SEPANG, 20 Julai – Pasukan dari Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencipta satu lagi kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila meraih tempat kedua dalam pertandingan Southeast Asia Division Contest of the China International College Students’ Innovation Competition (SEA-CICSIC 2025) yang berlangsung pada 19 hingga 20 Julai 2025 di Xiamen University Malaysia.
Pertandingan berprestij ini menghimpunkan pelajar dan penyelidik muda dari institusi pengajian tinggi seluruh Asia Tenggara bagi mempersembahkan idea dan solusi inovatif yang mampu memberi impak kepada masyarakat, industri dan pendidikan tinggi. Penyertaan pasukan UTM ini sekali lagi membuktikan potensi besar bakat dan kepakaran yang dimiliki oleh warga Fakulti Komputeran dalam menjayakan misi penyelidikan dan inovasi universiti di pentas global.

Pasukan dari Fakulti Komputeran UTM telah membentangkan projek bertajuk NexScholar, iaitu sebuah platform pintar berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Analitik Data Raya yang dibangunkan khusus untuk memperkasa ekosistem penyelidikan akademik, pencarian geran, pemadanan kolaborasi serta penjejakan prestasi penyelidik. NexScholar bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai cabaran dalam dunia akademik seperti kesukaran mencari penyelia, mengenalpasti geran yang bersesuaian, memantau kemajuan penyelidikan dan meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan kepada komuniti yang lebih luas.

Pasukan ini diketuai oleh Dr. Seah Choon Sen, staf akademik Fakulti Komputeran, bersama tiga orang pelajar daripada fakulti yang sama iaitu Loh Yin Xia (PhD Informatics Engineering), Wong Yit Khee (PhD Software Engineering) dan Yong Wern Jie (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Data). Projek ini turut mendapat bimbingan daripada dua pensyarah Fakulti Komputeran, Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar dan Dr. Muhammad Aliif Ahmad, yang berperanan sebagai penasihat teknikal dan pembangunan strategi inovasi.
Lebih membanggakan, NexScholar bukan sekadar projek akademik semata-mata, tetapi kini telah didaftarkan secara rasmi sebagai syarikat pemula universiti (university spin-off) dengan nama NexScholar Sdn. Bhd. Syarikat ini diterajui oleh tiga orang pengarah iaitu Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, Dr. Seah Choon Sen dan Dr. Muhammad Aliif Ahmad. Penubuhan syarikat ini mencerminkan kejayaan Fakulti Komputeran dalam menterjemah hasil penyelidikan kepada impak sebenar melalui pengkomersialan produk inovasi.

Lebih signifikan, pembangunan NexScholar turut mendapat sokongan dana melalui program PhDPreneur yang dibiayai oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di bawah seliaan Kementerian Ekonomi Malaysia. Program ini bertujuan untuk menggalakkan ahli akademik yang sedang melanjutkan pengajian PhD untuk meneroka bidang keusahawanan berasaskan teknologi. Penyertaan NexScholar dalam program ini membuka ruang lebih luas untuk pertumbuhan syarikat dan perluasan pasaran pada masa akan datang.
Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama UTM di peringkat antarabangsa, malah turut membuktikan bahawa warga Fakulti Komputeran memiliki kapasiti, keazaman dan keupayaan dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang relevan, mampan dan berdaya saing tinggi. Semoga NexScholar terus berkembang sebagai peneraju inovasi dalam dunia pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai warga universiti untuk mengorak langkah ke arah pengkomersialan dan inovasi.