October 7, 2025

Malam Penghargaan Media UTM 2025 raikan komitmen dan kerjasama institusi media

JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh hubungan strategiknya bersama pengamal media menerusi penganjuran Malam Penghargaan Media UTM 2025 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Maharani, Impiana Hotel, Senai.

Majlis ini menjadi medan apresiasi terhadap sumbangan media dalam menyampaikan maklumat berkaitan universiti kepada masyarakat secara meluas, seterusnya memperkukuh peranan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam ucapan aluannya menyifatkan bahawa peranan media amat signifikan dalam membantu memperkukuh reputasi dan kredibiliti UTM di mata umum.

“Majlis malam ini adalah tanda penghargaan kami di UTM kepada pengamal media yang selama ini tidak jemu menyampaikan berita, menjelaskan dasar, dan mendekatkan akademia kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa media bukan sekadar pelapor maklumat, sebaliknya rakan strategik dalam mencelikkan masyarakat mengenai realiti pendidikan tinggi di Malaysia.

“Di UTM, kami percaya bahawa ilmu harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan diakses. Justeru, kami sentiasa mengusahakan keterbukaan terhadap media, sama ada melalui laporan penyelidikan, kejayaan pelajar, atau inisiatif strategik kami di peringkat global. Segala pencapaian ini tidak akan sampai kepada rakyat tanpa bantuan saudara-saudari di barisan hadapan kewartawanan,” tambah beliau.

Prof. Dr. Mohd Shafry ketika menyampaikan ucapan penghargaan kepada rakan media yang memainkan peranan penting mengangkat nama UTM ke peringkat global

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Akhbar Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Norazli Md Daud; Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia dan Presiden Kelab Media Johor, Mohd Fauzi Ishak; serta Timbalan Presiden Kelab Media Johor, Yang Mulia Raja Jaafar Raja Ali.

UTM turut merakamkan penghargaan kepada organisasi media arus perdana dan digital seperti Harian Metro, Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, Astro Awani, The Sun, New Straits Times, Sin Chew Daily, RTM, China Press, Kosmo!, Media Digital Johor, TV3, Malay Mail, TV Sarawak, Malaysia Gazette, Best FM, TV Al-Hijrah dan Channel News Asia, atas kerjasama erat dan komitmen berterusan dalam menyalurkan maklumat yang berimpak.

Sebagai kemuncak acara, Anugerah Khas Naib Canselor, anugerah paling berprestij pada malam tersebut, telah disampaikan kepada agensi berita BERNAMA, atas komitmen jangka panjang dan liputan strategik mereka dalam membina naratif UTM di persada nasional dan antarabangsa.

Wakil BERNAMA menerima Anugerah Khas Naib Canselor sebagai pengiktirafan tertinggi atas sumbangan strategik dalam memperkasa imej universiti di peringkat nasional dan antarabangsa

Dalam kategori anugerah individu, Yahya Kiprawi dari TV Sarawak telah menerima Anugerah Liputan Terbaik (Sains dan Teknologi) bagi kategori Penyiaran Televisyen dan Video dalam Talian, manakala Lee Yoke Peng dari Sin Chew Daily dipilih untuk kategori Media Cetak. Siti Nur Aqilla Omar dari TV Al-Hijrah telah menerima Anugerah Liputan Terbaik (Sains Sosial) bagi Penyiaran Televisyen dan Video dalam Talian, sementara Nur Fatin Mohmad Kadenen dari BERNAMA menerima pengiktirafan untuk kategori Media Cetak dan Portal Berita. Yang Mulia Raja Jaafar Raja Ali pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Foto Terbaik atas kualiti visual yang cemerlang dalam merakam naratif pendidikan.

Selain itu, majlis turut meraikan barisan ahli akademik dan bukan akademik UTM yang aktif menulis dan berkongsi kepakaran di media. Seramai sebelas pensyarah menerima Anugerah Expert Scholars’ UTM 2025 (Akademik) iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof, Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Abd Hamid, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, Ir. Dr. Mohd Azman Abas, Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Mohamed Razali, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Dr. Khamarrul Azahari Razak, dan Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik. Bagi kategori Bukan Akademik, Dr. Zulfikar Ahmad menerima penghargaan atas usaha konsistennya memperluas penulisan ilmiah ke ruang media.

Sebahagian tetamu yang terdiri daripada wakil agensi media, penerima anugerah, ahli akademik serta warga UTM bergambar kenangan dalam Malam Penghargaan Media UTM 2025

Majlis bertambah meriah dengan persembahan tarian kontemporari oleh kumpulan Citra Daksina, persembahan nyanyian duet oleh staf UTM, Hakim Isa dan Ardiyanto, serta kemunculan istimewa penyanyi popular tanah air, Haqiem Rusli, yang menghiburkan tetamu dengan lagu-lagu hit pilihan ramai.

Penyanyi terkenal tanah air, Haqiem Rusli, memukau hadirin dengan persembahan yang menutup tirai Malam Penghargaan Media UTM 2025

Majlis turut mendapat sokongan penaja yang terdiri daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah, UniTechnologies Sdn. Bhd., UTM Space, Talentbank Sdn. Bhd., Ha Southern Global Sdn. Bhd., dan NK Empire, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini.

Majlis turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah kepada wakil media yang hadir

Dengan semangat keterbukaan dan sinergi bersama media, UTM terus melangkah ke hadapan sebagai institusi yang bukan sahaja mencipta ilmu, tetapi menyampaikannya dengan penuh tanggungjawab kepada masyarakat. Malam Penghargaan Media ini membuktikan bahawa hubungan antara universiti dan media adalah nadi utama dalam membina wacana pendidikan yang inklusif dan progresif.

 

Explore More