Program ini dianjurkan oleh Team Burger Okara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah projek komuniti dengan tajaan dana daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Penganjuran turut mendapat kerjasama Surau Nurussalam, Komuniti Pulai Mutiara 2 dan Kelab Sahabat Professional. Inisiatif ini dilaksanakan bersempena agenda Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK), sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemakanan sihat berasaskan tumbuhan serta amalan pengurusan sisa yang mampan.
Program dimulakan dengan sesi ceramah yang menekankan dua aspek penting iaitu kesedaran pemakanan sihat dan pengurusan sisa lestari. Ceramah bertajuk Pemakanan Sihat Burger Okara disampaikan oleh Ketua Penyelidik geran komuniti, Dr. Radhiahtul Raehan Mustafa dari Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM, manakala ceramah bertajuk Pengurusan Sisa Mampan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Faisal Khanaan dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM.


Lebih 60 peserta yang terdiri daripada golongan wanita, lelaki dan kanak-kanak hadir menyertai bengkel tersebut. Selain pendedahan teori, mereka turut berpeluang mengikuti sesi praktikal memasak patty berasaskan hampas kacang soya (okara). Aktiviti demonstrasi Burger Okara ini mendapat sambutan hangat kerana resipi yang diperkenalkan bukan sahaja mudah disediakan, malah berkhasiat dan boleh dihasilkan sendiri di rumah sebagai alternatif makanan sihat.


Suasana bengkel bertambah meriah dengan persembahan qasidah oleh anak-anak komuniti setempat serta pertandingan mewarna yang disediakan untuk peserta kanak-kanak. Dalam masa sama, pemeriksaan kesihatan percuma turut diadakan melibatkan saringan gula dalam darah, kolesterol serta pemeriksaan mata, sekali gus menjadikan program ini lebih holistik dalam mendidik masyarakat mengenai gaya hidup sihat.

Penganjuran bengkel ini membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam konsep pemakanan lestari yang bukan sahaja menyokong kesihatan tubuh badan, malah menyumbang kepada pengurangan sisa makanan dan pencemaran alam sekitar. Bengkel ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat serta memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti setempat.
Kehadiran ramai peserta membuktikan minat dan kepedulian masyarakat terhadap isu pemakanan sihat dan kelestarian. Malah, kejayaan penganjuran ini tidak terlepas daripada sokongan erat antara universiti, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan yang berganding bahu sejak peringkat perancangan hingga pelaksanaan.
Secara keseluruhannya, Bengkel Burger Okara bukan sahaja berjaya mencapai matlamat meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat dan amalan lestari, tetapi turut menjadi bukti bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat mampu melahirkan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Lebih penting lagi, melalui pendekatan menyeluruh ini, program berkenaan seiring dengan agenda Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) serta komitmen UTM dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan (SDG 3), penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab (SDG 12) serta tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13).