KUALA LUMPUR, 3 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar sejarah apabila berjaya menganjurkan Ambassadors’ Roundtable for ASEAN 2025 – Bridging Nations, Connecting Regions: Higher Education for ASEAN Unity serta pelancaran Erasmus+ Malaysia Hub dalam sebuah majlis berprestij yang berlangsung di Grand Banquet Hall, UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur.
Program berimpak tinggi ini telah menghimpunkan seramai 169 peserta, termasuk 40 Duta dan wakil kedutaan, 11 pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta 118 wakil institusi pengajian tinggi dari pelbagai negara. Penganjuran ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkukuh diplomasi pendidikan dan jaringan kerjasama serantau.
Susulan kejayaan acara ini, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan berkongsi pandangan mengenai kepentingan Ambassadors’ Roundtable serta impak pelancaran Erasmus+ Malaysia Hub terhadap landskap pendidikan tinggi di Malaysia dan ASEAN. Prof. Dr. Mohd Shafry dan Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin telah dijemput sebagai panel dalam program bual bicara AWANI Pagi pada 4 Julai 2025.
Prof. Dr. Mohd Shafry ketika ditemu bual menegaskan bahawa penganjuran ini merupakan langkah strategik untuk memposisikan UTM sebagai peneraju dalam membina perpaduan serantau menerusi pendidikan tinggi. Menurut beliau, tema “Bridging Nations, Connecting Regions” diterjemahkan melalui kerjasama rentas sempadan yang merangkumi program ijazah bersama, penyelidikan kolaboratif dan projek pembangunan komuniti yang menyatukan aspirasi negara-negara ASEAN.
Beliau turut menyeru golongan muda ASEAN agar berani meneroka peluang antarabangsa, khususnya melalui program Erasmus+ dan mobiliti global yang berpotensi melahirkan generasi berwawasan, berjiwa besar serta berupaya memberi impak signifikan kepada negara dan rantau ini.
Antara inisiatif antarabangsa UTM yang akan dilaksanakan termasuk UTM Global Connect yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Program ini bakal menghimpunkan pemimpin pendidikan tinggi, industri dan agensi antarabangsa untuk memperkukuh kerjasama global dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan menyatakan bahawa pelancaran Erasmus+ Malaysia Hub merupakan satu pengiktirafan penting terhadap peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Hub ini akan berfungsi sebagai pusat rujukan dan pemangkin kepada program mobiliti pelajar, kerjasama penyelidikan, serta pembangunan kurikulum antara institusi ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut beliau, inisiatif ini akan memberi manfaat secara inklusif kepada semua institusi pendidikan tinggi di Malaysia, termasuk institusi swasta, politeknik dan kolej komuniti. Usaha ini diharap dapat membuka ruang penyertaan yang lebih meluas, sekali gus memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembangunan pendidikan yang progresif, seimbang dan lestari.
Penganjuran Ambassadors’ Roundtable for ASEAN 2025 serta pelancaran Erasmus+ Malaysia Hub menjadi bukti komitmen UTM dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, serta menjadikan pendidikan tinggi sebagai jambatan perpaduan dan pembangunan bersama.