“Dengan pen merah pula tu?”, tambah seorang lagi pelajar.
“Jangan risau, mari saya jelaskan”, saya membalas.
Sewaku di bangku sekolah rendah, kita diajar mengenai ayat pertanyaan dan perkataan yang perlu diletakkan sebagai perkataan pertama dalam ayat persoalan berkenaan. Umpamanya, “bila anda akan menganjurkan majlis persandingan?”, atau untuk kelihatan lebih formal, “kah” boleh diletakkan selepas perkataan “bila”. Misalnya, seorang pensyarah bertanyakan kepada mahasiswa, “bilakah anda semua boleh menghantar tugasan pertama kepada saya?”. Begitu juga dengan kata soal “di mana”. Contohnya, seorang guru bertanyakan kepada muridnya, “di mana kamu tinggal?”, atau lebih formal, “di manakah kamu tinggal?”.
Sehubungan itu, saya agak janggal apabila membaca penulisan tugasan, disertasi mahupun tesis, terdapat perkataan “bila” dan “di mana” di pertengahan ayat penyata, dan bukannya dalam ayat berbentuk pertanyaan. Ayat penyata dalam bahasa Melayu merujuk kepada ayat yang menyatakan sesuatu fakta, maklumat, atau pernyataan tanpa meminta tindak balas atau jawapan daripada pendengar atau pembaca. Contoh penggunaan “di mana” yang merupakan kesilapan biasa pelajar dalam penulisan ayat penyata, adalah seperti berikut:
“Terdapat beberapa pendekatan di mana anda boleh gunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid sekolah menengah dalam topik Nisbah, Kadar dan Kadaran”.
Ayat di atas boleh dibaiki dengan ayat berikut:
“Terdapat beberapa pendekatan yang anda boleh gunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid sekolah menengah dalam topik Nisbah, Kadar dan Kadaran”.
Contoh lain kesilapan penggunaan perkataan “di mana”,
“Pentaksiran formatif ialah pendekatan di mana pensyarah memberi maklum balas berterusan kepada pelajar bagi menambahbaik kualiti pembelajaran mereka.”
yang boleh diperbaiki kepada ayat berikut:
“Pentaksiran formatif ialah pendekatan yang memberi maklum balas berterusan kepada pelajar oleh pensyarah bagi menambahbaik kualiti pembelajaran mereka.”
Namun begitu, perkataan “di mana” sesuai diletakkan dalam ayat penyata apabila digunakan sebagai kata hubung relatif untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa keterangan yang menerangkan tempat atau situasi. Misalnya, “Itulah rumah usang, di mana saya dibesarkan”. Dari aspek menerangkan situasi abstrak, dalam konteks formal, perkataan “di mana” boleh digunakan. Misalnya, “Dalam kehidupan kita, terdapat situasi di mana kita harus bersedia dan berhati-hati”. Dalam penulisan bahasa Melayu, “di mana” tidak boleh menggantikan “yang” untuk keterangan bukan tempat. Umpamanya, “Buku di mana saya beli mahal”, yang sepatutnya ditulis sebagai “Buku yang saya beli mahal”.
Pelajar barangkali keliru dengan terjemahan “where” dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Penggunaan “where” dalam bahasa Inggeris betul, namun apabila diterjemahkan secara langsung ke bahasa Melayu, ia menjadi satu kesilapan. Berikut adalah contoh ayat yang jelas terdapat kesalahan jika “where” dalam bahasa Inggeris diterjemahkan secara langsung kepada “di mana” dalam ayat penyata bahasa Melayu.
“This is the reason where I decided to leave.”
yang kemudiannya menjadi kesilapan apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu,
“Ini adalah sebab di mana saya putuskan untuk pergi.”
Contoh ayat tersebut menunjukkan kesalahan jelas apabila “where” dalam konteks bukan fizikal diterjemahkan menjadi “di mana”.
Dalam penulisan tesis, penggunaan perkataan “bila” sebagai kata tanya tidak sesuai kerana ia dianggap tidak formal dan kurang tepat dari segi tatabahasa. Sebaliknya, perkataan seperti “apabila”, atau “ketika” lebih sesuai digunakan dalam konteks akademik.
“Bila guru menggunakan pendekatan manipulatif, murid lebih memahami konsep pecahan” yang menjadi lebih tepat dengan menggantikan “bila” dengan “apabila” iaitu,
“Apabila guru menggunakan pendekatan manipulatif, murid lebih memahami konsep pecahan.”
Berikut pula adalah contoh ayat penyata yang salah apabila menggunakan perkataan “bila” di pertengahan ayat dalam konteks tesis pendidikan matematik.
Contoh ayat yang salah adalah seperti berikut:
“Skor ujian pencapaian murid meningkat bila strategi pembelajaran berasaskan inkuiri penemuan dilaksanakan.”
yang boleh diperbaiki kepada,
“Skor ujian pencapaian murid meningkat apabila strategi pembelajaran berasaskan inkuiri penemuan dilaksanakan.”
Apabila “Bila” bersifat informal dan tidak sesuai dalam penulisan akademik. Sebaliknya, “Apabila” lebih tepat untuk menunjukkan hubungan sebab-akibat atau masa dalam konteks formal.
Dalam konteks terjemahan “when” yang tepat dalam ayat bahasa Inggeris, namun menjadi kesilapan apabila diterjemahkan secara langsung, adalah seperti berikut, “When the sun sets, the sky turns red.”, yang diterjemahkan “Bila matahari terbenam, langit menjadi merah.” Ia menjadi lebih tepat apabila “bila” digantikan dengan “apabila”. Apabila di tengah-tengah ayat, “She smiles when she’s nervous.” yang lebih tepat apabila ditukar kepada “Dia senyum apabila dia gugup”.
Namun begitu, mana-mana dan bila-bila boleh digunakan pada pertengahan ayat penyata. Mana-mana dalam bahasa Melayu bermaksud “yang mana satu pun”, atau “salah satu daripada beberapa pilihan”. Bila-bila pula merujuk kepada sebarang masa, waktu atau ketika. Contoh penggunaan perkataan “mana-mana” dalam penulisan akademik seperti, “Penggunaan sistem pembelajaran secara kendiri membolehkan murid belajar di mana-mana sahaja mereka berada”. Manakala contoh penggunaan “bila-bila” dalam ayat penyata penulisan akademik seperti “Data yang disimpan dalam sistem boleh diakses oleh pengguna yang diberi kebenaran pada bila-bila masa mengikut keperluan.”
Tuntasnya, semoga tulisan ini dapat membuka minda kita mengenai ketepatan penggunaan “bila” dan “di mana” dalam penulisan khususnya dalam penulisan akademik. Walaupun penggunaan istilah “bila” dan “di mana” dalam pernyataan kelihatan betul, namun apabila kita cakna mengenai ketepatan penggunaannya, ia melambangkan bahawa kita cakna dengan penggunaan bahasa kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita semua sebagai rakyat Malaysia.
Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia