JOHOR BAHRU, 1 Julai – Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini telah melancarkan Program Go Green: No Plastic July sempena kempen Bebas Plastik Julai 2025 yang diadakan secara global setiap 1 hingga 31 Julai setiap tahun.
Pelancaran ini disempurnakan oleh Timbalan Pengarah UTMCCS, Dr. LAr Zanariah Jasmani dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Persatuan Pelajar (SUB).

Program Go Green: No Plastic July bertujuan untuk meningkatkan kesedaran seluruh warga kampus tentang pentingnya mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai serta mempromosikan amalan mesra alam di kalangan pelajar, staf dan komuniti sekitar.
Dr. Zanariah dalam ucapannya menegaskan bahawa UTM melalui inisiatif ini amat komited untuk menjadi institusi pendidikan yang bertanggungjawab dalam usaha pelestarian alam sekitar.

“Kempen ini bukan sekadar sekadar langkah kecil, tetapi satu komitmen besar kita untuk melindungi bumi daripada ancaman pencemaran plastik.
“Saya menyeru semua warga kampus untuk bersama-sama dalam usaha ini dan menjadikan kehidupan lebih hijau dan lestari,” katanya.
Program ini bukan sahaja dijalankan pada peringkat universiti malah selari dengan kempen antarabangsa yang sedang berlangsung di seluruh dunia dan kempen bebas plastik ini diletakkan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ‘Sustainability Action Campaign’.
“Lebih penting lagi program ini sejajar dengan komitmen strategik UTM yang terkandung dalam dokumen penting seperti UTM Sustainability Blueprint 2030.
“UTM telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk menjadi peneraju pendidikan tinggi dalam kelestarian maka dengan itu program seperti yang kita jalankan ini adalah bukti komitmen yang diterjemahkan kepada tindakan dan digerakkan oleh mahasiswa serta didukung oleh universiti,” katanya.
Dr. Zanariah juga di akhir ucapannya melahirkan pengharapan agar program ini dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif lestari sepanjang masa.

“Kita bermula dengan satu langkah kecil iaitu menolak straw, membawa botol sendiri atau menukar beg plastik kepada beg guna semula. Pilihan kecil pada hari ini insyallah akan membawa kepada impak besar untuk esok,” katanya mengakhiri ucapannya.
Turut hadir Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi; Ketua Masyarakat Kampung Baru Seelong, Kong Kah Sen; Bendahari Agung MPP Sesi 2024/2025, Harith Daniel Zafrian; Ketua Jabatan Kelestarian MPP, Nur Aisy Yasmin Mohd Fathil; dan Pengarah Program Go Green: No Plastic July, Phua Yu Cheng.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang kempen ini adalah pertandingan mereka bentuk poster, video dan juga bahan-bahan penerbitan berkenaan larangan penggunaan plastik sekali guna di dalam kampus UTM.
Penganjuran program “Go Green: No Plastic July” oleh MPP UTM selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ke-12 iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.
Matlamat ini menumpukan kepada penggunaan sumber secara berhemah dan pengurangan pembaziran bahan, termasuk pengurangan penggunaan plastik sekali pakai bagi melindungi alam sekitar dan menyokong pembangunan lestari.
Program ini juga turut menyokong SDG ke-13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG ke-14 serta ke-15 yang berkaitan dengan konservasi sumber dan ekosistem.
