ROYAL BELUM, 27 Julai – Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendekati komuniti Orang Asli Kampung Klewang, Royal Belum, Perak menerusi Program Rakan Prihatin: Sentuhan Jiwa Komuniti baru-baru ini.
Program ini menghimpunkan Ahli Sekretariat Rakan Muda yang terdiri daripada mahasiswa sukarelawan UTM menggunakan pendekatan mesra komuniti yang menekankan aspek kebajikan, pendidikan tidak formal dan kelestarian hidup.
Program ini menekankan aspek peningkatan kesedaran sivik dan sosial dalam kalangan belia, menyalurkan bantuan sumbangan serta memperkukuh hubungan positif antara sukarelawan dan masyarakat Orang Asli sebagai tumpuan utama pelaksanaannya. Sepanjang program, sebanyak 50 buah keluarga menerima sumbangan barangan dapur, manakala 40 orang kanak-kanak menerima set alat tulis bagi menyokong keperluan pendidikan mereka.


Pelbagai slot menarik turut dijalankan, antaranya Sentuhan Kasih yang menumpukan aktiviti riadah dan bimbingan santai bersama kanak-kanak, Sentuhan Aktif yang mengetengahkan sukan rakyat bagi memupuk semangat kesukanan dan perpaduan, Sentuhan Rasa yang menggabungkan mahasiswa dan penduduk dalam aktiviti masakan moden, Sentuhan Komuniti yang berbentuk gotong-royong pembersihan kawasan kampung dan Sentuhan Ehsan iaitu penyampaian bantuan terus kepada mereka yang memerlukan.




Program ini juga menjadi platform pembelajaran luar kelas bagi mahasiswa untuk memupuk nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial. Ia selari dengan aspirasi 10 Elemen Gaya Hidup Rakan Muda yang diperkenalkan oleh KBS seperti Rakan Prihatin, Rakan Bumi, Rakan Ekspresi, Rakan Aktif dan Rakan Mahir. Pelaksanaan aktiviti ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan).

Pihak jawatankuasa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti Orang Asli Kampung Klewang atas kerjasama erat dan layanan mesra yang diberikan sepanjang program berlangsung. SRM UTM menjangkakan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, sekali gus memperluas perkongsian ilmu dan memupuk pertukaran budaya yang berterusan antara mahasiswa dan komuniti.
