JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Seramai 13 graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menerima tawaran pekerjaan dengan pendapatan premium selepas menyertai program latihan peningkatan kemahiran Train & Place bertajuk “Artificial Intelligence in Robotics and Manufacturing with Arduino Uno Microprocessor Certification”, selama sepuluh hari di UTM Johor Bahru. Program ini dianjurkan oleh Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama GMP Training Consultant sebagai salah satu usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan UTM.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Dana Intervensi Kebolehpasaran Graduan, yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM169,000.00. Ia bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada graduan melalui latihan berstruktur dalam bidang teknologi terkini, sejajar dengan permintaan industri yang semakin menumpu kepada automasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI). Semua peserta seterusnya diberi penempatan pekerjaan di pelbagai industri setelah tamat mengikuti latihan.

Latihan yang ditawarkan dalam program ini melibatkan sesi intensif yang menggabungkan pembelajaran teori dan praktikal. Peserta turut didedahkan kepada kemahiran insaniah dan pembangunan kerjaya seperti penyediaan resume, teknik menghadiri temuduga, kemahiran komunikasi profesional serta sesi pertemuan bersama wakil industri. Pendekatan menyeluruh ini dilihat mampu meningkatkan keyakinan graduan untuk menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar.

Menurut Pengarah UTMCC, Dr. Suhaila Mohamad Yusuf, kerjasama erat antara universiti dan industri adalah kunci utama dalam menjayakan program sebegini.
“Program ini bukan hanya memberikan ilmu, tetapi turut membuka peluang sebenar kepada graduan untuk menjejakkan kaki ke dunia kerjaya. Kami di UTMCC percaya bahawa latihan teknikal yang disertai bimbingan kerjaya boleh mengubah masa depan seseorang,” katanya.
Antara syarikat yang menyambut baik inisiatif ini ialah China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) yang menawarkan penempatan kerja kepada peserta program bagi menyertai projek mega East Coast Rail Link (ECRL). Peluang ini turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kualiti latihan yang dijalankan.
Muhammad Faris bin Sarizal, graduan dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) berkata, “Kursus ini membuka banyak perspektif baru dalam dunia AI. Saya rasa bersyukur dapat menyertai program ini dan kini diberi peluang bekerja dalam projek berskala besar seperti ECRL.”
Seorang lagi peserta yang turut menerima tawaran ECRL Sdn Bhd, Rohan Raj, menyifatkan program itu sebagai platform penting untuk memahami keperluan sebenar industri. “Robotik dan AI adalah komponen utama Revolusi Industri 4.0. Program ini memberi pengetahuan dan membolehkan kami belajar teknologi semasa sambil membina keyakinan. Terima kasih pihak UTMCC kerana menganjurkan program ini,” ujarnya.
UTM melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) bertekad untuk terus memperluas pelaksanaan program latihan berimpak tinggi seumpama ini agar lebih ramai graduan mendapat akses kepada peluang peningkatan kemahiran yang selari dengan kehendak pasaran kerja semasa. Dengan menggabungkan pendekatan berpusatkan industri, pembelajaran sepanjang hayat dan jalinan strategik bersama rakan industri, UTM komited untuk memastikan setiap graduan bukan sahaja memiliki ilmu, malah berkeupayaan mencipta impak dalam landskap pekerjaan yang dinamik dan mencabar.