October 4, 2025

Library on Air @ KSJ: Sembang Siswa angkat legasi kepimpinan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP), Kolej Siswa Jaya (KSJ), dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan siri pertama Library on Air @ KSJ: Sembang Siswa bertajuk Tokoh di Sebalik Nama – Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid. Sesi santai tetapi sarat dengan pengisian ini menghimpunkan warga pelajar yang ingin mengenali dengan lebih dekat sosok tokoh yang pernah mengharumkan nama universiti.

Panel jemputan bersedia memulakan sesi Sembang Siswa – Tokoh di Sebalik Nama: Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid

Program ini diadakan dengan objektif utama untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan pelajar di kawasan kolej, selaras dengan saranan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Perpustakaan menyahut saranan tersebut melalui penganjuran siri ini, sekali gus merealisasikan kerjasama erat antara pihak perpustakaan, JKP, KSJ, dan MPP.

Program ini menampilkan dua panel jemputan iaitu Nur Adilah Adanan, pelajar Sarjana Pascasiswazah, dan Muhammad Harraz Shamsaidi, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam. Moderator bagi sesi ini ialah Nurul Anis Sofiya Zairul Hisam, wakil MPP Kuala Lumpur. Perbincangan berfokus kepada buku Ainuddin: Pejuang Melayu yang Degil yang merakam perjalanan hidup dan kepimpinan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid dalam membangunkan UTM. Antara legasi beliau termasuk usaha memperkukuh penerapan nilai-nilai Islam di peringkat universiti melalui subjek seperti Tamadun Islam.

Perbincangan penuh inspirasi mengenai perjuangan dan legasi Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pustakawan UTM Kuala Lumpur, Nik Masriza Zakaria, serta Pengetua KSJ, Dr. Mohamed Azlan Suhot. Program ini mendapat sambutan hangat, khususnya dari pelajar tahun pertama, dengan kehadiran hampir 150 orang peserta yang memenuhi ruang dewan. Suasana program dipenuhi rasa kagum dan bangga terhadap jasa tokoh ini, diiringi perbincangan ilmiah yang memberi inspirasi kepada generasi muda.

Pelajar memberikan tumpuan penuh sepanjang sesi wacana ilmu berlangsung

Panel turut menekankan bagaimana perjuangan Tan Sri Ainuddin untuk meningkatkan nisbah pelajar Melayu dalam bidang teknikal daripada 10% kepada 90% dalam tempoh hanya lima tahun. Langkah ini adalah usaha besar yang memerlukan keberanian, perancangan strategik, dan keteguhan hati. Sepanjang 14 tahun beliau berkhidmat di UTM, pelbagai polisi yang diperkenalkan menerima tentangan, namun beliau tetap “degil” dalam erti kata positif – berpegang teguh kepada prinsip demi memartabatkan bangsa, agama, dan universiti.

Menariknya, sesi ini turut berkongsi kata-kata hikmah Tan Sri yang kekal relevan hingga kini, “Belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi.”

Ungkapan ini memberi mesej mendalam kepada para pelajar untuk sentiasa bersedia, bersikap proaktif, dan merebut peluang tanpa menunggu arahan. Sikap ini, menurut panel, adalah kunci kejayaan sama ada di alam kampus mahupun di dunia kerjaya kelak.

Selain itu, panel berpesan supaya pelajar sentiasa berpegang teguh pada keputusan yang telah dibuat, terbuka terhadap pandangan baharu, merendah diri ketika menimba ilmu, dan mengamalkan persediaan awal sebelum peluang hadir. Moderator menutup sesi dengan mengingatkan bahawa walaupun manusia tidak sempurna, usaha berterusan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu akan mematangkan diri serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Pop Up Library memudahkan pelajar meminjam buku terus di lokasi program

Turut dibawa semasa program ialah “Pop Up Library” yang menjadi tarikan tambahan kepada para peserta. Inisiatif ini menampilkan rak mudah alih yang mempamerkan pelbagai koleksi buku terpilih daripada Perpustakaan UTM, termasuk bahan bacaan akademik, motivasi, dan karya umum. Tujuannya adalah untuk memudahkan pelajar membuat pinjaman buku secara terus di lokasi tanpa perlu pergi ke perpustakaan utama. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah menggalakkan pelajar memanfaatkan kemudahan perpustakaan dengan lebih kerap. Kehadiran “Pop Up Library” turut menghidupkan suasana program, di mana pelajar dapat berbincang, memilih bahan bacaan yang sesuai, dan menambah pengetahuan mereka seiring dengan matlamat program untuk memupuk budaya ilmu dalam kampus.

Sesi bergambar kenangan bersama panel, tetamu jemputan, dan pelajar selepas program

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada panel jemputan dan bergambar bersama para pelajar. Siri kedua Library on Air @ KSJ: Sembang Siswa dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025, dengan harapan untuk terus membakar semangat pelajar agar mencontohi nilai kepimpinan dan keteguhan prinsip tokoh-tokoh yang mengharumkan nama UTM.

Explore More