ISKANDAR PUTERI, 1 Julai – Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2 (SKTMR2) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa pendidikan hijau dan teknologi melalui pelaksanaan projek inovasi SmartAgriRain: Tadahan Air Hujan Pintar Bagi Sistem Tanaman Fertigasi Berasaskan IoT. Projek bernilai RM20,000 ini dijalankan di bawah Geran Komuniti Rendah Karbon MBIP 5.0, sebagai usaha memperkukuh inisiatif bandar pintar serta meningkatkan kesedaran kelestarian dalam komuniti setempat.
Projek ini diketuai oleh Dr. Norazliani Md Sapari, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan penduduk sekitar. Usaha ini menyokong aspirasi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam mengurangkan jejak karbon serta menerapkan penggunaan teknologi pintar dalam amalan kehidupan harian dan pendidikan.
SmartAgriRain menggabungkan sistem tadahan air hujan pintar, fertigasi automatik dan pemantauan tanaman berasaskan Internet of Things (IoT). Penggunaan sensor kelembapan, pH tanah dan kawalan nutrien membantu memastikan tanaman menerima air dan baja secara optimum, di samping mengelakkan pembaziran sumber.
Konsep “IoT tanaman” yang diterapkan memudahkan penyusunan tapak secara modular, menjadikan penggunaan ruang sekolah lebih teratur dan berkesan. Melalui MyAgriTECH Monitoring System, data bacaan sensor dipaparkan secara masa nyata, sekali gus memberikan pendedahan langsung kepada guru serta murid mengenai teknologi pertanian pintar. Pendekatan ini menjadikan kawasan sekolah sebagai makmal pembelajaran sebenar.

Sejak projek bermula pada Julai 2025, pelaksanaannya menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Tiga fasa utama terdiri daripada persediaan tapak, pembinaan sistem fertigasi dan pemasangan sistem IoT berjaya diselesaikan lebih awal daripada perancangan asal. Sebanyak 250 pokok terung telah disemai dan dipindahkan ke dua plot tanaman. Menjelang November 2025, projek ini berjaya menghasilkan 300 kilogram terung segar, dan hasil jualan dimanfaatkan untuk menyokong aktiviti pendidikan, program STEM serta modul kelestarian di sekolah.


Projek SmartAgriRain turut mendapat sokongan padu daripada komuniti setempat melalui penglibatan aktif dalam gotong-royong, pembersihan kawasan, penyediaan cocopeat dan pemantauan tanaman. Kerjasama ini diperluas dengan penglibatan agensi luar seperti ThinkerSpace, Jabatan Pertanian dan syarikat Han.orderNpay.net, yang turut menyumbang baja organik bernilai RM300. Sepanjang pelaksanaan, sebanyak 10 sesi libat urus diadakan dengan penyertaan melebihi 200 peserta melibatkan guru, murid, ibu bapa serta komuniti setempat.

Walaupun berhadapan cabaran seperti serangan ulat beluncas, pasukan projek berjaya mengatasinya melalui pemantauan rapi serta tindakan pantas oleh pasukan sekolah dan komuniti. Kerjasama erat ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan projek dilaksanakan secara cekap dan berterusan.
Secara keseluruhannya, SmartAgriRain bukan sekadar projek pertanian tetapi sebuah platform pendidikan, inovasi dan pembangunan komuniti yang membawa impak jangka panjang. Dengan sokongan berterusan daripada MBIP, UTM dan SKTMR2, projek ini berpotensi besar untuk dijadikan model rujukan pertanian bandar pintar di kawasan Iskandar Puteri dan juga di seluruh negeri Johor pada masa hadapan.