Dalam landskap pendidikan Malaysia yang dinamik, para pemimpin berada di barisan hadapan membentuk sekolah dan institusi yang mampu memenuhi tuntutan dunia yang berubah pantas. Dengan kemunculan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan globalisasi yang mengubah cara pelajar belajar serta guru dan pensyarah mengajar, peranan pemimpin pendidikan menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Melangkaui dasar dan infrastruktur, kemahiran insaniah mereka — keupayaan berhubung, memberi inspirasi dan memimpin dengan visi — adalah pemangkin sebenar transformasi.
Berdasarkan kerangka Stephen R. Covey dalam The 7 Habits of Highly Effective People, pemimpin pendidikan di Malaysia boleh mengamalkan tujuh tabiat orang yang berkesan, yang bukan sahaja memperkukuh keupayaan diri tetapi juga memupuk budaya kerjasama, inovasi dan pembelajaran mampan. Dengan menyelaraskan tabiat ini dengan aspirasi pendidikan negara, pemimpin mampu mencapai kecemerlangan sambil membangunkan sekolah, kolej atau institusi pengajian tinggi yang inklusif serta bersedia menghadapi masa depan.
Pemimpin berkesan tidak menunggu perubahan dari luar, sebaliknya mengambil alih kawalan keadaan. Daripada menyalahkan dasar, kekangan sumber atau cabaran masyarakat, mereka perlu memberi tumpuan kepada aspek yang boleh dikawal, seperti memotivasikan guru atau pensyarah, melibatkan ibu bapa dan membina ketahanan pelajar. Sebagai contoh, seorang guru besar yang proaktif boleh memulakan program literasi peringkat sekolah untuk merapatkan jurang pembelajaran tanpa menunggu campur tangan pihak atasan.
Pemimpin juga perlu membayangkan kejayaan yang ingin dicapai. Bagi pengetua dan guru besar di Malaysia, ini bermakna menyelaraskan matlamat sekolah dengan aspirasi Kementerian Pendidikan seperti melahirkan pelajar holistik melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Penetapan ukuran kejayaan yang jelas — sama ada meningkatkan penglibatan dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), memperkukuh literasi digital atau menggalakkan keterangkuman — memberi hala tuju dalam setiap keputusan harian.
Selain itu, pemimpin berkesan tahu membezakan antara perkara yang mendesak dengan yang penting. Daripada tenggelam dalam urusan pentadbiran atau krisis sementara, mereka seharusnya menumpukan kepada aspek utama yang memajukan pembelajaran pelajar. Sebagai contoh, seorang pengetua wajar mengutamakan kepimpinan instruksional dengan memantau bilik darjah, membimbing guru dan menilai kemajuan pelajar agar kecemerlangan akademik kekal sebagai inti utama sekolah.
Sekolah dan institusi pendidikan akan berkembang apabila pemimpin memupuk pemikiran ‘menang-menang’. Daripada melihat guru, ibu bapa atau pihak berkuasa sebagai pihak yang bersaing, mereka membina kerjasama yang saling menguntungkan. Misalnya, seorang pengetua boleh melibatkan guru dalam membangunkan kaedah pengajaran inovatif bersama-sama. Kerjasama ibu bapa-sekolah yang erat juga menyokong kesejahteraan pelajar.
Kepimpinan sejati bermula dengan empati. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang bahasa, budaya dan latar sosioekonomi, mendengar dengan teliti menjadi keutamaan. Pemimpin berkesan mendengar kebimbangan guru, pelajar dan ibu bapa sebelum membuat keputusan, sekali gus memastikan penyelesaian yang diambil bersifat inklusif dan praktikal.
Kepelbagaian budaya di Malaysia juga merupakan kekuatan. Pemimpin yang bijak memanfaatkan perbezaan perspektif dan pengalaman akan melahirkan penyelesaian lebih kreatif. Sebagai contoh, seorang dekan yang menggalakkan perkongsian amalan terbaik antara pensyarah daripada latar berbeza berupaya membina budaya sinergi yang memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa.
Untuk mengekalkan keberkesanan jangka panjang, pemimpin perlu melabur dalam pembangunan diri. Beban tugas yang berat sering membawa kepada keletihan, namun pemimpin berkesan sedar bahawa keseimbangan fizikal, mental, emosi dan spiritual amat penting. Kursus pembangunan profesional, jaringan bersama rakan sejawat, amalan kesedaran diri serta masa bersama keluarga menjadi antara strategi untuk memastikan ketahanan kepimpinan.
Kerangka The 7 Habits of Highly Effective People kekal relevan hingga hari ini. Bagi pemimpin pendidikan di Malaysia, ia bukan sekadar alat pembangunan diri, sebaliknya laluan menuju kecemerlangan organisasi.
Dengan bersikap proaktif, merangka visi dan mendahulukan perkara utama, pemimpin menguasai diri. Dengan membina hubungan ‘menang-menang’, mendengar dengan empati dan bersinergi merentasi perbezaan, mereka memperkukuh kerjasama serta inovasi. Dan dengan sentiasa memperbaharui diri, mereka memastikan kepimpinan yang berdaya tahan dan mampan.
Ketika Malaysia terus bergerak ke arah menjadi hab pendidikan bertaraf dunia, tabiat pemimpin berkesan akan menjadi asas kemajuan. Apabila prinsip ini diamalkan secara konsisten, ia bukan sahaja memperkasa organisasi, malah turut mentransformasikan setiap pelajar, guru dan komuniti yang disentuh oleh pendidikan.
Seiring dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia, pemimpin pendidikan perlu terus beradaptasi dengan perubahan zaman tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan. Kepimpinan yang berkesan bukan sahaja mengangkat martabat institusi, malah menjadi warisan berharga yang akan membentuk masa depan pendidikan Malaysia serta mencorakkan generasi yang mampu memimpin dunia.
Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Sharifah Osman dan Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari