KOTA TINGGI, 9 Sept. – Bahagian Governan dan Pentadbiran, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) [JTNC (HEPA)] dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Punggai serta Majlis Perbandaran Pengerang telah menganjurkan program pembersihan di Pantai Batu Layar, Pengerang, Johor bersempena kempen bertemakan “Sayangi Pantai, Lestarikan Alam”.
Seramai 65 peserta menyertai program berkenaan terdiri daripada staf JTNC (HEPA) serta pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada UTM SPACE, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Fakulti Sains (FS), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) serta Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT). Penganjuran ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai selain memupuk rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar sebagai warisan bersama.
Peserta berkumpul di Tasik UTM untuk pendaftaran sebelum bergerak bersama-sama ke Pantai Batu Layar. Setibanya di lokasi, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penasihat Jawatankuasa Induk Anugerah Kelestarian (GREEN LEAF), Dr. Mohd Amri Md. Yunus. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada AJK Kelestarian UTM yang berjaya meraih tempat kedua dalam Anugerah Kelestarian 2024. Beliau juga berharap agar semua pihak terus berusaha untuk mengekalkan momentum dan menggapai kejayaan lebih cemerlang pada tahun 2025.
Ucapan turut disampaikan oleh Ketua Pentadbiran JTNC (HEPA), Puan Hanifah Ahmad. Beliau menegaskan bahawa inisiatif kelestarian tidak terhenti dengan program ini sahaja, sebaliknya akan diteruskan dengan pelbagai bentuk kerjasama. “Pada pra bengkel Jabatan TNC (HEPA) yang berlangsung pada 9 September 2025, antara inisiatif yang sedang dirancang termasuklah usaha menambah peluang ekonomi dan prasarana komuniti tempatan, sekali gus memperkasa hubungan universiti bersama masyarakat,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, Puan Hanifah turut menyampaikan cenderahati kepada Ketua Kampung Punggai, Esam Hj. Noh yang diiringi Dr. Mohd Amri. Esam dalam ucapannya amat mengalu-alukan usaha pembersihan ini kerana Pantai Batu Layar merupakan lokasi tumpuan pelancong. “Kerjasama strategik seperti ini memberi teladan yang baik kepada orang ramai serta mewujudkan keharmonian bagi para pelancong yang berkunjung,” katanya.

Turut menyatakan sokongan ialah wakil Majlis Perbandaran Pengerang, Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Pelesenan, Norzahratul Nordin. Beliau menegaskan bahawa program sebegini seiring dengan agenda Johor Bersih yang memantau dapatan kutipan sampah daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Menurutnya, inisiatif yang digerakkan UTM amat signifikan dalam memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat dan negeri Johor secara keseluruhan.
Selesai sesi ucapan, peserta dibekalkan plastik sampah sebelum memulakan aktiviti pembersihan. Kesungguhan yang ditunjukkan berjaya mengumpul sebanyak 174.52 kilogram sampah yang kemudiannya ditimbang dan direkodkan oleh petugas Majlis Perbandaran Pengerang.


Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Penyelaras Program, Aminudin Doll, Ketua Kampung Punggai merangkap Pengerusi JPKK, Esam Hj. Noh, Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Pelesenan, Norzahratul Nordin, petugas Majlis Perbandaran Pengerang, staf serta para pelajar yang bersama-sama menjayakan program.
Secara keseluruhannya, penganjuran ini berjalan lancar dan mencapai objektif. Usaha seumpama ini bukan sahaja menyemai nilai cinta alam sekitar, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti. Kebersihan pantai juga memberi impak langsung terhadap kelestarian ekosistem marin dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi), SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan), SDG 13 (Tindakan Iklim) serta SDG 14 (Kehidupan Dalam Air).