November 27, 2025

Menelusuri istilah yang bukan biasa-biasa dalam penulisan tesis mahasiswa

Cuti semester sudah bermula, dan tahniah diucapkan kepada mahasiswa tahun akhir yang berjaya menamatkan pengajian dalam program masing-masing. Seperti diketahui, pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) perlu mengambil kursus Projek Sarjana Muda (PSM) bagi melengkapkan pengajian mereka. Sebagai pensyarah, penasihat akademik dan penyelia, saya secara peribadinya berbangga dengan pencapaian anak-anak didik khususnya di bawah penyeliaan saya yang berjaya menghasilkan kajian PSM, membentangkannya, dan akhirnya menamatkan pengajian mereka di UTM. Dalam bidang sains sosial khususnya di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), rata-rata mahasiswa menghasilkan kajian dan laporan PSM mereka dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, saya pastinya berbangga kerana hal demikian dapat menambahkan lagi khazanah ilmiah dalam bahasa kebangsaan andainya hasil kajian tersebut dikongsikan dan diterbitkan di mana-mana platform penerbitan.

Sebagai ahli akademik dalam bidang pendidikan Matematik, saya tidaklah menaruh harapan setinggi langit untuk membaca dan menyemak tesis yang menggunakan istilah bahasa Melayu bombastik yang jarang-jarang digunakan. Lumrahnya, mahasiswa terutamanya mereka yang bukan dalam bidang kesusasteraan Melayu ataupun pengajian bahasa Melayu menggunakan perkataan-perkataan yang mudah untuk membentuk ayat-ayat tertentu demi menghasilkan laporan tesis yang lengkap. Walau bagaimanapun, sepanjang saya menyelia mahasiswa, terdapat banyak istilah yang barangkali jarang-jarang mahasiswa dalam bidang sains mahupun sains sosial gunakan dalam penghasilan sesebuah tesis.

Istilah pertama yang biasa digunakan ialah ‘cakna’ yang bermaksud ambil peduli atau ambil berat. Apabila mahasiswa meletakkan diri mereka sebagai penyelidik, mereka kerap mengungkapkan istilah berikut dalam penulisan yang menggambarkan mereka mengambil maklum akan situasi semasa yang melanda dunia pendidikan. Misalnya, isu pemansuhan peperiksaan utama dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebagainya. Mereka menggunakan perkataan ‘cakna’ bagi menegaskan kepedulian mereka terhadap situasi semasa. Dalam penghasilan sesebuah tesis yang lengkap, mahasiswa sebagai penyelidik harus mengutarakan terlebih dahulu permasalahan kajian yang melanda sama ada terhadap murid, pendidik, bakal pendidik dan sebagainya. Sehubungan itu, perkataan ‘cakna’ sering digunakan dalam bahagian tersebut.

Kemudian istilah ‘Marcapada’ yang merupakan perkataan sastera lama yang bermaksud dunia sekarang ini. ‘Marcapada’ juga digunakan oleh mahasiswa bagi menggantikan perkataan biasa yang sering digunakan seperti ‘sejak kebelakangan ini’, ‘mutakhir ini’ atau ‘dewasa ini’. Tambahan pula, segala pandangan mereka yang diterjemahkan dalam penulisan seharusnya relevan dengan situasi yang berlaku pada hari ini. Sebaliknya, penyelidikan mereka akan dianggap tidak seiring dengan arus peredaran zaman. Misalnya dalam konteks pendidikan Matematik, ‘Marcapada’, keputusan Matematik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2024 yang diumumkan awal tahun ini oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) menunjukkan peratusan kegagalan murid paling tinggi berbanding mata pelajaran-mata pelajaran yang lain. Istilah lain yang turut dijumpai yang membawa maksud yang serupa ialah ‘Dasawarsa’. ‘Wacana’ turut sering dijumpai dalam penulisan tesis oleh mahasiswa universiti. ‘Wacana’ mungkin lebih banyak digunakan dalam komunikasi lisan, namun dalam penulisan tesis, ia merujuk kepada kesatuan fikiran yang utuh dalam tulisan. Umpamanya, penyelidik menyimpulkan bahawa pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dikaji dapat disimpulkan dalam ‘wacana’ ini yang merujuk kepada penulisan sesebuah bab dalam tesis.

Dalam membentuk sesebuah permasalahan kajian, mahasiswa perlu membuat kajian literatur dengan merujuk kepada kajian-kajian terdahulu. Selain membuat sitasi dengan menggunakan hasil dapatan kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik terdahulu, istilah ‘cendekiawan’ yang merujuk kepada golongan ilmuan mahupun intelektual juga kadang-kala digunakan oleh mahasiswa. Misalnya, dalam konteks pendidikan Matematik, perbahasan mengenai isu kepadatan kandungan dalam buku teks Matematik sekolah rendah terus diperdebatkan dalam kalangan cendekiawan pendidikan matematik sama ada di sekolah mahupun di peringkat institusi pendidikan tinggi. Ayat ini mampu memunculkan satu lagi istilah menarik yang boleh digunakan iaitu ‘kontradiksi’. ‘Kontradiksi’ digunakan bagi mahasiswa menyerlahkan bahawa terdapat ketidaksepakatan antara pelbagai pihak terhadap sesuatu isu. Berbalik kepada contoh buku teks matematik sekolah rendah. Kendatipun terdapat pelbagai rungutan daripada ibu bapa dan guru, ia bagaimanapun, kontradik dengan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutamanya Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Hal ini akan menerbitkan satu lagi istilah iaitu ‘seyogia’ yang membawa makna sepatutnya atau sewajarnya. Dalam konteks permasalahan buku teks, mahasiswa menggunakan istilah ‘seyogia’ untuk menggambarkan akan keperluan tindakan selanjutnya atau langkah bersesuaian yang perlu ditangani oleh KPM terhadap isu ini. Istilah ‘mencerakin’ yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu apabila ia dilontarkan oleh pemimpin nombor satu negara turut dijumpai dalam tesis mahasiswa walaupun mereka bukan berlatarbelakangkan pengajian bahasa Melayu. Mencerakin merujuk kepada menganalisis maklumat dalam sesuatu perkara.

Perkataan ‘polemik’ kerap kali digunakan oleh mahasiswa bagi mengukuhkan lagi hujah dalam permasalahan kajian. Istilah ‘skeptikal’ pula diselitkan dalam penyampaian isu berkenaan yang membawa maksud waswas atau ragu-ragu. Dalam mengetengahkan hujah dan pandangan secara peribadi, mahasiswa menggunakan istilah ‘lensa’ dalam konteks perspektif mereka dalam menyampaikan matlamat dan objektif pelaksanaan kajian mereka. Namun, hujah yang berat atau bersifat menghukum perlu disokong dengan literatur yang relevan agar tidak menimbulkan purbasangka pelbagai pihak. ‘Scaffolding’ merupakan istilah yang tidak asing lagi dalam dunia pendidikan. Ia merujuk kepada bantuan dan bimbingan kepada murid bagi memudahkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Sehubungan itu, istilah ‘perancah’ iaitu terjemahan dari perkataan ‘scaffolding’ sering kali digunakan oleh mahasiswa jurusan pendidikan. Di akhir setiap sub bahagian, ada kalanya mahasiswa menggunakan istilah ‘tuntasnya’, ‘natijahnya’ ataupun ‘konklusinya’ bagi menggantikan ungkapan ‘sebagai rumusan’ atau ‘kesimpulannya’ menjadikan ayat atau penyataan akhir di setiap bahagian mahupun sub bahagian menjadi lebih memukau dan tidak bersifat stereotaip.

Mahasiswa di bawah penyeliaan perlu disantuni secara adil dan saksama. Namun, ada ketikanya, tatkala membaca dan menyemak draf manuskrip tesis mereka, terdapat istilah-istilah yang jarang-jarang digunakan oleh generasi pada masa kini dalam penulisan mereka. Hal ini menerbitkan rasa bangga sebagai seorang pendidik terhadap anak didiknya. Inisiatif mahasiswa ini secara tidak langsung mempamerkan kesarjanaan mereka dalam bidang yang diceburi.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Explore More

UTM Open Day