KUALA LUMPUR, 1 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen dalam membudayakan keilmuan dan memperkasa tadbir urus institusi menerusi penganjuran Majlis Bersama Naib Canselor (Julai) yang berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. Majlis ini turut disiarkan secara lintas langsung di Kampus UTM Johor Bahru dan UTM Pagoh, menyatukan seluruh warga universiti.
Berteraskan tema “Membudaya Ilmu, Memacu Optimasi”, majlis ini bukan sekadar platform penyampaian amanat kepimpinan tertinggi universiti, malah menjadi medan refleksi dan seruan perubahan berasaskan nilai ilmu dan prinsip tadbir urus yang cekap.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam amanatnya menegaskan bahawa universiti perlu berperanan sebagai medan intelektual yang subur dan terbuka kepada pencarian ilmu baharu.
“Budaya ilmu perlu terus diperkasakan di semua peringkat, kerana menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan ke atas setiap individu. Dengan ilmu, barulah wujud pemikiran yang baik, tercetus inovasi dan berlaku penambahbaikan. Justeru, usaha memperkukuh budaya ilmu mesti dipertingkat, kerana ilmu itu ibarat cahaya yang menyuluh kehidupan ke arah kebaikan,” ujar beliau.
Dalam usaha merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030, konsep “optimasi” diangkat sebagai strategi penting bagi memaksimumkan keberkesanan tadbir urus, kecekapan sumber manusia, kelestarian kewangan serta pengurusan aset universiti secara efisiensi. Beliau menegaskan perlunya inovasi dalam pemikiran dan transformasi dalam pelaksanaan agar segala bentuk ketidakoptimuman dapat ditangani secara sistematik.
“Pengalaman digital yang mesra pengguna adalah komponen penting dalam transformasi digital universiti, sejajar dengan keperluan masa kini. Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk mengoptimumkan proses kerja dan sumber agar kita dapat bergerak lebih pantas,” jelas beliau.
Majlis ini turut memperlihat keterlibatan aktif seluruh ekosistem kampus termasuk pelajar, alumni dan komuniti melalui pelbagai program dan aktiviti keilmuan dan kebajikan. Ia menzahirkan usaha berterusan UTM dalam membentuk kesejahteraan holistik warga universiti, melangkaui kecemerlangan akademik semata-mata.

Prof. Dr. Shafry turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Profesor UTM atas pelaksanaan siri Wacana Intelektual MADANI, yang disifatkan sebagai wadah penting dalam memperkukuh budaya perbincangan ilmiah di peringkat universiti.
“Apabila kita memiliki ilmu, kita tahu hala tuju yang ingin dicapai dan dapat melaksanakan proses pengoptimuman dengan lebih berkesan di semua peringkat. Hanya selepas itu, barulah kita mampu melangkah lebih jauh – meneroka inovasi demi menjayakan transformasi,” ujar beliau menutup amanatnya.
Sebagai universiti terkehadapan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, UTM akan terus mendepani cabaran masa depan dengan pendekatan berasaskan ilmu, optimasi, inovasi dan transformasi – berpaksikan prinsip Menginovasi Penyelesaian Lestari – demi menjulang kecemerlangan global yang lestari dan bermakna.
Majlis ini turut menyaksikan peluncuran buku “Memoir Wahid Omar: 40 Tahun UTM Rimbun Bernaung”, hasil karya mantan Naib Canselor ke-6 UTM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, yang mengabadikan catatan pengalaman dan sumbangan beliau sepanjang empat dekad khidmat bersama UTM.