Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia giat melaksanakan inisiatif Edutourism sebagai salah satu strategi mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa. Konsep ini menggabungkan elemen pembelajaran dengan pelancongan, membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa menikmati pengalaman akademik sambil meneroka keunikan budaya, warisan, serta alam sekitar negara. Edutourism bukan sekadar program lawatan, tetapi satu bentuk pendedahan holistik yang mendukung aspirasi “Study in Malaysia”.
Agenda ini diperkukuhkan lagi melalui penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka, di mana KPT memperkenalkan lebih 160 pakej Edutourism melibatkan pelbagai universiti awam dan swasta. Platform digital Edutourism Gateway turut dilancarkan untuk memudahkan capaian global kepada pelbagai program yang ditawarkan. Selain itu, kerjasama strategik antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Tourism Malaysia sejak 2022 telah membuka ruang promosi lebih meluas, menyasarkan pelajar mobiliti, kursus jangka pendek serta lawatan akademik yang menekankan nilai budaya tempatan.
Dalam penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke program ‘MyEduTour: Discover Malaysia’ anjuran Education Malaysia Indonesia pada 25 Jun 2025 di Jakarta, tumpuan diberikan terhadap program Edutourism yang menggabungkan elemen pendidikan, diplomasi budaya dan pelancongan akademik yang direka khusus bagi mempromosikan UTM sebagai destinasi utama pendidikan tinggi kepada pelajar, ibu bapa, guru, dan institusi pendidikan di Indonesia termasuk sekolah menengah, politeknik, kolej vokasional dan universiti. Langkah ini diharap dapat menarik minat generasi muda Indonesia untuk mengenali Malaysia melalui pengalaman pembelajaran berkonsepkan edutourism, di samping membuka peluang kolaborasi akademik antara kedua-dua negara jiran ini.
Seiring dengan agenda nasional tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui inisiatif UTM Edutourism telah menghimpunkan pakej Edutourism berteraskan kepakaran universiti, kebudayaan warisan Johor, destinasi pelancongan serta kelestarian alam sekitar. Program ini dirangka bukan sahaja untuk pelajar antarabangsa tetapi juga sekolah, komuniti dan institusi rakan strategik yang ingin merasai pengalaman pembelajaran unik di kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur. UTM pada ketika ini menawarkan sebanyak 21 program edutourism yang terdiri daripada pelbagai tema iaitu Seni dan Sains Sosial (ANS), Perniagaan dan Keusahawanan (BAE), Alam Sekitar dan Sains Kesihatan (EAH), Kulineri, Kebudayaan dan Warisan (FCH), Bahasa dan Komunikasi (LAC), Sains dan Teknologi (SAT) serta Alam Semula Jadi dan Pengembaraan (NAA). Dengan beberapa pakej yang ditawarkan ini, UTM bukan sahaja menyokong agenda Edutourism KPT malah memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju global dalam pendidikan lestari, pemerkasaan teknologi dan penghayatan budaya. Program ini diyakini dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan seharian peserta disamping menarik minat pelajar antarabangsa, sekaligus mengukuhkan reputasi Malaysia di persada pendidikan dunia.


