December 7, 2025

Delegasi Malaysia teroka pendekatan strata unik di Dubai

JOHOR BAHRU, 24 Sept – Satu lawatan profesional dilaksanakan ke Dubai dari 16 September hingga 24 September 2025 bagi meninjau perkembangan terkini dalam pengurusan bangunan strata. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Ainur Zaireen Zainudin bersama beberapa ahli perunding, iaitu Dr. Azizah Ismail, Dr. Hariati Abdullah Hashim, Dr. Nurul Syakima Mohd Yusoff dan Dr. Norhidayah Md. Yunus. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada Kajian Perundingan bagi Pindaan Akta Pengurusan Strata 2013, yang dijalankan bersama pasukan perunding Uni-Technologies Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Delegasi bersama Department of Economy & Tourism Dubai
Delegasi bersama pakar inovasi dari Innovation Experts Real Estate Institute

Lawatan ini bertujuan meninjau amalan terbaik dalam penggubalan dan pindaan undang-undang pengurusan strata, termasuk penerokaan penggunaan teknologi moden dalam pengurusan rekod dan pemantauan bangunan strata. Delegasi meneliti sistem pintar dan digitalisasi data yang memudahkan pengurusan efisien, serta pendekatan pembangunan bangunan bercampur (mixed-use development) yang diamalkan di Dubai. Pengalaman ini diharapkan dapat memberi inspirasi untuk memperkaya amalan tempatan dengan model antarabangsa yang berdaya saing dan mampan.

Sepanjang lawatan, delegasi Malaysia melawat enam institusi utama di Dubai. Di Dubai Land Department (DLD), mereka mempelajari peranan Real Estate Regulatory Agency (RERA) dalam pelesenan, pendaftaran, dan pemantauan Jointly Own Property (JOP). Lawatan ke Department of Economy & Tourism (DET) menekankan kawal selia penginapan sewaan jangka pendek dalam skim strata. Sementara itu, Innovation Experts Real Estate Institute (IEREI) menawarkan latihan profesional kepada ejen pengurusan hartanah dengan akreditasi antarabangsa seperti RICS. Lawatan ke Nakheel Group, pemaju projek ikonik seperti Palm Jumeirah dan Jumeirah Village Circle, memperlihatkan pendekatan pembangunan komuniti strata moden yang inovatif dan lestari.

Delegasi bersama College of Law, University of Dubai
Delegasi bersama wakil Dubai South

Di Dubai South, delegasi didedahkan kepada pembangunan bandar bersepadu yang menekankan keseimbangan antara kediaman, pekerjaan, dan rekreasi, selaras dengan Dubai 2040 Urban Master Plan. Lawatan ke College of Law, University of Dubai pula memperkukuh kefahaman delegasi terhadap prosiding tribunal, termasuk penyelesaian pertikaian dan timbangtara.

Perbincangan sepanjang lawatan membuka ruang untuk pertukaran pandangan dan perkongsian ilmu dalam bidang pengurusan strata. Delegasi Malaysia berpeluang membina jaringan strategik dengan institusi berprestij di Dubai, sekali gus memperkaya pengetahuan dan pengalaman praktikal yang boleh diaplikasikan di Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi impak positif terhadap pengukuhan dasar dan amalan pengurusan strata negara, seterusnya menyokong pembangunan bandar yang mampan dan profesional.

Keseluruhan lawatan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam meningkatkan kapasiti pengurusan strata, memperkenalkan teknologi baru, dan menilai model pembangunan bandar yang lestari. Lawatan ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal delegasi, tetapi juga membuka peluang kerjasama strategik yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan dasar serta amalan pengurusan strata yang lebih efisien dan berinovasi di Malaysia.

Explore More

UTM Open Day