Walaupun Malaysia bukan negara dalam zon gempa bumi aktif, ia tetap terdedah kepada kesan far-end effect daripada gempa bumi besar yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Contohnya pada tahun 2004 dan 2022, kejadian gempa bumi besar di Sumatera telah menyebabkan gegaran dirasai di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Far-end effect berlaku apabila gelombang seismik (seismic wave) dari gempa bumi yang kuat merambat melalui kerak bumi dan sampai ke kawasan yang jauh, kebiasaannya berlaku pada gempa bumi bermagnitud tinggi lebih dari 6.0. Kekuatan gelombang ini bergantung kepada jenis tanah dan kekuatan tenaga yang dilepaskan dari pusat gempa bumi. Gelombang ini akan menjadi semakin lemah apabila ia bergerak jauh dari pusat gempa. Fenomena ini boleh diumpamakan seperti melempar batu ke dalam kolam. Di tempat batu jatuh, ombak yang terbentuk adalah kuat, semakin jauh ombak itu bergerak dari titik asal, ia menjadi semakin kecil dan lemah.
Gempa bumi berlaku dari pusat yang dinamakan epicenter dan menghasilkan gelombang seismik ke seluruh arah, termasuk ke permukaan bumi. Yang berada di permukaan bumi secara keseluruhan akan merasai gegaran ini dalam bentuk kekuatan intensiti. Intensiti diukur menggunakan Skala Intensiti Mercalli Termodifikasi (MMI) bagi menggambarkan kekuatan kesan fizikal gegaran terhadap manusia, bangunan, dan persekitaran. Intensiti ini berbeza mengikut lokasi, bergantung kepada jarak dari pusat gempa, kedalaman pusat gempa, dan jenis tanah di kawasan tersebut. Bagi mereka bentuk struktur pada lokasi tertentu, jurutera struktur memerlukan nilai Peak Ground Acceleration (PGA). PGA ukuran kekuatan gegaran pada lokasi tertentu dalam unit m/s². Nilai MMI dan PGA berkadar langsung. Sebagai contoh, bagi kawasan yang mempunyai risiko yang rendah seperti di sebahagian tempat di Sabah, nilai PGA yang digunakan untuk mereka bentuk struktur adalah sekitar 0.08g hingga 0.15g, yang bersamaan dengan intensiti MMI VI hingga MMI VII. Nilai digunakan untuk analisis beban gempa bumi yang berpotensi memberikan kerosakan sederhana hingga serius pada struktur bangunan, jambatan dan sebagainya di kawasan tersebut.
Malaysia telah mengambil langkah penting dengan memperkenal dokumen Malaysia National Annex to Eurocode 8 (MS EN 1998-1:2015) yang dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia, JKR, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, penyelidik seluruh Malaysia dan turut dianggotai oleh kumpulan penyelidik e-SEER, Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM. Piawaian ini adalah untuk memastikan struktur bangunan direka mengikut piawaian gempa bumi terkini termasuk keperluan analisis beban seismik, pengawalan terhadap rekaan tidak seragam dan penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi untuk mengurangkan risiko keruntuhan serta kerosakan struktur apabila berlaku gempa bumi.
Dalam mereka bentuk struktur di kawasan berpotensi gempa bumi, jurutera struktur perlu menggunakan Seismic Hazard Map Malaysia bagi menetapkan nilai PGA yang sesuai mengikut zon lokasi pembinaan. Konsep utama struktur tahan gempa bumi adalah direka bentuk dengan komponen yang mampu menyerap tenaga gegaran secara berkesan bagi mengelak keruntuhan secara mendadak. Buku dalam bab bertajuk Vulnerability Structures and Seismic Activity in Malaysia hasil penulisan Prof. Madya Ir. Dr. Mariyana Aida dan Dr .Mohd Zamri, dari Fakulti Kejuruteraan Awam sebagai editor bersama adalah kompilasi dari kajian penyelidik seluruh negara dalam tempoh kajian tahun berkenaan boleh dijadikan rujukan untuk mendapat maklumat berkenaan aktiviti gempa bumi di Malaysia. Metodologi penilaian prestasi struktur dalam menghadapi beban gempa bumi dan selepas kejadian gempa bumi terkandung dalam buku ini.

Gegaran jauh di sana, tapi kesannya di sini? Ya, meskipun Malaysia ini bukan terletak di Lingkaran Api Pasifik, gegaran dari gempa bumi berskala besar dari kawasan berhampiran masih boleh dirasai sehingga mencetuskan panik, kerosakan, keretakan struktur dan infrastruktur. Gegaran susulan (aftershock) seringkali dilupakan namun, perlu diberikan perhatian kerana ia boleh berlarutan dalam tempoh yang lama selepas gegaran utama (main shock). Selain itu, perhatian perlu diberikan terhadap kesan lanjutan seperti kebakaran (fire following earthquake), tanah runtuh, dan fenomena liquefaction yang boleh merosakkan struktur dan infrastruktur seperti kerosakan teruk pada bangunan, tanah runtuh, dan gangguan fasiliti awam seperti bekalan air dan elektrik.
Reka bentuk struktur dan infrastruktur juga perlu mengambil kira selain kesan utama gempa bumi, termasuk kesan kebakaran yang turut menyumbang kepada kerosakan yang lebih besar berbanding gegaran gempa bumi itu sendiri. Contohnya, gempa bumi di San Francisco dan di Jepun menunjukkan hampir 80% kemusnahan berpunca daripada kebakaran selepas gegaran gempa bumi. Risiko kebakaran selepas gempa bumi dijangka meningkat di kawasan bandar yang padat, di mana jarak pembinaan struktur yang rapat dan dibina dari bahan yang mudah terbakar boleh mempercepatkan penyebaran api dan merosakan sistem perlindungan kebakaran pasif dan aktif pada struktur bangunan tersebut.
Pendekatan seperti reka bentuk struktur, perancangan mengikut piawaian gempa bumi seperti Malaysia National Annex to Eurocode 8 serta kesedaran terutamanya kepada pemegang taruh dan masyarakat agar memahami bagaimana untuk bertindak semasa dan selepas kejadian gempa, termasuk pemeriksaan keselamatan bangunan untuk dihuni semula dan tindakan menghadapi aftershock merupakan strategi mitigasi dan langkah persediaan menghadapi cabaran serta memperkasa keselamatan infrastruktur awam dan swasta, serta melindungi nyawa daripada kesan buruk gempa bumi.
