October 4, 2025

UTM perkasa guru melalui integrasi teknologi realiti terimbuh (AR) dalam pendidikan AI

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, dengan sokongan Geran KTP RIG 2025 (Knowledge Transfer Programme – Research Innovation Grant) telah berjaya menganjurkan bengkel bertajuk “Mengintegrasikan Teknologi Realiti Tertambah (Augmented Reality – AR) dalam Pendidikan AI”. Program ini berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak dengan penyertaan seramai 35 orang guru.

Bengkel ini diketuai oleh Dr. Siti Maherah Hussin, manakala Dr. Muhammad Khair Noordin bertindak sebagai penceramah utama. Modul pembelajaran turut disediakan oleh ketua projek untuk memberi pendedahan menyeluruh tentang penggunaan teknologi AR dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penganjuran bengkel ini bertujuan menangani cabaran dalam pengajaran tradisional yang masih banyak bergantung pada papan hitam, buku teks, dan slaid pembentangan. Kaedah konvensional ini sering kurang menarik perhatian pelajar dan menyukarkan penyampaian konsep yang kompleks. Dengan penerapan teknologi AR, pengajaran dapat diperkaya menjadi lebih interaktif dan kreatif, sekali gus meningkatkan pemahaman serta penglibatan pelajar. Hal ini kerana AR menggabungkan objek maya seperti gambar 3D, animasi, teks, dan audio dengan dunia nyata melalui peranti seperti telefon pintar atau tablet.

Sesi latihan praktikal menggunakan aplikasi AR

Sepanjang bengkel, para guru telah mengikuti sesi interaktif yang meliputi pengenalan kepada teknologi AR, panduan membangunkan bahan pengajaran menggunakan aplikasi AR, serta aktiviti berkumpulan berfokuskan penghasilan bahan pengajaran mengikut tema tertentu. Lebih membanggakan, lima projek pengajaran ringkas berasaskan AR berjaya dihasilkan melalui aktiviti tersebut. Hasil ini jelas membuktikan keberkesanan bengkel dalam melahirkan tenaga pengajar yang inovatif, kreatif, serta berupaya menyampaikan pengajaran dengan cara yang lebih menarik dan bermakna.

Hasil soal selidik sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tahap pengetahuan, kefahaman dan keyakinan guru terhadap penggunaan AR. Data perbandingan ini membuktikan keberkesanan bengkel dan memberi asas kukuh untuk perancangan latihan lanjutan pada masa hadapan.

Pembentangan oleh wakil kumpulan

Ketua Subprojek, Dr. Siti Maherah Hussin, berkata, “Guru-guru memberikan reaksi yang amat menggalakkan terhadap program ini, malah, mereka berharap agar aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan dengan melibatkan lebih ramai guru daripada pelbagai sekolah.”

Penganjuran bengkel ini turut memberi impak positif kepada pembangunan profesionalisme guru. Mereka bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah lebih yakin untuk mengintegrasikan teknologi AR dalam kelas sebenar, sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran murid.

UTM percaya bahawa inisiatif seperti ini dapat memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju inovasi pendidikan berteraskan teknologi. Dengan lahirnya pendidik abad ke-21 yang celik teknologi, aspirasi melahirkan pelajar berdaya saing dapat direalisasikan, sejajar dengan visi UTM sebagai universiti global berteraskan inovasi.

Oleh Dr. Siti Maherah Hussin dan Ts. Dr. Normaisharah binti Mamat

Explore More