JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan Persatuan STEM Kebangsaan telah menganjurkan Program MasteryMind: Empowering Educators in Science and Mathematics (Siri 1) bertempat di UTM HELIxS, Fakulti Sains.
Siri pertama program ini menghimpunkan 26 guru Sains dan Fizik Tingkatan 4 dan 5 dari pelbagai sekolah menengah sekitar Johor Bahru, dengan pengisian dikendalikan oleh pensyarah pakar Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM. Melalui pendekatan perkongsian kepakaran, para guru diberi peluang mendalami ilmu dan pedagogi Sains serta Fizik yang lebih interaktif dan kreatif.

Program diketuai oleh Dr. Nor Ain Husein selaku Pengarah Program MasteryMind, bersama barisan pensyarah pakar dari Jabatan Fizik, antaranya Dr. Suhaila M. Buhari (Teknologi Angkasa); Prof. Madya Dr. Abdul Khamim Ismail dan Prof. Madya Dr. Nabilah Kasim (Cahaya, Mikroskop dan Teleskop); Dr. Siti Salwa Alias (Jirim); serta Dr. Faizani Mohd Noor dan Dr. Nor Ezzaty Ahmad (Daya dan Gerakan).
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel pembinaan teleskop menggunakan bahan mudah diperoleh serta kos rendah seperti penyepit baju dan kanta cermin mata. Aktiviti hands-on ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membuktikan kreativiti dalam pengajaran Fizik boleh dipupuk melalui eksperimen ringkas yang mampu meningkatkan minat pelajar.

Menurut Dr. Nor Ain, program ini diwujudkan sebagai inisiatif strategik untuk memperkasa guru sebagai multiplier agent dalam membina generasi pelajar celik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). “Fakulti Sains UTM berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik dalam bidang STEM, dan melalui MasteryMind kami mahu memastikan kepakaran ini dapat disalurkan terus kepada guru – golongan yang berada di barisan hadapan mendidik pelajar,” jelas beliau.

Turut hadir ialah Dr. Norlly Mohd Isa, Jurulatih Pakar Penambahbaikan Sekolah (SISC) PPD Johor Bahru, serta Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Fakulti Sains UTM. Dalam ucapan beliau, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam menyatakan, “Program MasteryMind ini sejajar dengan aspirasi Fakulti Sains untuk memperkasa ekosistem pendidikan STEM melalui perkongsian kepakaran penyelidik dan pakar sains dengan guru-guru sekolah. Diharapkan inisiatif ini dapat melahirkan pendidik yang kreatif dan inovatif, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan modal insan dalam bidang Sains dan Matematik, selaras dengan tagline kami — where great minds are nurtured.”

Guru-guru yang hadir turut memberikan respons amat positif. Ramai menyatakan mereka memperoleh banyak ilmu baharu serta tip menarik yang boleh diaplikasikan terus dalam bilik darjah. Mohamad Salleh Mohd Azman, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2 yang juga Panel Perunding Mata Pelajaran Fizik Daerah Johor Bahru dan Negeri Johor berkata, “Saya amat berbesar hati dapat menyertai program ini kerana ia memberi ruang untuk saya meningkatkan kompetensi pedagogi, berkongsi amalan terbaik bersama rakan pendidik, dan seterusnya memperkasakan murid dengan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif serta berkesan.”

Bagi Ketua Jabatan Fizik, Dr. Roslinda Zainal, inisiatif perkongsian ini sangat penting kerana ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan ilmu Fizik, malah berpotensi menarik lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut di peringkat universiti.
Program MasteryMind tidak terhenti pada Siri 1 sahaja kerana siri-siri seterusnya telah dijadualkan dengan topik lebih meluas. Siri 2 akan berlangsung pada 11 September 2025 dengan fokus kepada Matematik (Kebarangkalian serta Fungsi Trigonometri dan Transformasi), diikuti Siri 3 pada 14 Oktober (Kimia – Redoks dan Sebatian Karbon). Siri 4 pada 18 November pula membincangkan Biologi (Pembiakan Seks dan Pembiakan Tumbuhan Berbunga), manakala Siri 5 pada 25 November akan merangkumi Fizik dan Matematik (Kuantum, Graviti, Ketaksamaan serta Permodelan Matematik).
Kesinambungan siri ini membuktikan komitmen Fakulti Sains UTM untuk menyediakan platform latihan berimpak tinggi kepada guru-guru STEM, sekali gus menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan pendidikan sekolah.
Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab, Pengurus Hubungan Luar dan Global Fakulti Sains, program ini turut mencerminkan usaha berterusan fakulti dalam memperkukuh jaringan pendidikan kebangsaan. Melalui kerjasama strategik ini, inisiatif MasteryMind mampu memberi impak berterusan kepada kualiti pengajaran STEM, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah berpotensi diperluas ke peringkat serantau.
Dengan sambutan positif yang diterima, MasteryMind kini terbukti menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan UTM dengan sekolah-sekolah, serta memperkukuh ekosistem pendidikan STEM negara demi melahirkan generasi pelajar yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.