
JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama DreamEDGE Sdn. Bhd. telah mengadakan Program Bicara Profesor Adjung dan melancarkan Makmal Satelit UTM–DreamEDGE, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri dalam melahirkan bakat digital berdaya saing dan memacu inovasi teknologi masa hadapan.
Majlis yang berlangsung di Student Lounge, Aras 2, Fakulti Komputeran ini dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Datuk Khairil Adri Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DreamEDGE Sdn. Bhd. yang juga Profesor Adjung Fakulti Komputeran. Turut hadir, Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, serta warga universiti dan wakil industri.
Datuk Khairil Adri dalam perkongsiannya sewaktu Program Bicara Profesor Adjung yang bertemakan Norma Baharu dalam Kerjaya Teknologi, beliau menegaskan bahawa makmal satelit ini menjadi “living bridge” yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan realiti pasaran.
“Ruang ini menjadi tempat untuk menguji dan membentuk idea, selari dengan norma baharu dalam kerjaya teknologi. Kita hidup dalam dunia yang berubah pantas, di mana teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), XR (realiti terbentang), AR (realiti terimbuh), automasi dan Big Data sedang membentuk ciri-ciri pekerjaan masa hadapan,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan kepelbagaian kemahiran, pemikiran kritikal, kreativiti, dan fleksibiliti dalam menghadapi perubahan tugasan.
Menurut beliau, majikan kini bukan sekadar mahukan pekerja yang mengikut arahan, tetapi mereka yang mampu menyumbang idea baharu untuk memberikan nilai tambah.
“Kolaborasi secara bersemuka masih penting. Justeru, pensyarah perlu menjadi ‘bridge between classroom and boardroom’ dengan bekerjasama rapat bersama industri,” tambah beliau.
Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Shafry menyatakan bahawa kerjasama antara universiti dan industri adalah penting untuk melahirkan inovasi yang relevan dengan keperluan negara.
“Banyak inovasi telah dihasilkan oleh pensyarah UTM, tetapi pengalaman industri adalah kunci untuk memastikan inovasi itu dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar. Kerjasama UTM–DreamEDGE ini akan membantu membawa universiti ke peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Makmal Satelit UTM–DreamEDGE ini dijangka menjadi pusat kolaborasi strategik dalam penyelidikan, pembangunan produk, dan latihan kemahiran teknologi terkini, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan bakat digital yang kompeten dan berdaya saing.