October 5, 2025

UTM International raih dua Anugerah Penjenamaan sempena Citra Karisma 2025

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – UTM International terus melakar kecemerlangan apabila meraih dua Anugerah Penjenamaan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan & Penghargaan UTM Citra Karisma 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Selain menerima pengiktirafan sebagai Jabatan Terbaik dalam Anugerah Penjenamaan (Kategori Pusat Tanggungjawab/Kumpulan), Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penjenamaan kategori Individu Staf Akademik. Kedua-dua anugerah ini telah disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, sekali gus menzahirkan penghargaan universiti terhadap usaha UTM International dalam memperkukuh penjenamaan UTM di peringkat global.

Anugerah Penjenamaan diperkenalkan dengan tujuan melahirkan pakar dan menggalakkan aktiviti perkhidmatan profesional dalam bidang penjenamaan UTM. Inisiatif ini juga menjadi langkah strategik untuk menyokong usaha berterusan universiti dalam mengurus reputasi serta mengangkat jenama UTM ke tahap yang lebih efektif dan berimpak tinggi.

Sebagai pusat tanggungjawab yang menerajui agenda pengantarabangsaan, UTM International sentiasa menekankan elemen penjenamaan dalam setiap program dan penglibatan. Sepanjang tahun lalu sahaja, pelbagai inisiatif penting telah dianjurkan termasuk World Technology Universities Congress (WTUC), UTM Buddies Jamboree, UTM Mobility Carnival serta UTM Ambassador’s Roundtable. Pada masa yang sama, UTM juga giat menyertai pelbagai platform antarabangsa seperti Persatuan Pendidikan Antarabangsa Asia-Pasifik (APAIE) di India, Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) di Türkiye, Persatuan Eropah untuk Pendidikan Antarabangsa (EAIE) di Perancis dan QS Summit di Macau.

Majlis Citra Karisma 2025 turut menyaksikan Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Abu Bakar, Timbalan Pengarah UTM International, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Projek Penyelidikan (Kategori Industri). Sementara itu, empat staf UTM International, Ahmad Hilman Borhan; Norazam Samsudin; Zera Izwani Azizan; D.dahyuna Mohd Yunos, turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, satu pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam mengangkat nama universiti.

Menurut Prof. Madya Dr. Ariffin, kejayaan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga UTM International untuk terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti. Antaranya ialah penganjuran program prolifik UTM International iaitu 14th UTM University Presidents Forum 2025 (UTM-UPF 2025) yang bakal dianjurkan pada 7–8 Oktober di Johor Bahru. Dengan tema “Navigating the Intelligent Age for Global University Excellence”, UTM-UPF 2025 ini bakal membariskan barisan pengucaptama dan panelis antarabangsa serta akan disertai oleh pimpinan universiti dari pelbagai negara di seluruh dunia. Tambahan pula, pemilihan UTM sebagai penganjur utama persidangan APAIE 2027 di Kuala Lumpur akan melonjakkan lagi reputasi dan jenama UTM di persada dunia.

 

Oleh Ahmad Hilman Borhan, Timbalan Pendaftar, UTM International

 

Explore More