September 28, 2025

SENAI, 16 Ogos – Program Jelajah Orang Johor (JOJ) @DUN Senai dimeriahkan dengan Pameran Deraf Kajian Warisan & Lukisan Terukur UTM 2025 yang berlangsung di Panggung Tong Lok Wong Tok Mew, Senai. Majlis ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, YB Tuan Wong Bor Yang bersama Pegawai Daerah Kulai, Tuan Fizwan Dato’ Hj. Mohd Rashidi, sebagai tanda sokongan penuh pihak berwajib terhadap usaha mendokumentasi dan memelihara khazanah seni bina tempatan. Kehadiran mereka menyerlahkan kepentingan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh identiti warisan negeri Johor.

YB Tuan Wong Bor Yang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai dan Fizwan Dato’ Hj. Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai menandatangani poster Pameran Lukisan Terukur UTM 2025 semasa pelancaran majlis Program Jelajah Orang Johor (JOJ) @DUN Senai

Pameran ini mengetengahkan hasil kerja 20 pelajar Tahun 2 Program Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pelajar-pelajar ini akan berada di tapak kajian selama dua minggu di bawah penyeliaan Dr. Aiman Mohd Rashid selaku Penyelaras Kursus, manakala Dr. Fadhlina Ahmad @ Taufik dari Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) bertindak sebagai Penyelia Kumpulan. Seramai 12 pelajar turut terlibat khusus dalam Projek Lukisan Terukur yang memfokuskan dua bangunan bersejarah iaitu Bangunan Kong Hay Tong (dibina pada tahun 1937) dan Bangunan Pawagam Tong Lok Wong Tok Mew (dibina pada tahun 1934).

Seramai 20 pelajar daripada Tahun 2, Sarjana Muda Sains Senibina Dengan Kepujian, UTM menyertai program JOJ DUN Senai
Antara hasil lakaran yang dihasilkan oleh para pelajar selama seminggu di tapak kajian lukisan terukur

Inisiatif ini bukan sahaja memperlihatkan kemampuan pelajar UTM dalam menghasilkan dokumentasi lukisan terukur dan kajian warisan seni bina, malah turut membuka peluang masyarakat setempat menyaksikan secara langsung proses kerja lapangan. Dengan itu, warisan seni bina yang sering dilihat sekadar bangunan lama diberi nafas baharu sebagai bahan ilmiah dan rujukan yang bernilai tinggi.

Menurut wakil UTM, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk melahirkan graduan yang peka terhadap sejarah, budaya, dan kelestarian seni bina. Lebih penting lagi, program ini mendekatkan masyarakat dengan nilai warisan yang semakin terhakis akibat arus pembangunan pesat.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat setempat, wakil jabatan kerajaan, wakil media serta penduduk sekitar Senai yang mengambil kesempatan mengunjungi pameran, mengikuti taklimat dan berinteraksi dengan pelajar. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini membuktikan wujudnya kesedaran bersama untuk menghargai dan memelihara warisan seni bina sebagai sebahagian daripada identiti Johor.

Antara pengisian utama ialah taklimat Program Lukisan Terukur dan Kajian Warisan UTM 2025 yang disampaikan oleh Dr. Fadhlina Ahmad @ Taufik. Turut berlangsung sesi menandatangani poster pameran oleh YB Tuan Wong Bor Yang dan Tuan Fizwan Dato’ Hj. Mohd Rashidi sebagai simbolik pelancaran majlis. Selain itu, para pelajar juga berkesempatan bergambar bersama pimpinan dan komuniti setempat di hadapan bangunan bersejarah Panggung Tong Lok Wong Tok Mew.

Taklimat Program Lukisan Terukur dan Kajian Warisan UTM 2025 disampaikan oleh Dr. Fadhlina binti Ahmad @ Taufik, daripada Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM
Para peserta bersama YB Tuan Wong Bor Yang (ADUN Senai) dan Tuan Fizwan Dato’ Hj Mohd Rashidi (Pegawai Daerah Kulai) bergambar di hadapan Panggung Wayang Tong Lok Wong Tek Mew, Senai

Penganjuran pameran ini sekali gus memperlihatkan peranan UTM sebagai universiti yang bukan sahaja berorientasikan teknologi dan kejuruteraan, tetapi juga mendukung agenda pemuliharaan warisan, seterusnya memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ilmu, budaya dan masyarakat.

Explore More