July 10, 2025

UTMCCS dan MPKu perkasa amalan lestari komuniti melalui program COSPHe

KULAI, 3 Julai – Program Citizen Science and Open Science for Planetary Health (COSPHe) anjuran Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS) dengan kolaborasi bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah berlangsung dengan jayanya di Balairaya Kg. Sg. Besoi Murni Jaya.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Majlis MPKu, Hjh. Nurul Nadia Ab. Azis telah melibatkan seramai 150 penduduk tempatan dari enam buah kampung dan juga Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Pulai.

Timbalan Pengarah UTMCCS, Dr. LAr. Zanariah Jasmani berkata komuniti setempat telah didedahkan dengan tiga modul sepanjang program ini berlangsung iaitu Modul 1 : Penentuan Kualiti Air Berasaskan Petunjuk Biologi diikuti Modul 2 : Modul Seni Eko Sumber Botani – Ecoprint dan juga Modul 3 – Teknik Tanaman Dan Pengkomposan Yang Lestari.

Para peserta turun ke sungai bagi mendapatkan sampel mikrorganisma. Praktis ini dilakukan bagi menjayakan Modul 1 yang berkisar kepada penentuan kebersihan air sungai berdasarkan mikroorganisma yang mendiami kawasan itu

“Modul 1 secara ringkasnya adalah berkisar kepada penentuan kebersihan air sungai berdasarkan mikroorganisma yang mendiami kawasan itu manakala Modul 2-pula adalah penghasilan corak tumbuhan pada beg putih berasaskan tumbuhan semula jadi yang diperolehi di kawasan sekitar tapak program.

“Modul 3 adalah berkisar mengenai teknik penanaman tumbuhan dan pembajaan menggunakan baja kompos yang dihasilkan dari sisa makanan,” katanya.

Penolong Pendaftar Kanan UTMCS, Kiflee Jimpi yang juga merupakan salah seorang fasilator program COSPHe menunjukkan kepada peserta cara untuk menghasilkan Eco-Print, salah satu modul yang diajarkan dalam program ini sambil diperhatikan oleh Timb. Pengarah UTMCCS, Dr LAr Zanariah Jasmani yang juga merangkap sebagai Ketua Penyelaras Program COSPHe 2025

Program ini juga disemarakkan dengan kehadiran Jabatan Kesihatan Awam MPKu yang membuka kaunter kutipan bahan terpakai dan berjaya mengumpul lebih 94 kilogram minyak masak terpakai dan hampir 300-kilogram fabrik.

Penganjuran program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti malah turut memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan serta amalan lestari yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Program yang dijalankan di Kg. Sg. Besoi ini merupakan acara komprehensif yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Selain memperolehi peluang untuk belajar, komuniti setempat juga berpeluang untuk menggalakkan kesedaran alam sekitar dan menggalakkan peserta menyumbang kepada pengumpulan data saintifik.

“Pendekatan komprehensif ini memberikan pengalaman langsung, melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk melibatkan diri dalam aktiviti sains warganegara dalam komuniti mereka sendiri,” katanya lagi.

Citizen Science adalah kaedah terbaik untuk melibatkan orang ramai dalam penyelidikan saintifik, khususnya dalam pemantauan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.

Fasilitator bagi Modul 3 – Teknik Tanaman Dan Pengkomposan Yang Lestari, Dr. Huszalina Hussin (dua kiri) menunjuk cara berkenaan menanam pokok dan teknik pembajaan dengan menggunakan baja kompos
Dr Huszalina Hussin memeriksa tahap keasidan tanah yang telah dicampur dengan baja kompos oleh peserta COSPHe 2025

“Program COSPHe ini direka untuk merapatkan jurang antara sains dan masyarakat dengan menekankan penyertaan individu untuk terliabat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Sepanjang program berlangsung, peserta telah melalui sesi interaktif dan aktiviti lapangan, membolehkan para peserta menyelami alam semula jadi sambil memperoleh kemahiran saintifik praktikal,” katanya lagi.

Secara umumnya, program ini adalah setara dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) No. 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) dan SDG 13 (Perubahan Iklim) untuk mengintegrasikan aspek kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar melalui sains terbuka dan penyertaan komuniti setempat.

Turut hadir adalah Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din dan juga Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi.

Para peserta dan fasilitator bergambar kenangan selepas tamat program

Explore More