November 16, 2025

Tiada yang lebih bermakna bagi sebuah negara melainkan tanah berdaulat dan rakyat yang merdeka. Dan tiada pula yang lebih nikmat bagi seseorang melainkan jasad yang sihat dan jiwa yang sejahtera. Merdekanya sesebuah negara bererti rakyatnya mempunyai kebebasan dalam mengemudi kehidupan dan menenun masa depan. Kesihatan juga membawa makna yang serupa apabila ia menjadi suatu nikmat mendepani hidup seharian tanpa belenggu penyakit dan derita komplikasi yang membataskan langkah dan meragut kemaslahatan insani.

Kemerdekaan dan kesihatan berkongsi hakikat yang sama. Kedua-keduanya sering dinikmati tanpa sedar. Namun, manusia jarang menganggap dua pekara ini sebagai anugerah yang perlu dijaga dan diperjuangkan. Sedarkah kita, untuk mengekalkan keduanya memerlukan usaha yang perlu dibuat secara berterusan?

Cakna ‘Kesiapsiagaan’

Sebuah negara merdeka sentiasa memastikan aset pertahanan yang dimiliki cukup dan berkualiti. Pemeriksaan berkala adalah elemen tunjang untuk memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang pencerobohan. Begitu juga manusia yang menghargai tubuh badannya haruslah memainkan peranan yang sama. Bilakah kali terakhir kita mengambil peduli apa yang berlaku di dalam badan sendiri? Tanpa kita sedar jantung, hati, buah pinggang, serta organ lain tekun berbakti dan tanpa henti meskipun dalam keadaan cedera dan terluka. Pembuluh jantung yang mula tersumbat, hati yang mengumpul lemak, dan buah pinggang yang mula rosak, kesemua ini jarang memberikan sebarang tanda.

Justeru, pemeriksaan kesihatan dan ujian darah berkala perlu dijadikan agenda penting dalam kalendar kehidupan, sekurang-kurangnya setahun sekali. Langkah proaktif seperti ini boleh menjadi benteng utama untuk mengetahui tahap kesiapsiagaan diri. Penyakit-penyakit kronik seperti masalah kolestrol, darah tinggi, dan masalah buah pinggang tidak datang dengan sebarang ‘loceng’ amaran. Sebaliknya ia menelusup ke tubuh secara diam ibarat serangan hendap, menanti masa untuk menyerang. Ketika tubuh tidak lagi mampu bertahan, komplikasi meledak serangan─serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang─meruntuhkan jasad yang selama ini disangka baik-baik sahaja. Bahkan ada yang sehingga meragut nyawa dalam sekelip mata.

Memperkasa Pertahanan

Pemeriksaan aset sesebuah negara berdaulat tidak lengkap tanpa penyelenggaraan yang rapi. Pasukan pertahanan pula sentiasa menjalani latihan berterusan untuk mengasah kemahiran. Demikian jugalah tubuh manusia, sistem pertahanan tidak sentiasa utuh tanpa senaman dan penjagaan yang konsisten.

Kaedah paling ampuh untuk memperkasa fizikal adalah menerusi gaya hidup aktif. Hakikatnya, pengecutan otot bermula seawal usia 30-an dan akan terus merosot sekiranya tidak diimbangi dengan senaman. Ditambah pula dengan pekerjaan moden yang banyak mengikat kita di meja kerja, menjadikan tubuh semakin kurang bergerak. Natijahnya, menjelang usia senja, kekuatan tubuh merosot, sendi menjadi sakit, dan kebebasan untuk menjalani kehidupan harian semakin terbatas. Hal-hal kecil yang dahulunya tidak pernah difikirkan, seperti berlari , melompat, atau sekadar mencangkung untuk memungut barang di lantai boleh menjadi cabaran yang amat besar.

Justeru, cari ‘alasan’ untuk lebih banyak berjalan bagi memelihara kekuatan struktur tulang dan menguatkan fungsi jantung. Peruntukkan masa untuk melakukan senaman, sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan biasakan diri dengan senaman rintangan secara konsisten. Setiap minit yang dilaburkan untuk melatih badan, pasti akan memberikan keuntungan kepada diri─tubuh yang kuat, sendi yang sihat, dan bebas menjalani kehidupan tanpa bergantung kepada sebarang bantuan.

Tubuh yang sihat tidak lahir daripada kekuatan otot semata-semata, tetapi juga hasil daripada pemakan yang berkhasiat tinggi. Amalan pemakanan yang seimbang adalah kunci untuk menghindari penyakit kronik yang tidak diingini. Namun, kehidupan sarat dengan hidangan mengandungi makanan yang diproses, dan kandungan gula, lemak, serta kalori yang tinggi, sering menjadi ujian yang berat dan sukar untuk dielakkan. Namun, tiada salahnya untuk menikmati hidangan ini sekali-sekala. Tetapi jangan biarkan keinginan menguasai selera. Bersederhanalah dalam memilih hidangan. Berpada-padalah ketika menjamu selera, dan biasakan diri dengan konsep ‘suku-suku separuh’. Di situlah letaknya rahsia keseimbangan; menjaga nikmat makan sambil memelihara tubuh agar terus menerima khasiat dan tidak menerima mudarat.

Neutralisasi Ancaman

Negara yang berdepan sebarang bentuk ancaman akan segera bertindak agar ia tidak merebak menjadi bahaya yang lebih besar. Begitu juga tubuh manusia. Apabila penyakit kronik dikesan, tindakan segera perlu dilakukan. Dalam konteks ini, melalui perubahan gaya hidup, pemantauan kesihatan yang rapi, dan pengambilan ubat-ubatan.

Mengambil ubat secara konsisten bukannya satu kelemahan, tetapi lambang disiplin yang patut dibanggakan. Ubat-batan moden menjalani proses kajian dan ujian yang sangat ketat bagi memastikan penggunaannya bukan sahaja selamat, malah terbukti berkesan dalam meneutralisasikan ancaman yang dibawa oleh penyakit kronik. Mereka yang patuh dengan preskripsi mempunyai peluang cerah untuk bebas menjalani kehidupan secara sihat dan aktif tanpa sebarang risiko dan komplikasi.

Maklumat dan Pengetahuan

Negara merdeka sentiasa berwaspada terhadap propaganda dan hasutan yang mampu menggugat keharmonian. Demikian juga halnya dalam menjaga kesihatan badan. Masyarakat kini dibanjiri dengan pelbagai bentuk maklumat. Cerita separa benar dan berita palsu, mudah untuk tular dan ditelan mentah-mentah oleh masyarakat umum. Sebagai manusia yang memuliakan ilmu, kita perlu sentiasa berwaspada. Pertimbangan yang cermat dan rasional mempersiapkan kita agar tidak mudah teruja membaca cerita sensasi yang memburukkan disiplin perubatan, dengan momokan yang mendakwa ubat moden merosakkan badan dan hanya menguntungkan kapitalis industri. Begitu juga dengan dongengan rawatan alternatif tidak berasas yang berselindung di sebalik nama ‘ikhtiar’ dan ‘keajaiban’ yang menjanjikan segala kesembuhan dan akhirnya mendatangkan kekecewaan.

Leraikan segala prasangka dengan bertanya kepada golongan yang ahli sebagaimana firman Allah SWT, “…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl: 43). Ceduklah ilmu kesihatan dari telaga yang jernih, dan carilah pengetahuan dari sumber yang sahih.

Semaikan Cinta

Kemerdekaan yang dikecapi generasi hari ini dibina atas pengorbanan pejuang dan nenek moyang kita terdahulu. Kita hanya menuai hasilnya dan menikmati lazat buahnya. Kita sering terlupa bahawa untuk mengekalkan kedaulatan sesebuah negara menuntut iltizam yang teguh dan usaha yang berpanjangan. Demikian juga halnya dengan kesihatan tubuh badan yang dikurniakan Tuhan secara percuma. Semaikanlah perasaan cinta pada tubuh badan,dan suburkan pula dengan usaha semampu daya – semoga kita terus segar mekar sebagai insan yang sihat sejahtera hingga penghujung nyawa.

Explore More

UTM Open Day