October 6, 2025

Kemerdekaan Melalui Kemandirian dan Kedaulatan Teknologi

Kemerdekaan bukan sekadar pembebasan daripada penjajahan lampau. Ia juga menuntut kesediaan negara menghadapi cabaran masa depan. Makna merdeka hari ini tidak cukup ditakrifkan melalui kedaulatan wilayah semata-mata, tetapi harus merangkumi keupayaan negara membangun, memiliki dan mengawal teknologi sendiri.

Sebuah negara mungkin berdaulat dengan perlembagaan dan sistem pemerintahannya. Persoalannya, jika kebergantungan kepada teknologi luar masih berlaku dalam perolehan sumber strategik seperti makanan, tenaga dan kesihatan, adakah kemerdekaan itu benar-benar lengkap?

Dalam konteks ini, bentuk kemerdekaan bertunjangkan dua konsep yang saling melengkapi. Pertama, kemandirian teknologi iaitu keupayaan membangun dan menggunakan teknologi tempatan tanpa bergantung sepenuhnya pada pihak luar. Kedua, kedaulatan teknologi iaitu kuasa menentukan hala tuju serta melindungi teknologi strategik negara.

Sejarah dan Warisan Teknologi

Sejarah membuktikan bahawa penguasaan teknologi berupaya menentukan pembangunan sesebuah tamadun. Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan maritim terpenting di rantau ini kerana kebijaksanaan menggabungkan kepakaran dengan teknologi perkapalan dan persenjataan; hasil interaksi bersama pedagang antarabangsa.

Kejatuhan Melaka diikuti penjajahan berabad-abad lamanya telah mengubah landskap ekonomi tempatan. Dari sebuah pelabuhan perdagangan, negara kita beralih menjadi pengeluar hasil seperti getah, bijih timah dan hasil hutan. Teknologi perlombongan, pengangkutan kereta api dan kaedah pertanian moden telah diperkenalkan.

Namun penguasaan teknologi sepenuhnya berada di tangan kuasa luar. Kita sekadar membekalkan bahan mentah tanpa keupayaan memproses atau menentukan harga pasaran sendiri, menandakan tiadanya kemandirian teknologi yang diwarisi sehingga selepas kemerdekaan.

Era Awal Kemerdekaan: Komoditi Sebagai Asas

Sewaktu awal kemerdekaan, Malaysia memanfaatkan kekayaan hasil bumi dan kesuburan tanah untuk mengukuhkan ekonomi. Getah menjadi eksport utama, disokong oleh penubuhan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) yang membangunkan klon tanaman berdaya hasil tinggi dan tahan penyakit.

Seterusnya, industri kelapa sawit berkembang dengan penubuhan Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) yang memperkenalkan kaedah pemprosesan lebih cekap dan penanaman berintensif. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula memodenkan sektor pertanian melalui teknologi mekanikal, kawalan penyakit tanaman dan penyelidikan makanan.

Langkah-langkah ini membina asas kapasiti penyelidikan tempatan, walaupun banyak peralatan mesin, bahan dan sistem automasi masih diimport. Keutamaan negara ketika itu jelas iaitu meningkatkan pengeluaran komoditi bagi membiayai pembangunan infrastruktur, mengukuhkan ekonomi dan memenuhi keperluan sosial pasca kemerdekaan.

Peralihan ke Ekonomi Pengetahuan

Pada dekad seterusnya, tumpuan negara beralih kepada pengukuhan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru, perindustrian berat dan pembentukan syarikat nasional. Walau bagaimanapun, pergantungan kekal terhadap eksport komoditi yang mendedahkan ekonomi kepada turun naik harga global serta nilai tambah yang rendah.

Malaysia berusaha membina ekonomi berasaskan pengetahuan, memacu sektor elektrik dan elektronik, automotif, kimia, farmaseutikal serta perkhidmatan teknologi maklumat. Walaupun sektor teras tertentu telah berjaya, banyak bidang lain ketinggalan dalam penerapan teknologi.

Pandemik COVID-19 telah membuka mata kita bahawa tanpa keupayaan sendiri, negara terpaksa bergantung kepada vaksin yang diimport. Pada masa yang sama, perang cip semikonduktor antara kuasa besar membuktikan teknologi kini menjadi senjata geopolitik yang mampu menentukan pertimbangan sesebuah negara. Dari sinilah perlu lahir kesedaran bahawa kemerdekaan abad baharu mesti diperkukuh dengan kemandirian dan kedaulatan teknologi.

Dari Kemandirian ke Kedaulatan Teknologi

Menyedari kesemua cabaran dari permulaan kemerdekaan, kerajaan telah memacu anjakan dasar yang menyeluruh termasuk pelaksanaan dasar strategik yang memberi impak nasional. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan terutamanya melalui siri Rancangan Malaysia.

Misalnya, transformasi perancangan ini tidak dapat dipisahkan daripada evolusi institusi penyelidikan kerajaan (GRI) yang sejak awal kemerdekaan menjadi tulang belakang ekonomi komoditi. Melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang baharu dilancarkan, GRI termasuk RRIM, PORIM dan MARDI menerima mandat yang melangkaui peranan tradisional mereka.

RMK-13 menggariskan strategi memperkukuh tadbir urus penyelidikan melalui penekanan terhadap program berasaskan misi, pelaksanaan projek berskala besar (moonshot) serta sinergi antara GRI, universiti dan industri. Pendekatan ini tidak lagi tertumpu kepada peningkatan hasil komoditi semata-mata, sebaliknya mengangkat peranan GRI sebagai pusat strategik yang mampu menggabungkan kearifan tempatan dengan teknologi terkehadapan.

Haluan ini berlandaskan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Malah, salah satu teras utama DSTIN iaitu Industri Berasaskan Teknologi Tempatan, menetapkan bahawa pertumbuhan ekonomi perlu digerakkan oleh teknologi hasil penyelidikan dan inovasi dalam negara.

Kemandirian teknologi negara bukan soal menutup pintu daripada dunia luar, sebaliknya pemilikan kuasa untuk membuat pilihan. Jepun, Korea Selatan, China dan India menunjukkan bahawa strategi nasional yang konsisten boleh membawa kepada pembinaan kekuatan teknologi dalaman tersendiri.

Dimensi Kedaulatan Teknologi

Kedaulatan teknologi melangkaui penguasaan teknikal. Ia adalah hak menentukan arah pembangunan tanpa tunduk kepada dominasi luar. Dalam erti kata lain, ia memastikan negara mempunyai autonomi strategik untuk membuat pilihan teknologi yang selaras dengan kepentingan nasional dan nilai budaya sendiri.

Lebih mendasar, teknologi membawa nilai. Misalnya algoritma kecerdasan buatan (AI) mencerminkan bias terhadap budaya penciptanya dan bioteknologi menimbulkan dilema etika. Jika kita hanya menjadi pengguna pasif, nilai luar berkemungkinan menggantikan nilai kita sendiri.

Mengikat Semangat Merdeka dengan Visi Teknologi

Dengan semangat ini, universiti perlu terus menjadi medan peneroka pengetahuan asas dan inovasi. Industri mesti berani mengambil risiko dalam peningkatan komersialisasi teknologi tempatan. Kerajaan wajib menyediakan dasar jangka panjang yang stabil merentas perubahan politik. Manakala masyarakat perlu menyokong keupayaan teknologi negara sendiri.

Langkah ke hadapan menuntut pelaburan besar dalam bidang penyelidikan keutamaan kebangsaan, pembangunan bakat sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) berasaskan etika dan falsafah pendidikan serta penciptaan ekosistem inovasi yang bersepadu dan lestari. Harus diingat, setiap pelaburan dalam sains dan teknologi tempatan adalah pelaburan dalam masa depan Malaysia.

Kemerdekaan tidak pernah berhenti pada detik laungan, ia adalah perjalanan berterusan. Jika generasi dahulu berjuang untuk kebebasan kuasa, generasi kini mesti memperjuangkan kebebasan teknologi. Kemandirian dan kedaulatan teknologi bukan pilihan sampingan, tetapi syarat kelangsungan negara dalam dasawarsa ini.

Hanya apabila Malaysia mampu berdiri dengan teknologi sendiri serta menyesuaikannya dengan budaya tempatan, barulah asas kemandirian itu kukuh. Apabila negara turut berupaya menentukan halatuju masa depan tanpa terikat dengan hegemoni kekuasaan luar, barulah makna kemerdekaan dapat disempurnakan.

 

**Penulis merupakan Profesor Madya di Fakulti Sains, UTM. Beliau aktif menulis dalam pelbagai platform termasuklah media massa

Explore More