October 4, 2025

Aromaterapi, ‘Me Time’ dan Ketenangan: Terapi Mental Warga Kampus

Dalam era moden yang penuh cabaran, kesejahteraan mental sering kali terabai dalam kesibukan harian, terutamanya dalam kalangan mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran. Keputusan-keputusan penting dalam hidup, akademik atau kerjaya memerlukan minda yang tenang, fokus, dan mampu menilai situasi dengan bijak. Namun, tekanan akademik, tuntutan tugasan, dan komitmen peribadi sering kali menjadi faktor utama yang menjejaskan kestabilan emosi.

Di sinilah terapi aromaterapi, disokong oleh amalan “me time” dan persekitaran yang kondusif, menjadi penawar yang signifikan dalam membantu menstabilkan emosi, meredakan tekanan, serta memperkukuh daya membuat keputusan yang sihat dan berkesan. Bagi warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pendekatan ini bukan sahaja sesuai dipraktikkan di rumah atau asrama, malah boleh diintegrasikan dalam ruang kerja, bilik mesyuarat, dan kawasan pembelajaran untuk mencipta suasana yang lebih harmoni.

Aromaterapi Lebih dari Sekadar Haruman

Aromaterapi ialah kaedah semula jadi yang menggunakan minyak pati daripada tumbuhan untuk memberi ketenangan kepada tubuh dan minda. Kajian saintifik mendapati bahawa minyak lavender membantu mengurangkan kebimbangan, peppermint merangsang kesegaran mental, manakala chamomile membantu melancarkan tidur yang berkualiti.

Di UTM, kesedaran terhadap keseimbangan emosi semakin meningkat dengan wujudnya pelbagai inisiatif kesihatan mental yang menyokong keberadaan ruang refleksi dan aktiviti santai. Bayangkan suasana bilik bacaan yang sunyi, dihiasi dengan aroma lavender yang lembut, bukan sahaja membantu pelajar untuk fokus, malah memberi rasa tenang yang mendalam.

Pengaruh Aromaterapi Terhadap Otak dan Emosi

Apabila seseorang berada dalam tekanan, contohnya semasa minggu peperiksaan atau ketika perlu membuat keputusan besar seperti memilih haluan kerjaya, sistem limbik otak yang mengawal emosi boleh menjadi tidak seimbang. Aromaterapi yang diamalkan dalam suasana tenang mampu memberi kesan positif kepada sistem saraf, menstabilkan degupan jantung, dan mengurangkan hormon stres seperti kortisol.

Sesetengah kajian psikologi persekitaran menunjukkan bahawa bauan tertentu mampu mencetuskan kenangan positif dan emosi yang menyenangkan. Justeru, bagi pelajar atau staf yang kerap berdepan dengan jadual yang padat, memasang peresap aromaterapi sebelum memulakan kerja mampu menjadi amalan kecil yang memberi impak besar terhadap mood dan prestasi.

‘Me Time’: Ruang Untuk Diri Sendiri

Lebih menarik, amalan ‘me time’ adalah masa bersendirian yang diluangkan untuk diri sendiri. Ia terbukti bukan sahaja membantu individu mengenal emosi sendiri, malah memberi ruang untuk memperlahankan rentak kehidupan yang sering terkejar-kejar. Dalam konteks warga UTM, ‘me time’ boleh hadir dalam pelbagai bentuk contohnya membaca buku kegemaran di bawah teduhan pokok di sekitar kampus, menikmati secawan kopi di kafe sambil mendengar muzik, atau sekadar menarik nafas panjang sambil menikmati haruman aromaterapi di bilik sendiri.

Gabungan ‘me time dengan aromaterapi mencipta pengalaman deria yang lengkap meliputi bau, suasana, dan perasaan yang membawa kepada ketenangan holistik. Walaupun hanya meluangkan masa antara 10 hingga 15 minit sehari, ia sudah memadai untuk membantu tubuh dan minda kembali segar.

Persekitaran Kondusif : Kunci Kesejahteraan Mental

Bagi warga UTM, khususnya di kolej kediaman atau fakulti yang sibuk, membina rutin ‘me time bersama aromaterapi mampu menjadi sebahagian gaya hidup sihat. Satu contoh adalah dengan menyelitkan sesi ringkas aroma-diffusion sebelum tidur, atau semasa membuat ulang kaji  ternyata mampu meningkatkan fokus dan mengurangkan tekanan emosi.

Persekitaran yang baik memainkan peranan penting dalam menjayakan amalan ini. Ruang kerja atau bilik belajar yang kemas, hijau dengan tanaman kecil, serta bauan menenangkan dapat menjadikan ruang fizikal sebagai tempat penyembuhan minda. Prinsip psikologi persekitaran menggariskan bahawa suasana sekeliling yang bersih, teratur dan indah secara visual mampu merangsang kreativiti dan meningkatkan produktiviti.

Mengintegrasi Dalam Kehidupan Seharian Warga Kampus

Mengamalkan aromaterapi dan “me time” tidak memerlukan kos tinggi atau peralatan mewah. Sebotol kecil minyak pati dan peresap mudah alih sudah memadai. Pelajar boleh membawanya ke bilik kuliah atau perpustakaan, manakala staf boleh meletakkannya di sudut meja kerja untuk membantu mengekalkan mood positif sepanjang hari.

Lebih penting, amalan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah mewujudkan suasana kerja dan pembelajaran yang lebih mesra, harmoni dan saling menyokong. Dalam jangka panjang, ia membantu membina komuniti kampus yang lebih sejahtera dari segi emosi dan mental.

“Bau yang lembut, hati yang lapang” aromaterapi bukan sekadar  haruman, tetapi sahabat diam yang membentuk tenang dalam setiap keputusan kehidupan dan dalam pekerjaan. – Gambar sekadar hiasan

 

Penulis bersama kumpulan pengamal kesihatan Homeopati (berasaskan aromaterapi) di  Pameran Halal ICIHES 2024

Mental yang sihat bermula dengan kesedaran diri. Aromaterapi dan ‘me time bukanlah sekadar trend kesihatan moden tetapi ia adalah keperluan emosi yang hakiki. Sebagai warga UTM yang ingin terus maju dalam akademik, kerjaya dan kehidupan peribadi, kesejahteraan mental perlu diberi perhatian serius. Mulakan hari anda dengan aroma yang menenangkan, luangkan masa untuk diri sendiri, dan cipta persekitaran yang menyokong ketenangan. Minda yang tenang mampu membuat keputusan yang tepat. Dan keputusan yang tepat, mampu mencorak masa depan yang lebih baik.

Explore More