September 12, 2025

UTM, UPI-YPTK dan MBPG anjur program pemindahan ilmu AI kepada peniaga

PASIR GUDANG, 13 Ogos – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Universitas Putra Indonesia YPTK dan disokong oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), menganjurkan program komuniti bertajuk “Penggunaan AI dan Media Sosial bagi Tingkatkan Jualan Peniaga”. Program ini berlangsung pada 13 Ogos 2025 di Ballroom Cempaka Jingga, Menara Aqabah, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu (KTP) dan pengabdian masyarakat yang bertujuan untuk memperkasakan peniaga dengan pengetahuan teknologi terkini, sekali gus membantu mereka meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar pada era digital. Program ini mendapat sokongan penuh daripada MBPG, yang bukan sahaja bertindak sebagai penganjur bersama, malah turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program ini dengan menyediakan peserta yang terdiri daripada peniaga di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

Sebahagian daripada peserta terdiri daripada usahawan mikro dan kecil tempatan yang menjalankan pelbagai jenis produk serta perkhidmatan

Seramai lebih kurang 30 orang peserta terlibat yang merupakan usahawan mikro dan kecil tempatan daripada pelbagai jenis produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, pakaian, aksesori, kraf tangan, serta produk kecantikan. Mereka telah menyertai program ini secara percuma dan diberi peluang untuk mengikuti sesi-sesi latihan dan perkongsian ilmu berkaitan teknologi digital, pemasaran dalam talian, serta pengurusan perniagaan moden, yang diharapkan dapat memberi impak positif dan mampan terhadap perkembangan perniagaan masing-masing serta menjana ekonomi setempat.

Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program ini termasuk sesi pengenalan kepada Teknologi Generatif Kecerdasan Buatan (AI) serta penjanaan bahan promosi digital. Sesi ini telah dikendalikan dengan penuh berkesan oleh pasukan pakar dari UTM yang terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Rohayanti Hassan, Prof. Madya Dr. Murtadha Mohamad, dan Dr. Shamini Raja Kumaran, dengan sokongan tenaga muda daripada beberapa pelajar PhD iaitu Asraful Syifa Ahmad, Apri Junaidi, dan Norazhar Anas. Para peserta bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas dan potensi penggunaan AI generatif dalam bidang promosi, malah turut diberikan bimbingan praktikal untuk menghasilkan rekaan dan kandungan promosi yang lebih menarik, kreatif, dan relevan dengan keperluan semasa.

Prof. Madya Dr. Murtadha Mohamad sedang membimbing para peserta dalam penggunaan teknologi AI untuk tujuan pemasaran

Selain itu, satu bengkel hands-on TikTok Content Creation turut diadakan sebagai platform latihan intensif untuk peserta menghasilkan hantaran berimpak tinggi di aplikasi TikTok. Bengkel ini dikendalikan oleh pasukan gabungan dari UTM bersama Universitas Putra Indonesia (UPI) yang terdiri daripada Prof. Dr. Sarjon Defit, Prof. Madya Dr. Jhon Veri, serta Dr. Febi. Melalui bengkel ini, peserta dibimbing secara langsung mengenai teknik rakaman, penyuntingan kreatif, penggunaan muzik serta elemen visual yang mampu menarik minat audiens khususnya generasi muda.

Bagi menggalakkan penglibatan aktif, peserta yang berjaya menyiapkan hantaran TikTok dengan memenuhi kriteria kreativiti, impak, dan keaslian telah diberikan ganjaran baucar Touch ‘n Go sebagai penghargaan. Inisiatif ini bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan, tetapi juga membina keyakinan peserta untuk terus mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam aktiviti promosi dan komunikasi digital pada masa hadapan.

Pasukan UTM dan pasukan gabungan Universitas Putra Indonesia

Prof. Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Komputeran UTM, menyatakan bahawa kolaborasi pintar ini mampu membawa perubahan nyata kepada masyarakat. Beliau turut mencadangkan langkah ke hadapan seperti penganjuran siri bengkel lanjutan diadakan bagi memastikan peserta terus mendapat bimbingan dan sokongan selepas program tamat. Penglibatan diperingkat antarabangsa bersama UPI membuka ruang untuk memperkasakan komuniti setempat di persada global. Juga kerjasama dengan agensi kerajaan seperti MBPG sangat diperlukan untuk merealisasikan usaha memajukan masyarakat, dari sudut sosial dan ekonomi. Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian sijil kepada peserta oleh wakil Dato’ Bandar, Hj. Nor Rahman Mustaffa, Timbalan Setiausaha MBPG. Program seumpama ini menjadi langkah proaktif ke arah pembangunan lestari komuniti bandar pintar seperti Pasir Gudang.

Prof. Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim menzahirkan penghargaan atas kejayaan pelaksanaan KTP
Hj. Nor Rahman Mustaffa, Timbalan Setiausaha MBPG memberikan ucapan penutup

Explore More