September 28, 2025

Akhir-akhir ini, semakin kerap kita disajikan dengan kisah-kisah yang mencalar adab, kisah tentang insan yang tidak lagi menyanjung maruah sesama insan; seorang murid yang menumbuk pipi gurunya; tindakan pempengaruh yang keterlaluan terhadap golongan gelandangan serta individu yang menyimpan dengki terhadap kejayaan orang lain. Saya juga pernah menyaksikan seorang wanita menghempas beg dan menengking pengawal keselamatan. Pengawal keselamatan yang barang kali bukan orang tempatan, yang hanya menjalankan amanah dan hanya menegur kerana larangan membawa beg ke dalam pusat membeli-belah. Adakah begitu hina tugas seorang pengawal keselamatan, hanya kerana dia bukan warganegara? Adakah darjat manusia itu terletak pada asal usulnya? Tindakan sebegini ibarat menggores jalinan harmoni masyarakat majmuk kita.

Sikap saling menghormati ialah kunci keamanan. Tanpanya, lahirlah benci dan amarah yang menyesakkan ruang hati. Rukun Negara yang kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, bukan sekadar lafaz dalam majlis rasmi, tetapi panduan hidup untuk kita meniti di bumi bertuah ini. Dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia, nilai hormat bukan sekadar tuntutan, tetapi keperluan. Cuba kita bayangkan, jika hilang rasa hormat, tiada siapa lagi akan peduli pada suara orang lain. Pandangan disanggah, perbezaan tidak diraikan, dan yang tinggal hanyalah keegoan. Maka, tumbuhlah kebencian lantas memekarkan permusuhan.

Hormat itu tidak mengenal usia, pangkat, mahupun latar belakang. Pemimpin harus menghormati rakyat, dan rakyat harus menghormati pemimpin. Pemimpin dan rakyat adalah simbiosis yang saling memerlukan. Ia ibarat aur dengan tebing. Tanpa aur, longgarlah tebing; tanpa tebing, rebahlah aur. Kita biasa mendengar bahawa orang muda harus menghormati yang lebih tua – tetapi orang tua juga perlu mendengar dan menghargai suara generasi baharu. Pandangan mereka mungkin menjadi pelita kepada jalan yang semakin kompleks dan mencabar ini, selagi tidak terpesong dari batas susila.

Lebih menyedihkan, akhir-akhir ini, negara kita turut digemparkan dengan peningkatan buli bukan sahaja di sekolah, malah turut menular di mana-mana sahaja. Ada yang dibuli secara fizikal, dipukul dan dimalukan di hadapan khalayak. Ada pula yang dibuli secara emosi, dihina, diperkecilkan, dijadikan bahan ejekan dan permainan. Lebih malang lagi, ada yang menjadi mangsa buli siber, sering dihukum tanpa bicara oleh warga maya yang bersembunyi di sebalik papan kekunci.

Nilai hormat dipupuk melalui teladan. Ibu bapa yang menghormati guru, jiran, dan masyarakat, sedang mengukir cerminan diri buat anak-anak. Jika anak hidup dalam persekitaran yang sarat hormat, maka hormat itulah yang akan tumbuh di hati mereka. Di tempat kerja, di jalan raya, dan di mana-mana sahaja, hormatilah insan di sekeliling kita. Pembersih bangunan dan pengawal keselamatan,  mereka bukan sekadar mencari rezeki untuk keluarga sendiri, merekalah jua penjaga kebersihan dan keselamatan tempat kita mencari rezeki. Hormatilah mereka sebagaimana kita mahu dihormati. Di jalan raya pula, patuhi lampu isyarat, dan jangan salah guna lorong kecemasan. Berikan keutamaan kepada yang lebih memerlukan menggunakan laluan ini seperti ambulans kerana ada nyawa perlu diselamatkan dalam tempoh yang kritikal. Menghomati undang-undang ibarat menghormati kehidupan.

Mengambil semangat bulan Kemerdekaan ini, marilah kita kita menyemai kembali rasa hormat kepada tanah air tercinta. Hormatilah Jalur Gemilang kerana kibarannya membawa makna perjuangan dan kejayaan. Jangan biarkan ia terbiar di tanah, apatah lagi dijadikan lapisan tangan yang kotor. Warna-warnanya bukan sekadar corak, ia lambang maruah (kuning untuk kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, merah untuk keberanian, putih untuk kesucian, biru untuk perpaduan). Bendera ini ialah wajah kita , wajah rakyat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian. Begitu juga Lagu Negaraku, bukan sekadar rangkap dan irama, tetapi simbol kedaulatan. Ketika ia berkumandang, berdirilah dengan bangga, dengan hati yang penuh kasih pada negara. Jangan biarkan ada yang memperolokkan lagu ini, kerana setiap liriknya adalah warisan yang patut dibela. Hormatilah juga pejuang kemerdekaan. Mereka telah meninggalkan segala bentuk keselesaan diri dan berkorban demi tanah air. Doakan mereka yang telah pergi, semoga mereka dalam kalangan yang dimuliakan Tuhan. “Jangan tanya apa yang negara boleh berikan kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh berikan kepada negara.”

Namun sebelum kita mampu menghormati orang lain, mahupun negara, belajarlah terlebih dahulu untuk menghormati diri sendiri. Hormat pada diri adalah benih kepada hormat terhadap seluruh kehidupan. Kenali potensi diri, terima kelemahan, dan jangan hina diri sendiri dengan kata-kata seperti “bodoh”, “malas” atau “hodoh”. Kata-kata negatif yang mengakar dalam jiwa, menjatuhkan semangat dan menenggelamkan harga diri. Kita dilahirkan sempurna dengan anugerah berbeza, setiap insan punya sinarnya tersendiri. Maafkanlah diri atas kesilapan lalu. Tanamkan nilai positif dalam fikiran dan dekatilah insan yang memberi semangat. Apabila kita menghormati diri sendiri, secara alaminya kita akan menghargai insan lain dan mencintai negara ini dengan lebih tulus.

 

Adab itu jiwa merdeka
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-68!

 

**Kredit gambar: Facebook Rasmi UTM

Explore More