PASIR GUDANG, 16 Ogos – Sebanyak 60 batang pokok daripada spesies cermai dan bidara telah ditanam dalam Program Penggantian Pokok bersama komuniti Flat MHB. Program ini melibatkan 35 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 2 dari Tahun 3 hingga Tahun 6 bersama dua guru pengiring, dengan sokongan komuniti Flat MHB.

Pada hari penanaman, peserta turut melakukan pengukuran ketinggian pokok sebagai asas data bancian. Taklimat mengenai teknik penanaman dan kaedah tagging menggunakan aplikasi Geotrees disampaikan oleh Ts. Gs. Sr. Dr. Nurul Hawani Idris dari Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga merupakan Ketua Subprojek Greening and Decarbonization di bawah Program MHB River Rehabilitation diterajui oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din.

Program ini turut disertai oleh Ketua Stakeholder Management, Corporate Communications MHB, Haji Syed Shaharum Syed Dabal. Turut sama membantu ialah komuniti Flat MHB yang terdiri daripada Nor Zainar Md Nor Rasu, Mashitah, Norhayu, Kamaliah yang bertindak sebagai fasilitator dalam aktiviti menanam, membaja serta membuat tagging pokok.

Setiap pokok ditanda menggunakan kod QR dan direkodkan melalui aplikasi Geotrees yang dibangunkan oleh UTM. Program ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti penanaman pokok yang dilaksanakan pada November 2024, bertujuan memberu pendedahan kepada komuniti khususnya murid sekolah tentang teknik penanaman, penjagaan pokok serta kemahiran asas bancian seperti pengukuran ketinggian dan diameter pokok (DBH).
Penggunaan sistematik platform Geotrees membantu menjejak perkembangan aktiviti penghijauan, selain menyokong proses pelaporan ESG oleh pihak yang terlibat.

Memasuki tahun ketiga penganjuran dan bakal melabuhkan tirai pada hujung tahun ini, pihak penganjur melahirkan rasa puas hati apabila komuniti berjaya melaksanakan penanaman serta bancian pokok tanpa bergantung sepenuhnya kepada mereka. Malah, pemantauan tumbesaran pokok menerusi aplikasi Geotrees kini boleh dijalankan sendiri oleh komuniti sekolah rendah dan penduduk flat MHB.

Kerjasama UTM dan pengurusan MHB menjadi perintis dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti flat, selain menyediakan platform bagi program penghijauan bandar yang menyokong usaha kelestarian alam sekitar secara mampan. Pendedahan awal melalui aktiviti penanaman ini diharap mampu melatih generasi muda memahami bahawa tindakan kecil seperti menanam pokok memberi impak besar terhadap kelestarian bumi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13, Tindakan Iklim dan SDG 15, Kehidupan di Darat).