JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Suasana SMK Sri Tebrau pagi ini dimeriahkan dengan penganjuran Pelancaran Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Karnival STEM 2025, yang berlangsung dengan penuh semangat dan kreativiti. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Sains, UTM dengan kerjasama pihak pengurusan dan warga pendidik SMK Sri Tebrau.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Puan Suraiya Ashaary, Pengetua SMK Sri Tebrau, bersama Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains UTM. Antara yang turut hadir ialah Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab, Pengurus (Hubungan Luar dan Global) dan Wakil Ketua Jabatan Biosains, Prof. Madya Dr. Zarina Mohd Khalid (Ketua Jabatan Sains Matematik), Dr. Roslinda Zainal (Ketua Jabatan Fizik), dan Dr. Mohamad Afiq Mohamed Huri (Wakil, Ketua Jabatan Kimia), bersama barisan pensyarah dan pelajar-pelajar daripada semua jabatan di Fakulti Sains.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti yang interaktif dan menyeronokkan. Ia turut menekankan aspek kreativiti, inovasi serta pemikiran kritis dalam kalangan murid, selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di peringkat sekolah. Program ini juga membuka ruang kepada kerjasama strategik antara sekolah dan institusi pengajian tinggi, sekali gus memperkasakan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi murid melalui pendekatan praktikal dan holistik.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengetua SMK Sri Tebrau dan Dekan Fakulti Sains, diikuti pelancaran rasmi “Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains UTM”. Sesi bergambar dan jamuan ringan menyusul sebelum aktiviti utama dimulakan. Dalam ucapannya, Puan Suraiya menekankan bahawa program ini bukan sekadar menceriakan suasana sekolah, tetapi merupakan satu manifestasi komitmen untuk menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas pemilihan SMK Sri Tebrau sebagai sekolah angkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi masa depan dengan UTM.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Shafinaz menegaskan bahawa pemupukan minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan murid sekolah menengah perlu diperkasa dengan pendekatan menyeronokkan, kritikal dan inovatif, dan program sebegini mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai ilmu pengetahuan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan dalam Karnival STEM ini oleh staf-staf dan pelajar Fakulti Sains. Jabatan Fizik mempersembahkan pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan pendidikan dan hiburan. Antara tarikan utama ialah “Smashing Flowers” yang mempamerkan kesan dramatik nitrogen cecair ke atas bunga, serta demonstrasi “DIY Telescope” untuk memahami cara teleskop berfungsi. Aktiviti lain termasuk cerapan tompok matahari dalam penerokaan fenomena “Space Weather”, paparan “Plasma Disc/Ball” yang mengagumkan, serta demonstrasi “Cloud Chamber” bagi mengesan zarah sub-atom. Pelajar juga berpeluang menggunakan set optik yang terdiri daripada kanta cembung, kanta cekung, prisma, dan blok separa bulat bagi mengamati fenomena cahaya seperti pembiasan, pantulan, dan penumpuan cahaya.

Jabatan Biosains dengan “Make Your Own Herbarium” iaitu aktiviti merekodkan tisu tumbuhan yang bertujuan untuk mencetuskan minat dan rasa ingin tahu pelajar terhadap sains tumbuhan, biodiversiti, dan amalan lestari, di samping membangunkan kemahiran penyelidikan dan pendokumentasian mereka. Aktiviti ini memperkenalkan pelajar kepada seni dan sains penyediaan herbarium daripada proses mengutip, menekan, dan melabel spesimen tumbuhan, sehinggalah menjahit dan memasangnya dengan kemas pada helaian arkib. Jabatan Biosains juga memperkenalkan teknik “Vermicomposting” yang merupakan teknik kompos menggunakan cacing.

Jabatan Kimia menampilkan demonstrasi “Elephant Toothpaste” yang merupakan demonstrasi menarik menunjukkan bagaimana kimia berfungsi dengan langkah yang mudah difahami. Pelajar dapat melihat sendiri bagaimana apabila sabun pencuci pinggan ditambahkan ke dalam larutan hidrogen peroksida dan kalium permanganat, gelembung oksigen yang terhasil terperangkap dan menghasilkan buih yang meletus keluar, menyerupai ubat gigi dari tiub gergasi. Terdapat juga demonstrasi “Potato Cell” menggunakan kentang bagi menunjukkan bagaimana tindak balas kimia boleh menghasilkan tenaga elektrik. Dan akhir sekali daripada Jabatan Kimia, adalah eksperimen elektrolisis yang dilakukan menggunakan dua batang pensel di mana grafit pada pensel bertindak sebagai elektrod, bagi membuktikan air boleh diuraikan melalui proses elektrolisis menggunakan tenaga elektrik.

Program ini turut disertai oleh Jabatan Sains Matematik menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti “Number Maze”, “No Turn Left, Mind Reader”, “Microbit” dan permainan kuadratik atau pemfaktoran yang dicipta khas bagi menarik minat pelajar kepada matematik, dan pembelajaran matematik dalam suasana yang menarik dan tidak membosankan.

Diharapkan agar program kerjasama di antara Fakulti Sains UTM dan SMK Sri Tebrau ini dapat memberikan manfaat kepada para pelajar serta ahli jawatankuasa yang terlibat, ke arah pembudayaan dan pemerkasaan STEM melalui sinergi di antara universiti dan sekolah. Pelbagai aktiviti susulan akan dirancang di SMK Sri Tebrau, sebagai Sekolah Angkat STEM Fakulti Sains.