PATHUM THANI, 4 Ogos – Program Jelajah Komuniti: Ekspedisi Budaya Ayutthaya yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos 2025 telah membuka ruang kerjasama dan pertukaran budaya antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universitas Airlangga (UNAIR) dari Indonesia, dan Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) dari Thailand. Program ini turut mendapat sokongan daripada Institut Teknologi Raja Mongkut Ladkrabang (KMITL) sebagai salah satu lokasi pengisian utama.
Ekspedisi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau antara institusi pendidikan tinggi, malah selari dengan inisiatif Tahun Melawat Asia (Visit Asia Year) 2025 yang menggalakkan pertukaran budaya, pelancongan pendidikan, dan pemerkasaan jaringan belia di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) melalui aktiviti rentas sempadan yang bermakna serta penuh nilai pembelajaran. Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah, warisan dan gaya hidup masyarakat setempat, sekali gus memupuk semangat perpaduan serantau yang lebih utuh.
Seramai 70 delegasi yang terdiri daripada 34 peserta dari UTM, 15 peserta dari UNAIR, dan 21 peserta dari RMUTT telah menyertai Jelajah Komuniti: Ekspedisi Budaya Ayutthaya. Program ini menjadi platform kerjasama akademik, perkongsian pengetahuan, lawatan ilmiah, serta pengukuhan hubungan serantau. Sepanjang program, peserta terlibat dalam sesi pertukaran ilmu bersama institusi pendidikan tempatan, perkongsian berkaitan kelestarian – Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), aktiviti ice breaking dan lawatan kampus, serta Hari Pertukaran Budaya yang menampilkan persembahan seni tradisional dari Malaysia, Thailand dan Indonesia. Program turut diserikan dengan lawatan ke beberapa lokasi ikonik di Bangkok, sekali gus memperkukuh jalinan hubungan serantau serta memperkaya pengalaman antarabangsa para peserta.


Program rasmi bermula pada 30 Julai di KMITL dengan sesi libat urus bersama Sekolah Pendidikan dan Teknologi Industri serta Sekolah Teknologi Pertanian. Peserta didedahkan kepada pendekatan inovatif dalam pendidikan teknikal, termasuk pembangunan kemahiran industri, penggunaan teknologi baharu dalam pengajaran, serta strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global.
Para pelajar juga melihat aplikasi teknologi moden dalam pertanian seperti penanaman pintar, pengurusan sumber lestari, dan inovasi hasil pertanian. Perbincangan interaktif membolehkan tenaga pengajar berkongsi kepakaran serta membuka ruang pertukaran idea antara mahasiswa dari UTM, UNAIR, dan KMITL. Sesi ini turut mengukuhkan hubungan akademik antara ketiga-tiga universiti dan memperluas potensi kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan komuniti pada masa hadapan.
Hari ketiga, iaitu pada 31 Julai, aktiviti ice breaking di RMUTT dijalankan bagi menggalakkan interaksi rentas negara. Aktiviti seperti pertukaran bahasa, lakaran potret, dan permainan mini membantu mengasah kreativiti, memupuk persahabatan, serta mengenali budaya dan cara berfikir rakan dari Malaysia, Indonesia, dan Thailand. Peserta kemudian mengikuti lawatan akademik ke Muzium Sains Negara Thailand, yang mempamerkan pencapaian sains dan teknologi negara tersebut. Pameran interaktif ini memberi pemahaman mendalam tentang peranan sains dalam kemajuan masyarakat serta memberi inspirasi untuk mengaplikasikan ilmu dalam bidang masing-masing.
Pengisian pada 1 Ogos telah difokuskan kepada ESG serta SDG. Dalam slot pertama, pengalaman UTM dan Bandar Iskandar Puteri dalam membangunkan bandar mampan telah dikongsikan, termasuk strategi pengurangan karbon, pengurusan sumber secara lestari, dan pembangunan komuniti mesra alam yang telah dilaksanakan. Pada sebelah petang pula, RMUTT Nature Challenge telah dianjurkan dengan pelbagai aktiviti luar bilik darjah yang memerlukan peserta digabungkan dalam kumpulan untuk melaksanakan tugasan berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
Hari kemuncak program telah ditandai dengan penganjuran Hari Pertukaran Budaya pada 2 Ogos. Acara telah dimulakan oleh Thailand melalui bengkel kraf tangan yang membolehkan peserta menghasilkan sendiri karya seni tradisional, sebelum diteruskan dengan persembahan budaya yang menampilkan tarian dan muzik warisan. Seterusnya, teater pendek yang membawa mesej perpaduan serta tarian tradisional seperti Zapin dan Joget telah dipersembahkan oleh Malaysia, manakala tarian tradisional penuh warna telah dipersembahkan oleh Indonesia sehingga berjaya memukau penonton. Majlis penutup yang diakhiri dengan penyampaian cenderamata telah dijadikan simbol persahabatan dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.



Delegasi telah mengikuti lawatan pembelajaran budaya di sekitar Bangkok pada 3 Ogos. Destinasi seperti Wat Arun, Muzium Negara Bangkok dan Grand Palace telah diperkenalkan kepada peserta bagi menonjolkan keindahan seni bina bersejarah, keagungan institusi monarki Thailand, serta koleksi artifak bernilai tinggi yang dimiliki negara tersebut. Pada sebelah petang, lawatan ke Chinatown, Icon Siam dan Asiatique The Riverfront telah dilaksanakan dengan menampilkan gabungan warisan tradisi dan kemodenan dalam kehidupan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, program Jelajah Komuniti: Ekspedisi Budaya Ayutthaya telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan kebudayaan antara UTM, UNAIR dan RMUTT. Pelbagai pengisian yang merangkumi sesi libat urus akademik, perkongsian berkaitan kelestarian, aktiviti pertukaran budaya, serta lawatan ilmiah telah memberi peluang kepada peserta untuk menimba pengetahuan baharu, mengasah kemahiran insaniah, dan memperluas perspektif global dalam suasana pembelajaran rentas negara.
Di samping itu, pelajar turut merasai pengalaman menjadi warga tempatan dengan menyesuaikan diri dalam aktiviti harian masyarakat Thailand, seperti menggunakan pengangkutan awam termasuk kereta api, bas, dan bot sebagai medium utama pergerakan. Selain itu, mereka juga berpeluang menikmati serta mempelajari hidangan tradisional Thailand seperti pad kra pao dan makanan tempatan lain sebagai sebahagian daripada pengalaman budaya.
Lebih daripada sekadar program pertukaran, inisiatif ini membuktikan kewajarannya sebagai wadah penting dalam memperkukuh persahabatan, persefahaman, dan kolaborasi antara tiga negara serantau. Interaksi mesra, perkongsian ilmu, serta pengalaman budaya yang dilalui bersama telah mengukuhkan ikatan kerjasama yang bukan sahaja bermanfaat pada peringkat mahasiswa, tetapi juga berpotensi melahirkan jaringan strategik dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan komuniti pada masa hadapan.