October 10, 2025

Misi Ilmu Merentas Benua: Dari UTM ke Imperial College London

LONDON, 22 Ogos – Dua pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  telah diberi peluang menyertai latihan industri antarabangsa selama 12 minggu di Imperial College London, sebuah institusi penyelidikan terkemuka yang kini menduduki tempat kedua dunia dan pertama di Eropah.

Muhammad Hazim Azatul Amery dan Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi berpeluang menimba pengalaman di Jabatan Kejuruteraan Kimia, Imperial College London, di bawah seliaan Prof. Jerry Heng, yang merupakan alumni UTM, dan Dr. Isha Bade, penyelidik dalam bidang pengkristalan.

Sepanjang latihan industri ini, pelajar terlibat secara langsung dalam projek penyelidikan yang memberi fokus kepada penggunaan automasi dalam kajian pengkristalan menggunakan lengan robotik DOBOT Magician dan sistem Opentrons OT-2, lengkap dengan kawalan suhu yang tepat bagi mengoptimumkan penyelidikan.

Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada pembangunan dan operasi sistem perintis (pilot plant) bagi teknologi penangkapan karbon (carbon capture), iaitu kaedah penangkapan dan penyimpanan karbon yang semakin penting dalam menangani isu perubahan iklim.

Sementara itu, Megat Muhammad Farhan Daniel menyifatkan pengalaman ini sebagai platform pembelajaran yang holistik.

“Budaya kerja di sini amat berbeza, di mana ia lebih memfokuskan kepada keseimbangan kerja dan kehidupan. Ia juga satu peluang keemasan kerana dapat bekerja dengan rakan penyelidikan dari seluruh pelosok dunia.”

Menurut Muhammad Hazim, selain memperkukuh kemahiran penyelidikan, program ini turut membuka peluang untuk mempelajari budaya kerja antarabangsa dan membina rangkaian global.

“Selain daripada menimba ilmu penyelidikan, kami juga dapat merasai perbezaan budaya di sini melalui rakan penyelidikan dari pelbagai negara seperti China, India, Jepun, Turki dan lain-lain.”

Program ini menjadi bukti komitmen UTM dalam melahirkan graduan bertaraf global yang bukan sahaja mahir secara teknikal, malah mampu beradaptasi dalam persekitaran penyelidikan antarabangsa yang mencabar dan dinamik.

“Menjalani latihan industri antarabangsa di Imperial College London membuka peluang saya merasai sendiri pendidikan bertaraf dunia serta kolaborasi antara institusi terbaik dunia, selain memberikan inspirasi untuk saya terus melebarkan sayap dan menyumbang kepada tanah air tercinta,” kata Megat Muhammad Farhan Daniel.

Muhammad Hazim menzahirkan rasa bangga dengan menyatakan, “Sebagai mahasiswa UTM, saya amat berbangga dapat membawa nama UTM Sanjungan Bangsa ke pentas global dan membuktikan bahawa UTM mampu beradaptasi dalam bidang penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.”

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Teknologi Malaysia, khususnya Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM dan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan untuk menjalani latihan industri di peringkat antarabangsa. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, guru-guru dan pensyarah yang telah mendoakan serta menyokong perjalanan kami ke Imperial College London.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Prof. Jerry Heng dan Dr. Isha Bade di Imperial College London atas bimbingan, peluang serta tunjuk ajar sepanjang tempoh penyelidikan.

Diharapkan pengalaman ini menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai pelajar UTM untuk berani melangkah ke pentas global, mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing, dan akhirnya kembali menyumbang kepakaran kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta. Latihan industri ini bukan sekadar satu pengalaman, tetapi satu langkah permulaan ke arah membina jaringan antarabangsa dan memperkukuh keupayaan sebagai jurutera dan penyelidik masa depan.

 

Dua anak kandung UTM di satu destinasi impian – Imperial College London

Megat Muhammad Farhan Daniel bersama mesin Opentrons di makmal Imperial College London
Muhammad Hazim, merakamkan kenangan di hadapan pintu masuk utama Imperial College London

 

Explore More