjakan dengan gajet, ujar beliau, boleh terhakis hubungan kekeluargaan sekiranya teknologi tidak dipandu dengan akhlak. Oleh itu, beliau menekankan kepentingan iqra’ agar media sosial dan kecerdasan buatan dapat digunakan dengan berakhlak serta membawa manusia lebih dekat kepada Allah.

Menjawab persoalan tentang nilai kearifan Islam dalam membina tamadun bermaruah, beliau merujuk kepada surah al-Hujurat yang menggariskan prinsip tabayyun, keadilan hatta kepada musuh, larangan mengumpat, mengaibkan, berprasangka buruk dan bersifat sombong. Menurut beliau lagi, etika ini sangat relevan dalam mendepani arus digital tanpa sempadan. Masyarakat berteknologi tinggi mestilah tetap berjiwa dan berakhlak kerana akhlak merupakan asas kelestarian tamadun.

Saudara Muhammad Haziq pula mengangkat contoh generasi awal Islam yang berjiwa muda dalam mendepani teknologi baharu, seperti penggunaan ilmu falak dan astronomi untuk menentukan waktu solat dan penggunaan ilmu trigonometri untuk menentukan arah kiblat serta menggunakan pelepah bagi menulis ayat al-Quran. Beliau menyatakan bahawa teknologi seharusnya menjadi medium dakwah, pendidikan dan pengembangan ilmu, sebagaimana tradisi keilmuan Islam yang pernah menghasilkan ribuan karya dalam zaman kegemilangannya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa sebahagian belia kini terperangkap dalam dunia hiburan digital yang melalaikan, malah terdedah kepada algoritma media sosial yang mengutamakan kandungan penuh kemarahan dan kebencian berbanding kandungan pendidikan. Justeru, belia perlu dilatih untuk bersikap kritis, bertabayyun sebelum berkongsi maklumat, serta menghasilkan kandungan positif yang boleh menenggelamkan kandungan negatif. Teladan orang dewasa, tegas beliau, sangat penting kerana anak muda cenderung meniru tingkah laku golongan lebih senior di sekeliling mereka.

Majlis hari ini turut menyaksikan pelancaran Buku Protokol Johor nukilan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli serta penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung Akademi Tamadun Islam, UTM dari Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dengan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim kepada SS Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Ahmad dan Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh, Felo Utama, (Pengarah) Unit Pengurusan Penyelidikan IKIM.

Pelancaran rasmi Buku Protokol Johor yang disempurnakan sebagai sebahagian agenda forum hari ini
SS YB Dato’ Haji Yahya bin Ahmad, Mufti Negeri Johor, menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung Akademi Tamadun Islam, UTM
Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh, turut menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung Akademi Tamadun Islam, UTM

Penganjuran Forum Intelektual DiRaja 2025 ini bukan sahaja menzahirkan komitmen UTM sebagai menara ilmu berwibawa, tetapi juga meneguhkan peranan universiti dalam merangka wacana yang menghubungkan tradisi kearifan Islam dengan arus kemajuan digital.

Explore More

UTM Open Day