October 7, 2025

Kenaikan pangkat bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi amanah besar yang lebih mencabar – NC8 UTM

JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Demikian kata-kata Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapannya hari ini sempena Majlis Amanat Naib Canselor Sempena Pelantikan Pentadbir Akademik dan Kenaikan Pangkat Staf UTM bagi tempoh Jun hingga Ogos 2025.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, kenaikan pangkat ini adalah simbolik kepada makna sebenar sebuah kepimpinan bukan hanya berkisar pada gelaran dan kedudukan, tetapi manifestasi keberanian untuk memimpin perubahan dan mencipta nilai.

Majlis hari ini  merupakan satu bentuk perhargaan terhadap khidmat bakti warga kerja UTM yang mempamerkan kecemerlangan sepanjang melunaskan tanggungjawab di institusi ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim itu menyaksikan seramai 110 orang staf UTM menerima kenaikan pangkat, terdiri daripada 86 staf pentadbiran dan sokongan (PPP) serta 24 staf akademik. Dalam majlis sama, seramai 14 pentadbir akademik baharu turut diumumkan untuk menerajui fakulti dan jabatan, meliputi 13 lantikan di Kampus Johor Bahru dan satu di Kampus Kuala Lumpur.

Antara staf yang menerima kenaikan pangkat pada majlis hari ini

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam amanatnya menekankan bahawa seluruh warga UTM perlu bersedia untuk mengoptimumkan peranan masing-masing dalam mendukung kemajuan universiti.

Belia turut berkata, “Staf UTM mesti bersedia untuk mengoptimumkan peranan masing-masing, melaksanakan inovasi dalam pendekatan kerja seharian dan memacu transformasi di peringkat jabatan dan universiti”.

Prof. Dr. Mohd Shafry menyatakan bahawa sebarang pencapaian haruslah berpaksikan nilai, bersandarkan kebenaran dan disertai dengan kesabaran

Sesi kali ini menjadi lebih istimewa apabila, Mohd Lotfi Subahir, dari Jabatan Bendahari UTM menjadi antara penerima kenaikan pangkat ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat F12 secara one-off. Meskipun berkerusi roda, beliau kekal bersemangat menabur bakti di UTM sejak mula berkhidmat pada Februari 1995.

Selama 30 tahun perkhidmatan, beliau telah berkhidmat selama enam tahun di Pusat Komputer (kini dikenali sebagai UTM Digital), dan seterusnya 24 tahun di Jabatan Bendahari. Kini, beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan sistem kewangan universiti.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan, khususnya kepada Haji Abu Bakar, Bendahari UTM dan Encik Nik Kamal Izuddin, Pengarah Jabatan Perkhidmatan UTM Digital,” ujar beliau ketika diwawancara.

Mohd Lotfi ketika menerima watikah kenaikan pangkat dari Prof. Dr. Mohd Shafry, Naib Canselor UTM bersama Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM

Walaupun menghadapi cabaran kesihatan, beliau membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk terus memberi sumbangan yang bermakna kepada institusi.

Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian kerjaya, malah menzahirkan iltizam UTM dalam mengangkat nilai kemanusiaan serta menghargai sumbangan setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau kekangan fizikal. Keterbukaan UTM dalam meraikan kepelbagaian dan menyantuni staf yang gigih berbakti menjadi cerminan kepada budaya kerja berteraskan nilai yang mendasari aspirasi universiti.

Seiring dengan agenda Transformasi Pendidikan Tinggi dan gagasan Malaysia MADANI, UTM terus melangkah ke hadapan sebagai institusi unggul yang bukan sahaja memacu penciptaan teknologi inovatif, tetapi juga menjunjung tinggi nilai empati, penghargaan dan semangat kekitaan dalam komuniti kampus.

Explore More