September 30, 2025

Semangat Merdeka dirai bersama antara mahasiswa UTM dan Universitas Indonesia

JOHOR BAHRU, 8 Ogos – “Satu jiwa, satu semangat, satu merdeka!” – begitulah laungan yang bergema apabila mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama rakan mahasiswa dari Universitas Indonesia berganding bahu dalam Program Gotong-royong Jalur Gemilang di Taman Botani KDSE, sebagai simbolik meraikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 dengan penuh warna, makna dan kebersamaan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, yang juga Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM.

Gimik peramian program gotong-royong di Taman Botani KDSE

Program anjuran Jawatankuasa Pelajar (JKP) Kolej Datin Seri Endon (KDSE) ini dirangka sepanjang 1 Ogos hingga 15 September, menampilkan siri aktiviti berimpak tinggi termasuk Gotong-royong Jalur Gemilang, Kembara Jiwa Merdeka ke Pulau Pinang, Yasin dan Tazkirah Ambang Merdeka, serta kemuncak Majlis Penutup dan Kuiz Kemerdekaan.

Lebih istimewa, kehadiran 25 pelajar bersama pensyarah dari Universitas Indonesia menyuntik warna antarabangsa, membuktikan bahawa semangat patriotisme mampu merentasi sempadan negara. Kehadiran mereka membawa simbolik unik – dua bangsa, dua sejarah perjuangan, namun terikat oleh satu tekad kebebasan yang abadi.

Suasana di Taman Botani

Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim, Pengetua KDSE, menegaskan bahawa patriotisme tidak boleh dilihat sekadar slogan atau kibaran bendera semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata.

“Patriotisme mesti hidup dalam jiwa anak muda. Ia bukan sekadar hiasan perayaan, tetapi tekad untuk menjadi warganegara yang cinta, peduli, dan sanggup berkorban demi tanah air. Inilah roh yang kami sematkan melalui program ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini mampu melahirkan mahasiswa berilmu, berkemahiran, serta memiliki jati diri unggul, kesedaran sejarah, dan tanggungjawab sosial yang tinggi.

“UTM sentiasa berusaha membina pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki jiwa besar, berdaya saing di pentas global, serta bersedia menjadi pemimpin masa hadapan yang berbakti kepada bangsa dan negara,” tambahnya.

Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim bersama Pengarah BAPP, pensyarah Universitas Indonesia, serta penasihat dan pengarah program

Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan UTM dengan rakan universiti serantau, malah membuktikan peranan UTM sebagai institusi berwibawa yang melahirkan graduan berilmu, berjiwa besar, patriotik, berdaya saing serta berbakti kepada bangsa dan negara.

Suasana penuh muhibah sepanjang aktiviti gotong-royong ini memperlihatkan semangat kesukarelawanan dan kekitaan, selaras dengan aspirasi membina generasi muda yang menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan. Jalur Gemilang yang dikibarkan bukan hanya lambang kebanggaan negara, tetapi juga cerminan iltizam mahasiswa untuk mengekalkan kedaulatan tanah air.

Dengan penganjuran sebegini, UTM bersama mahasiswa serantau berjaya menyalakan api patriotisme yang merentasi sempadan, membina jambatan persahabatan dan mengukuhkan tekad untuk memelihara kemerdekaan.

Oleh Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim dan Aida Julia Aminuddin

Explore More