August 12, 2025

AMTEC gerakkan Kesedaran Hijau: Program Kitar Semula Lestari

JOHOR BAHRU, 7 Ogos – Lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan Taman Anggerik telah menunjukkan semangat luar biasa dalam menyertai Bengkel Kitar Semula bertemakan “Amalan Kitar Semula Untuk Pembangunan Lestari”, anjuran Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa AMTEC (SSA).

Program ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan pemindahan ilmu yang bukan sahaja mencetus kesedaran, tetapi juga menyemai budaya hijau dan lestari dalam kalangan pelajar sekolah rendah sejak di peringkat awal pendidikan mereka. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan ke-12 (SDG 12): Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, bengkel ini memberi penekanan kepada pengurusan sisa yang bijak, pendekatan sifar sisa, serta memperkenalkan konsep “waste to wealth” secara praktikal.

Para pelajar yang terlibat dalam program ini dibahagikan kepada lapan kumpulan bagi mengikuti dua modul utama iaitu pengasingan sisa di punca dan penghasilan “eco-brick” daripada bahan plastik buangan. Aktiviti menarik seperti demonstrasi penggunaan eco-brick, serta sesi hands-on menghasilkan produk kitar semula berjaya memupuk kemahiran insaniah, kreativiti, dan pemikiran lestari dalam kalangan peserta.

Menurut Pengarah Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Goh Pei Sean, yang juga merupakan penasihat SSA, program ini direka khusus untuk membentuk pelajar sebagai ejen media perubahan alam sekitar dengan menggabungkan elemen pendidikan STEM, praktis lestari, dan pemindahan teknologi secara efektif.

“Kami percaya perubahan besar bermula dengan tindakan kecil. Dengan memberi pendedahan awal seperti ini, kita dapat membina generasi muda yang lebih cakna dan bersedia memimpin perubahan ke arah masa depan yang lebih lestari,” ujarnya.

Program ini turut disokong oleh 13 fasilitator SSA AMTEC serta beberapa staf, pensyarah dan penyelidik dari pusat tersebut. Majlis penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik dan cenderahati kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu yang diberikan.

Lebih daripada sekadar program kesedaran, inisiatif ini telah mencipta gelombang impak positif yang berpanjangan, yang boleh dilihat menerusi pembentukan sikap mesra alam dalam kalangan murid, kepada pengukuhan jalinan universiti-komuniti, dan seterusnya membuka laluan kepada kerjasama pendidikan berterusan antara institusi.

Sebagai langkah susulan, pihak sekolah merancang untuk menganjurkan satu lagi program lanjutan pada Oktober 2025 ini bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memfokuskan kepada penghasilan sabun dan lilin daripada minyak masak terpakai. AMTEC sekali lagi akan diundang sebagai fasilitator utama, melanjutkan misi memperkasa komuniti melalui sains dan inovasi.

Program ini dijangka menjadi pemangkin transformasi budaya kitar semula dalam komuniti setempat dan model rujukan bagi pendidikan kelestarian peringkat rendah di seluruh negara.

 

Explore More