January 5, 2026

Ekosistem kampus universiti sebagai simfoni ilmu berinspirasikan metafora orkestra

Baru-baru ini, saya menonton Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ke-23 secara dalam talian yang mempertandingkan pasukan orkestra antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari seluruh Malaysia. Saya menonton sebagai tanda sokongan pasukan orkestra sekolah di mana saya melanjutkan pengajian menengah saya iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) yang bersaing dengan banyak sekolah lain termasuklah pasukan dari Sekolah Seri Puteri (SSP) yang baharu sahaja memenangi pingat emas Festival Orkestra Dunia di Austria pada hujung bulan Julai yang lalu. Alhamdulillah, pasukan orkestra SMSS berjaya memenangi tempat pertama dalam festival berkenaan, dan diikuti pasukan SSP di tempat kedua. Sewaktu saya bersekolah di sana, bermula tahun 1996 sehingga tahun 2000, pasukan orkestra masih belum wujud, sebaliknya saya terlibat dalam pasukan pancaragam sekolah. Masih segar dalam ingatan, setiap kali sambutan Hari Kebangsaan bertempat di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kami perlu bersedia seawal jam 5 pagi untuk berarak dengan instrumen pancaragam masing-masing.

Alat muzik yang diperdengarkan dalam orkestra terbahagi kepada alat muzik bertali, alat muzik tiupan kayu, alat muzik tiupan logam, dan alat muzik perkusi. Senarai alat muzik bertali termasuklah biola, selo, dan Contrabass, manakala alat muzik tiupan termasuklah flut, piccolo, obo dan saksofon. Alat muzik tiupan logam termasuklah trompet, trombone, French horn dan tuba. Manakala timpani, dram, simbal, tamborin, zilofon, marimba, dan triangle termasuklah dalam kategori alat muzik perkusi.

Sewaktu menonton festival berkenaan, tatkala ramai yang mungkin terpukau dengan kehebatan ahli pasukan atau pemuzik yang meniup saksofon atau trumpet dengan penuh semangat, saya pula melihat ahli pasukan yang bermain dengan alat yang mungkin tidaklah sesukar mana untuk dimainkan. Triangle umpamanya yang memerlukan pemuzik memegang dan memukul dengan pemukul triangle tersebut. Ataupun barangkali tamborin yang hanya memerlukan pergerakan tangan tanpa banyak kudrat yang perlu dikerah. Namun perlu diingat bahawa, walaupun peranan mereka tampak mudah dan bersahaja, tanpa bunyi kedua-dua alat muzik tersebut, ia tidak akan menghasilkan satu alunan simfoni orkestra yang memukau dan sempurna. Sebuah pasukan orkestra yang harmoni terdiri daripada pelbagai alat muzik yang dimainkan oleh pemuzik yang saling melengkapi. Dalam sesebuah pasukan orkestra, mereka dipimpin oleh ketua yang juga dikenali sebagai konduktor atau pemimpin orkestra. Tanpa mereka, susunan dan alunan muzik tidak akan tersusun dan tiada hala tuju.

Dalam tulisan ini, saya cuba melihat bagaimana kehidupan kita khususnya di dalam kampus boleh dimetaforakan dengan satu pasukan orkestra yang menghasilkan suatu simfoni muzik yang hebat. Ekosistem kampus universiti terdiri daripada ahli komuniti dengan peranan berbeza tetapi saling berkait. Jika orkestra memerlukan konduktor, pemuzik, dan nota muzik untuk mencipta sebuah simfoni muzik, universiti pula memerlukan kepimpinan, staf akademik, mahasiswa, dan kurikulum bagi melahirkan sebuah ekosistem yang berkesan. Metafora ini menggambarkan bagaimana setiap elemen dalam kampus beroperasi secara sinergi, ibarat not-not muzik yang membentuk suatu simfoni ilmu. Dalam orkestra, konduktor menentukan tempo, dinamik, dan koordinasi antara pemuzik. Begitu juga, pengurusan utama universiti seperti Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Dekan yang berperanan sebagai “konduktor” yang merancang polisi, mengurus fakulti, dan memastikan misi dan visi universiti tercapai. Tanpa kepimpinan yang berkesan, kampus akan kehilangan arah, seperti orkestra tanpa arahan yang jelas.

Pemuzik diibaratkan sebagai staf akademik dan mahasiswa itu sendiri. Alat muzik bertali sinonim dengan peranan staf akademik sebagai pensyarah dan penyelidik yang menjadi tulang belakang kampus. Mereka ibarat seperti biola atau selo yang menjadi tulang belakang orkestra. Mereka “memainkan” ilmu melalui pengajaran dan penyelidikan, mencipta asas pengetahuan yang kukuh. Mahasiswa ibarat alat tiupan yang menjadi nadi kepada kampus. Suara mereka mungkin berbeza (seperti jurusan sains, teknologi, sains sosial atau kejuruteraan), tetapi bersama-sama membentuk melodi kecemerlangan. Pustakawan, staf teknikal, staf sokongan dan staf pentadbiran pula seperti alat perkusi. Peranan mereka mungkin kurang ketara, namun peranan mereka penting untuk mengekalkan ritma operasi harian. Nota muzik yang berisi notasi dan simbol-simbol muzik untuk panduan pemuzik dalam memainkan sebuah karya muzik pula merujuk kepada kurikulum, sukatan pelajaran dan garis panduan akademik berfungsi untuk memandu proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa struktur ini, kekeliruan akan berlaku, ibarat orkestra yang bermain tanpa nota muzik.

Kita lihat pula dalam skop yang lebih kecil, iaitu apabila mahasiswa diberikan tugasan yang perlu disiapkan secara berkumpulan. Setiap ahli pasukan memainkan peranan yang berbeza, tetapi kesemuanya perlu selaras untuk mencipta hasil akhir yang harmoni dan berkualiti. Ketua kumpulan berfungsi seperti konduktor orkestra yang memimpin pemuzik. Mereka akan menetapkan arah dan garis masa (seperti tempo dalam muzik), memastikan setiap ahli fokus pada peranan masing-masing, menyelaraskan perbincangan dan membuat keputusan akhir jika berlaku percanggahan pendapat. Tanpa pemimpin yang proaktif, kumpulan boleh menjadi kucar-kacir, seperti orkestra tanpa konduktor. Setiap ahli membawa kekuatan yang berbeza, sama seperti alat muzik yang menghasilkan bunyi unik. Terdapat ahli kumpulan yang fokus pada pengumpulan data, analisis, dan penulisan kandungan utama. Terdapat juga mereka juga mahir dalam penyuntingan, pembentangan, atau memastikan gaya penulisan konsisten. Terdapat juga ahli kumpulan yang menguruskan rujukan, layout, atau aspek teknikal seperti rajah, jadual, atau grafik. Lembaran tugasan berserta kriteria yang ditaksir ibarat nota muzik. Jika lembaran tugasan tidak dipatuhi, hasilnya akan kelihatan tidak teratur dan tidak koheren.

Tuntasnya, ekosistem universiti boleh dimetaforakan sebagai sebuah pasukan orkestra yang terdiri daripada pemimpinnya, pemuzik pelbagai alat jenis muzik serta nota muzik yang menjadi panduan. Kesemuanya memainkan peranan masing-masing yang perlu dihormati peranan dan tanggungjawab mereka tanpa mengira pangkat dan kedudukan, dalam memastikan ekosistem kampus berjalan dengan baik dan lancar dengan dipimpin oleh pentadbir universiti.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day