SHAH ALAM, 25 Ogos – Sebanyak tiga kiosk pintar Oil2Wang®, hasil inovasi pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), telah dilancarkan pada 25 Ogos lalu di sekitar Shah Alam sebagai usaha memperkasa budaya kitar semula minyak masak terpakai dalam kalangan masyarakat.
Kiosk tersebut ditempatkan di tiga lokasi strategik iaitu Wisma MBSA, Pusat Kitar Semula Komuniti Seksyen 2, serta Pusat Kitar Semula Komuniti Seksyen U13. Dua daripada lokasi itu beroperasi 24 jam sehari bagi memudahkan komuniti menyalurkan minyak masak terpakai tanpa had masa. Setiap kiosk turut dilengkapi panduan penggunaan serta nombor telefon pengawasan sekiranya berlaku sebarang masalah teknikal, menjadikannya mesra pengguna dan boleh diakses tanpa perlu pemantauan berterusan.
Sejak ia mula beroperasi, sambutan masyarakat amat menggalakkan. Dalam tempoh hanya sepuluh hari, kiosk pintar ini berjaya mengumpul lebih satu tan minyak masak terpakai daripada penduduk setempat. Pencapaian ini jelas membuktikan tahap kesedaran warga Shah Alam terhadap kepentingan pengurusan sisa lestari semakin meningkat. Dengan keupayaan menerima sisa minyak serendah 0.30 kilogram, sistem ini bukan sahaja menyasarkan pemilik restoran yang menghasilkan minyak terpakai dalam jumlah besar, malah turut memberi peluang kepada isi rumah untuk turut serta menyumbang dalam usaha kitar semula.
Menariknya, inisiatif ini bukan sekadar menggalakkan amalan hijau, tetapi juga menjana nilai ekonomi kepada komuniti. Kiosk pintar Oil2Wang® menawarkan harga belian minyak masak terpakai sebanyak RM2.50 sekilogram melalui aplikasi mudah alih khusus, dan bayaran dimasukkan terus ke akaun bank pengguna. Dengan itu, masyarakat bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran air akibat pembuangan minyak ke saliran, tetapi turut menerima manfaat kewangan secara langsung.
Sebelum dilancarkan secara rasmi, syarikat hiliran UTM, Pure Aims Technologies Sdn. Bhd., yang diterajui Dr. Faizuan, telah mengadakan sesi latihan intensif bersama kakitangan Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA. Latihan itu bertujuan memastikan semua pihak memahami cara operasi, penyelenggaraan dan fungsi teknologi pintar yang diaplikasikan dalam sistem ini. Ia turut menjadi medan perbincangan bagi menambah baik ciri-ciri yang sedia ada agar kiosk Oil2Wang® dapat berfungsi dengan lebih berkesan serta memuaskan keperluan komuniti di Shah Alam.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA, Dini Mohd Marzuki, kejayaan pelaksanaan kiosk pintar ini merupakan bukti hasil kerjasama erat antara MBSA dan UTM. Beliau menegaskan bahawa inisiatif Oil2Wang® seiring dengan usaha menjadikan Shah Alam sebagai Bandaraya Pintar, selain memupuk budaya kitar semula sebagai sebahagian daripada rutin harian penduduk.

Konsep mudah yang diketengahkan iaitu “Tuang sisa minyak, wang masuk akaun” menjadikan sistem ini lebih dekat di hati masyarakat. Penduduk bukan sahaja dapat merasai manfaat kewangan, bahkan dalam masa sama memainkan peranan penting dalam mengurangkan pencemaran, menjaga kelestarian bandar dan menyokong ekonomi kitar semula.
MBSA dalam kenyataannya menyambut baik sambutan masyarakat terhadap inisiatif ini dan menekankan bahawa kiosk Oil2Wang® akan menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah bandar hijau, seiring agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan bersama.

