ULAANBAATAR, 26 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan reputasi sebagai peneraju pendidikan kejuruteraan dan teknologi apabila berjaya meraih Anugerah Khas Tokyo Electron Ltd pada pertandingan ABU Robocon 2025 yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia, dari 22 hingga 26 Ogos lalu.
Pertandingan yang menghimpunkan 14 pasukan daripada 13 negara itu memperlihatkan saingan sengit, dengan Mongolia selaku tuan rumah menghantar dua wakil. Walaupun berdepan cabaran besar, pasukan UTM berjaya menyerlah dan menjadi antara pasukan yang mendapat pengiktirafan khas daripada pihak penganjur.

Kejayaan ini membawa makna besar bukan sahaja kepada warga UTM, malah kepada Malaysia secara keseluruhan kerana ia mengangkat nama negara di persada antarabangsa dalam bidang robotik dan automasi.
Pasukan UTM kali ini dibarisi 37 mahasiswa daripada tiga fakulti, terdiri daripada 27 pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), tujuh pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), serta tiga pelajar Fakulti Komputeran (FC). Mereka dibimbing oleh pengurus pasukan, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Ridzuan Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Sejak penubuhannya pada tahun 2002, pasukan Robocon UTM menjadi platform strategik yang menghimpunkan kepakaran pelbagai fakulti. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kreativiti, membangunkan algoritma, membina robot dan merangka strategi, malah turut memperkukuh kerjasama antara disiplin dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi di universiti.
Menurut Pengurus Pasukan Robocon UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Ridzuan Ahmad, peluang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa adalah suatu penghormatan besar.
“Kami amat berbesar hati kerana diberi kesempatan membawa nama Malaysia ke ABU Robocon 2025 di Ulaanbaatar. Kejayaan ini adalah hasil dedikasi, kerja keras, dan semangat tidak pernah mengenal penat. Lebih daripada itu, pengalaman yang diperoleh di sini amat berharga kerana ia membuka peluang kepada pasukan untuk terus berkembang dan meningkatkan keupayaan pada masa hadapan. Kami kini lebih bersemangat untuk memperbaiki kekuatan sedia ada dan menghadapi cabaran baharu,” katanya.

Lebih istimewa, kejayaan di Mongolia hadir selepas UTM mendominasi Robocon Malaysia 2025 yang berlangsung di UTHM pada Jun lalu, apabila merangkul tempat pertama, kedua dan Best Technology Award. Dominasi itu sekali gus melayakkan UTM dipilih mewakili Malaysia ke ABU Robocon 2025.
Pencapaian konsisten ini memperlihatkan keupayaan UTM dalam melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, malah memiliki ketahanan mental dan daya kepimpinan yang tinggi. Usaha berterusan pasukan ini juga selari dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global.
Dengan semangat inovasi yang terus menyala, pasukan Robocon UTM diyakini mampu memberikan saingan sengit di edisi akan datang. Kejayaan mereka setakat ini bukan sekadar kejayaan pasukan, tetapi juga simbol kepada kekuatan sinergi ilmu dan kerjasama antara fakulti di UTM yang menjadi tunjang utama kecemerlangan universiti di arena antarabangsa.